Gaya Hidup 05 Sep, 2020

Syabas Kg Aur Gading! Sambutan kemerdekaan penuh ekspresi!

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

KELAZIMANNYA sambutan Hari Kebangsaan ke-63 dan Bulan Kemerdekaan setiap tahun pada peringkat kampung amat meriah apabila nilai patriotisme dizahirkan oleh penduduk berkenaan menerusi penganjuran pelbagai acara menarik. Namun dengan penularan wabak COVID-19, maka norma baharu perlu dilazimkan pada tahun ini. : KitaReporters

Kain rentang dipasang di dewan Kampung Aur Gading, Lipis sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 serta majlis penyampaian dan penutupan pertandingan Kibar Jalur Gemilang anjuran JKKK tersebut. 


Lagi cerita-cerita berkaitan kemerdekaan:

https://kitareporters.com/search?search=kemerdekaan


Kempen kibar Jalur Gemilang di merata tempat sudah tentu menjadi keutamaan bagi penduduk berkenaan khususnya membuat persiapan dengan bergotong-royong memasang bendera Malaysia di sepanjang jalan, kediaman serta premis kemudahan asas di tempat masing-masing.

Lebih kreatif lagi, penghayatan nilai kemerdekaan turut terserlah apabila kediaman dan kenderaan masing-masing diwarnai dengan Jalur Gemilang pelbagai saiz dan sentiada menjadi tatapan orang ramai.

Sebuah rumah diwarnai bendera Malaysia dan hiasan kraf tangan yang menyertai pertandingan hiasan kibar Jalur Gemilang di Kampung Aur Gading, Lipis. - Kredit foto: Pejabat DUN Padang Tengku


Antara aktiviti yang paling menarik dan meriah, iaitu pertandingan hiasan rumah dengan Jalur Gemilang yang dianjurkan oleh pihak Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) setiap kali menyambut Hari Kebangsaan dan sepanjang Bulan Kemerdekaan.

Bagi JKKK Aur Gading, Lipis di Pahang menyambut seruan kerajaan dengan mengadakan program sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada 31 Ogos 2020 lalu apabila menganjurkan pertandingan hiasan rumah dengan kibar Jalur Gemilang.

Acara menarik itu mendapat sambutan apabila sebanyak 17 buah rumah mengambil bahagian dengan menyiapkan hiasan Jalur Gemilang di samping memancarkan kekreatifan dan ekspresi tuan rumah berkenaan berasaskan tema 'Malaysia Prihatin'.

Kata hikmat dalam tulisan jawi dan ingatan waspada ancaman COVID-19, iaitu '#Kita Jaga Kita' antara usaha kreatif penduduk menghiasi halaman rumah sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di Kampung Aur Gading, Lipis. - Kredit foto: Pejabat DUN Padang Tengku


Sedikit catatan peristiwa penting Kampung Aur Gading, Lipis ...

Kampung Aur Gading merupakan perkampungan tradisional Melayu Pahang yang dibuka 200 tahun lalu terletak di pesisir Sungai Tanum yang mengalir dari kawasan Hulu Jelai, Lipis.

Seramai 500 orang penduduk yang mendiami kampung itu dan bekerja sebagai penoreh getah, pekebun sawit, nelayan sungai dan pengusaha kraf tangan.

Gambar fail 28 Disember 2014... Jambatan Sungai Tanum musnah ketika bah merah mengganas dan penduduk terputus hubungan ke bandar Kuala Lipis. - Kredit foto: Abdullah Zawawi Kamaludin


Kampung tersebut mula dikenali umum apabila peristiwa bah merah pada penghujung Disember 2014 sehingga Januari, 2015 apabila air Sungai Tanum 'mengganas' telah memusnahkan kediaman, kemudahan asas, ternakan sehingga kesemua penduduk dipindahkan ke kawasan selamat.

Boleh dikatakan Kampung Aur Gading terjejas teruk akibat bah merah dan penduduk mengambil masa yang lama menjalani tempoh pemulihan dengan bantuan kebajikan (khemah, barang makanan) dan kemudahan tertentu daripada kerajaan.

Gambar Fail 28 Disember 2014... Sebuah rumah penduduk rosak teruk akibat dihanyutkan banjir di Kampung Aur Gading, Lipis. - Kredit foto: Abdullah Zawawi Kamaludin


Saat paling indah yang masih tersemat pada ingatan penduduk di situ, ialah keberangkatan Yang di-Pertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah ketika itu sebagai Tengku Mahkota Pahang meninjau mangsa banjir pada lawatan pertama dan kali kedua pada 22 Januari 2015, berangkat menyertai kerja gotong-royong bersama agensi kerajaan dan JKKK membaik pulih kerosakan rumah mangsa.

Gambar fail 22 Januari 2015... Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (depan, kanan) yang ketika sebagai Tengku Mahkota Pahang berangkat melawat mangsa banjir dan bergotong-royong membaikpulih kediaman penduduk Kampung Aur Gading, Lipis. - Kredit foto: Abdullah Zawawi Kamaludin 


Malapetaka bah merah tersemat dalam lipatan sejarah kampung tersebut. Hari ini, penduduk berkenaan bangkit semula dengan semangat patriotisme menyusun sederap langkah membangunkan semula kehidupan mereka sambil berharap peristiwa enam tahun lalu tidak berulang lagi.

