DI TENGAH-TENGAH penarikan diri berturut-turut lima negara dari Piala Thomas-Uber 2020, pasukan Malaysia pula seolah-olah enggan ambil pusingan faktor utama keputusan lawan itu - kebimbangan kepada penularan Covid-19. Australia, Taiwan, Thailand, Korea Selatan dan juara 13 kali, Indonesia sudah ‘mengangkat bendera putih’. : KitaReporters
PERSEORANGAN utama yang juga ketua pasukan Piala Thomas Malaysia, Lee Jii Zia. - Kredit foto BAM.
Lima negara sudah menarik diri dari pusingan akhir kejohanan pada 3 hingga 11 Oktober 2020 di Aarhus, Denmark tetapi skuad negara masih berkeras untuk menyertainya. Malah Singapura dan Hong Kong yang cuba diundang penganjur, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjadi pasukan pengganti, menolak tawaran tersebut.
Seorang warganet pada laman sosial Facebook rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menyarankan: “Tarik diri sahajalah. Kalau juara pun tidak manis, banyak negara yang kuat, tarik diri.”
Satu pertandingan simulasi (‘uji kaji’) berformat berpasukan dianjurkan BAM yang digelar Piala Presiden untuk skuad negara akan diadakan pada 16 dan 17 September 2020 ini di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara sebagai persediaan akhir ke Piala Thomas dan Uber.
Inilah pertandingan kedua sepanjang tempoh penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas Kejohanan Jemputan BAM, namun secara individu di venue sama, pada Ogos 2020 lalu.
SENARAI pemain skuad Piala Thomas dan Uber Malaysia 2020. - Kredit foto BAM.
Dua puluh pemain ke Piala Thomas-Uber akan disabungkan dalam dua pasukan A dan B sambil ada antaranya menurut ranking dunia mereka, diadunkan dengan pemain bukan peserta kejohanan berpasukan lelaki dan dunia itu.
Kejohanan dua hari itu akan diadakan tanpa para penonton, namun disiarkan secara langsung menerusi sebuah stesen TV swasta.
WONG Choong Hann (kanan). - Kredit foto BAM.
Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata: “Kami mahu memantapkan pasukan sejak Kejohanan Jemputan lalu dan cuba mendapatkan daya saing dan lonjakan prestasi selain semangat sepasukan dalam kalangan pemain.
“Kami cuba menjadi seimbang dengan sedaya upaya. Sebagai contoh, jika perseorangan pertama dalam Pasukan A, beregu utama kami akan ke Pasukan B. Penting untuk mendapatkan satu perlawanan yang adil antara dua pasukan ini. Sesiapa yang mampu mencipta kejutan, akan memenangi perlawanan ini sebagai sebuah pasukan,” katanya dalam laman sesawang rasmi BAM.
SOH Wooi Yik (kiri) dan Aaron Chia, beregu utama negara pada Piala Thomas. - Kredit foto BAM.
Piala Presiden ini jelasnya, akan turut memberikan sekilas pandangan apa yang bakal mendatangi mereka kerana ramai antara mereka, tidak mengambil bahagian dalam Piala Thomas-Uber sebelum ini.
“Kembali dari kem motivasi (di Pulau Tioman, Pahang pada minggu lalu), saya dapat lihat pemain-pemain lebih terbuka dengan rakan sepasukan mereka. Mereka sudah mula menyesuaikan diri untuk menjadi terbuka dan kepada berkongsi pengalaman. Mereka kini tahu untuk mendapatkan lebih banyak menerusi memanfaatkan sumber pasukan dan bukannya secara individu.
“Inilah satu tahap keberkesanan yang berbeza yang mempunyai hasil yang tersendiri, sama ada daripada latihan, mental, taktikal dan peningkatan keseluruhan,” kata Choong Hann, anggota skuad naib juara Piala Thomas 1998 di Hong Kong dan Guangzhou, 2002.
PERSEORANGAN utama Piala Uber Malaysia, Soniia Cheah. - Kredit foto BAM.
Di Arena Ceres, Aarhus, skuad negara selaku pilihan kelima-kelapan diundi dalam Kumpulan A Piala Thomas dengan England dan Belanda, manakala hanya tinggal skuad wanita negara dalam Kumpulan B Piala Uber ekoran penarikan diri Korea Selatan, Indonesia dan Australia.
Kali terakhir Malaysia bergelar juara Piala Thomas ialah pada 1992 di Kuala Lumpur selain 1949, 1952, 1955 dan 1967, namun disekat Indonesia 3-1 dalam suku akhir ketika edisi 2018 di Bangkok. China dan Jepun ialah juara bertahan Piala Thomas dan Uber. - KitaReporters
Senarai pemain Piala Presiden :
Pasukan A Piala Thomas: Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Ng Tze Yong, Teo Ee Yi, Ong Yew Sin, Goh V Shem, Tan Wee Kiong lawan Pasukan B: Liew Daren, Cheam June Wei, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Rumsani.
Pasukan A Piala Uber: Soniia Cheah, Goh Jin Wei, K. Letshanaa, Vivian Hoo, Yap Cheng Wen, M. Thinaah, Pearly Tan lawan Pasukan B: S. Kisona, Eoon Qi Xuan, Lee Ying Ying, Lee Meng Yean, Chow Mei Kuan, Yap Ling, Toh Ee Wei.
GOH V Shem (tengah) dan Tan Wee Kiong menarik diri daripada Piala Thomas kerana kelahiran cahaya mata mereka dan bimbang dengan Covid-19. - Kredit foto BAM.