KETIKA industri perfileman tanah air sepi dengan banyak filem kurang sambutan, namun ia berbeza bagi filem yang menggunakan nama ‘Mamat Khalid’.
Filem sentuhan akhir Mamat Khalid, ‘Kampong Pisang Berbuah Dua Kali’ yang disiapkan oleh anaknya, Amen Khalid (Mohd Khalid Amen Mohamad) mendapat sambutan hangat.
Filem ini berjaya meraih kutipan RM1 juta dalam tempoh enam hari tayangannya dalam saluran Astro First dan angkanya akan meningkat dalam minggu kedua tayangan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Allahyarham Mamat Khalid
Nama karyawan seni ini cukup besar sejak awal 2000-an dengan karyanya dinanti-nantikan, menarik ditonton dan ‘boleh buat duit'.
Amen berkata, dia cukup teruja apabila sokongan terhadap karya Allahyarham bapanya berterusan.
"Syukur alhamdulillah filem itu mendapat respons baik daripada penonton. Saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada peminat setia karya arwah papa, peminat Kampong Pisang serta semua penonton yang sudah menonton.
"Saya anggap kejayaan ini adalah sokongan untuk meneruskan legasi ini. Insya-Allah, Kampong Pisang Universe tidak akan berhenti dan akan ada buat peminat dan penggemar filem tempatan," katanya.
Filem komedi seram terbitan Astro Shaw dan kerjasama produksi Enjit-Enjit Semut Sdn Bhd ini membariskan pelakon Kazar Saisi, Bell Ngasri, Aziz M Osman, Mat London, Datin Paduka Eina Azman dan Azman Mantra.
Turut berlakon ialah Dewa Sapri, Ahmad Yassin, Rasydan Zakaria, Nizam Mok Ram, Joey Daud, Yeop Hitler, Rashid Othman dan Anis Nisham.
Mula berkarya pada 1996, karya-karya tokoh yang nama asalnya Mohamad Mohamad Khalid, di filem dan TV sentiasa ditunggu-tunggu oleh masyarakat dan ‘boleh buat duit’.
Kebanyakan karyanya berunsur kemasyarakatan dengan disulam dengan unsur komedi. Di samping itu dia turut meluahkan minat rocknya dalam tiga siri filem bertema rocknya.
Amen Khalid pikul amanah menyiapkan karya akhir ayahnya
Mamat tidak mahu dibayang populariti abangnya, kartunis Lat (Datuk Mohd Nor Khalid). Mamat mahu mencipta popularti dan sumbangan tersendiri dan sudah berjaya memilikinya.
Kini Amen, anak ketiga daripada lima beradik, mempunyai tugas berat untuk meneruskan legasi Mamat Khalid.
Terdapat sejumah jalan cerita dan skrip yang ditinggalkan Mamat Khalid dan ia perlu diselesai dengan baik oleh Amen. Amen juga perlu menguruskan syarikat produksi Enjit-Enjit Semut dengan baik bagi meneruskan legasi bapanya. - KitaReporters