ARAB Saudi menyambut Ramadan pada Jumaat, 24 April 2020 dan buat pertama kalinya pada millennium ini, umat Islam di seluruh dunia tidak dapat menyambut bulan puasa dan bersolat di dalam Masjid Nabawi, di Madinah dan di Masjidilharam di Mekah kerana kedua-dua pusat ibadat itu masih ditutup kepada orang awam. : KitaReporters
Kredit foto: FB @MasjidAlHaramMakkahOfficial
Mahkamah Agung Arab Saudi mengumumkan pada Khamis, 23 April 2020 bahawa permulaan puasa di negara itu bermula pada Jumaat, 24 April 2020 dan Ramadan ini akan mencatatkan sejarah yang berbeza berbanding tahun sebelum ini kerana wabak Covid-19 yang merebak ke seluruh dunia telah merenjatkan pergerakan termasuk tempat beribadat itu.
Masjidilharam dan Masjid Nabawi, dua tempat paling suci bagi umat Islam ternyata masih perlu dikosongkan kerana penduduk di kedua-dua tempat itu masih di bawah perintah berkurung sepenuhnya bagi mengawal wabak itu daripada terus merebak.
Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud (gambar atas) dipetik oleh portal Arab News.com yang bertitah sempena sambutan Ramadan itu menyuara rasa bangga dengan cara kerajaan negaranya bertindak balas mengawal pendemik itu menangani Covid-19.
"KIta semua hidup dalam keadaan ekstrem yang memberi kesan kepada kemanusiaan," titah baginda dalam kenyataan yang dibacakan oleh Pemangku Menteri Media, Majid Al-Qasabi.
"Kerajaan Arab Saudi kena terus berusaha menangani "masa kritikal" dan beta pun amat sedih kerana solat tarawih tidak akan berlangsung di Masjidilharam sepanjang bulan puasa ini kerana pandemik Covid-19," katanya.
Sementara itu di Ankara, Turki dalam satu laporan menyebut Arab Saudi masih menggantung solat tarawih di kedua-dua masjid suci itu sepanjang Ramadan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, lapor agensi Anadolu.
Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais, dipetik sebagai berkata sehubungan itu, solat tarawih akan diadakan tanpa jemaah awam di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Bagaimanapun, difahamkan solat itu masih dibenarkan untuk kakitangan pengurusan masjid dan tukang cuci yang tidak melebihi 10 orang.
Tukang cuci satu profesion yang sangat dimuliakan di Mekah.
Ini antara keistimewaan oleh pekerja yang bertugas di barisan hadapan (frontliners) itu kerana selain memastikan kawasan bersih dan nyakkuman, mereka diberi peluang bersolat.
Mutawif sudah memberi pesan kepada kebanyakan rombongan jemaah umrah dan haji jika ada yang mahu menderma atau membayar dam, semua itu boleh diberikan kepada petugas pembersih ini sebagai penghargaan pada pekerjaan mereka.
Dalam ketika itu juga adalah tukang cuci akan menghampiri orang ramai dengan muka penuh belas memohon `sedekah`. Dan mereka boleh dikatakan jarang dikecewakan.
Sementara itu, Bernama yang laporannya melalui Twitter menjelaskan bahawa sembahyang tarawih hanya akan membabitkan kakitangan masjid berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi, iktikaf turut dibatalkan di kedua-dua masjid terbabit, manakala ibadat umrah pula masih digantung sehingga makluman lanjut.
Dalam pada itu, Arab News.com melaporkan selalunya Ramadan menjadi bulan yang paling ditunggu oleh seluruh umat Islam terutama pada 10 malam terakhir yang menjadi malam Lailatulqadar sebagai malam paling berkat khususnya bagi memohon keampunan.
Kerinduan untuk bersolat, bermunajat dan mengucup batu dari syurga, HajrulAswad akan menjadi satu penantian yang tidak penghujung sekiranya wabak ini tidak berakhir pada tahun 2020 ini.
Lebih 1.6 juta umat Islam di seluruh pelosok dunia akan menahan dahaga dan lapar selama sebulan bermula selepas subuh sehingga ke maghrib.
Sempena bulan yang mulia ini, Kerajaan Arab Saudi memberi pelepasan untuk penduduknya meninggalkan kediaman dari jam 9 pagi hingga 5 petang untuk mendapatkan bekalan makanan dan perubatan.
Pada Rabu, 22 April 2020, Arab Saudi mengumumkan 1,141 kes terbaru positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes baru ialah 1,141 meningkat kepada 12,772.
Daripada jumlah ini, 10,846 masih aktif dan 81 kritikal.
Agensi berita itu juga melaporkan tambahan 172 pesakit yang sembuh menjadikan angka sembuh sudah naik kepada 1,812 orang.
Tambahan kematian baru, lima orang menjadikan 114 kes. Lima kes mutakhir itu membabitkan pakar asing yang berkhidmat di Mekah.
Mereka berumur 50 hingga 70 tahun kebanyakannya mempunyai penyakit kronik sebelum ini.
Kredit foto: FB @Persada Cawangan Madinah
Sempena Ramadan jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr. Mohammed Al-Abd Al-Aly meminta umat Islam agar terus mematuhi langkah perlindungan termasuk menjarakkan diri, elak daripada bersalam, mencuci tangan dan sentiasa mengekal dan mengutamakan kebersihan peribadi.
"Selain itu, jangan berkongsi barang peribadi termasuk tikar solat.
"Bagaimanapun, jarak sosial ini bukanlah bermaksud menjarakkan hubungan emosi," katanya. - KitaReporters