YUSRIZAM ABDUL MOLOK


Pengerusi JKKK Aur Gading, Yusrizam Abdul Molok berkata, setiap tahun penduduk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Bulan Kemerdekaan dengan menganjurkan acara berbentuk keagamaan dan kesenian dengan kerjasama persatuan belia, pengurusan masjid serta dibantu oleh pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku.

"Acara memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang di sepanjang jalan kampung dan menghiaskan kediaman mengikut kreatif masing-masing antara aktiviti wajib disempurnakan oleh penduduk bagi memeriahkan sambutan ini.

"Kekangan kewangan akibat melalui tempoh penguatkuasaan Peraturan Kawalan Pergerakan dan fasa pemulihan hampir lima bulan ini tidak mematahkan semangat kami (penduduk) untuk berbelanja bendera Malaysia pelbagai saiz dan peralatan tertentu untuk dihiaskan di kediaman masing-masing," katanya ketika ditemui di Kampung Aur Gading, Lipis pada 31 Ogos 2020 lalu.

Bahan buangan yang dicat warna Jalur Gemilang menjadi sebahagian peralatan dalam pertandingan hiasan rumah sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di Kampung Aur Gading, Lipis. - Kredit foto: Pejabat DUN Padang Tengku


Menurut Yusrizam, penduduk menggunakan tayar terpakai, botol, rim motosikal, polisterin dan bahan tertentu lalu dicat dengan warna Jalur Gemilang mengikut daya kreatif masing-masing menampakkan lagi suasana ceria sambutan tahun ini. 

Turut hadir selaku panel hakim yang menilai rumah terbaik dengan hiasan kibar Jalur Gemilang, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long; Pegawai Pendidikan Lipis, Amin Nollah Lateh; dan Penghulu Mukim Batu Yon Satu, Mohd Sahlan Suran.

MUSTAPA LONG


Sementara itu, Mustapa berkata, usaha penduduk Aur Gading menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-63 dan Bulan Kemerdekaan tahun ini harus dipuji dan diteladani penduduk-penduduk tempat lain di daerah ini.

"Penduduk di sini sanggup berbelanja Jalur Gemilang, berbelanja cat warna bendera dan bahan kraf tangan untuk menghiaskan kediaman masing-masing. Manakala, hari ini (31 Ogos 2020), mereka tidak keluar menoreh dan kebun sawit semata-mata untuk memeriahkan sambutan ini.

"Inilah pengorbanan yang ditunjukkan oleh penduduk di sini bagi menzahirkan kesetiaan dan membugarkan jati diri kepada negara tercinta di samping menghayati rentetan sejarah kemerdekaan," katanya. - KitaReporters

Sebuah rumah yang menjadi antara pemenang pertandingan hiasan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di Kampung Aur Gading, Lipis. - Kredit foto: Pejabat DUN Padang Tengku


Pemenang pertandingan hiasan rumah dengan Jalur Gemilang dengan hadiah masing-masing yang disempurnakan penyampaiannya sempena majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 di Kampung Aur Gading, Lipis. - Kredit foto: Pejabat DUN Padang Tengku.

You will be interested

Kurang tepat, membebankan! SAM mahu SOP kepada media buat liputan bola sepak dikaji semula!

SAM rayu beberapa peraturan kepada media untuk buat liputan pertandingan bola sepak dikaji semula kerana ia dianggap kurang tepat, agak membebankan dan mengarut

PKPP di Terengganu mulai 5 Mac 2021: Aktiviti keagamaan di masjid, surau dibenar diperluaskan

Penganjuran aktiviti agama di masjid, surau seluruh Terengganu akan dibenarkan susulan daripada pelaksanaan PKPP yang akan berkuat kuasa pada Jumaat 5 Mac 2021
Mohammad Ishak in Gaya Hidup 3 days ago

Pengantin lelaki dihumban keluar dari rumah tingkat dua! Sebab tak mampu sedia hantaran mahal!

Bakal pengantin lelaki alami cedera patah tulang selepas dicampak keluar lalu tingkap dari tingkat dua bangunan kediaman di Mesir oleh ahli keluarga tunangnya
Amil Abdullah Saiby in Gaya Hidup 4 days ago

Pak Mat Serunding teruskan resipi arwah ibu! Kini sibuk dengan kedatangan Ramadan, hari raya!

Mohamed Ismail atau Pak Mat Serunding dari Kampung Laut, Tumpat semakin sibuk dengan kedatangan bulan Ramadan dan musim perayaan. Turut hasilkan serunding arnab
Rosdi Ismail in Gaya Hidup 5 days ago

Video| Erul Samah 'Tak Bisa' tolak imej K-Pop! Cipta single terbaharu lebih hebat, bertenaga!

Erul Samah cipta lagu Tak Bisa bagi kembali hangatkan industri muzik setelah hampir dua tahun menyepi. Masih dengan imej K-Pop dengan fokus kepada kekuatan lagu
Fariza Saidin in Gaya Hidup 5 days ago