Seni & Sukan 17 Apr, 2022

Keluarga Malaysia: Terima kasih FGV! Ihya Ramadan ceriakan keluarga miskin, asnaf, warga emas!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


PROGRAM Ihya Ramadan FGV Holding Berhad (FGV) bukan setakat untuk membantu serta meringankan bebanan keluarga miskin, golongan asnaf dan warga emas di pusat jagaan tetapi juga untuk menyemaikan sikap lebih cakna dalam kalangan kakitangan syarikat kumpulan FGV tersebut.

Ihya Ramadan yang digerakkan oleh Surau Al Muhajirin Wisma FGV membabitkan hampir semua kakitangan dari pelbagai syarikat kumpulan itu akan bergerak secara berkumpulan bagi mengagihkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, sekali gus memenuhi aspirasi Keluarga Malaysia.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan



Pengerusi surau berkenaan, Ilyas Helmi Mohd Yusof, berkata bagi menzahirkan keprihatinan kepada mereka yang kurang bernasib baik, FGV menyediakan peruntukan bagi tujuan membantu mereka dalam kalangan keluarga miskin, golongan asnaf serta warga emas pusat jagaan.

Menurutnya, daripada program itu akan memberi hikmah kepada kakitangan terbabit untuk bermuhasabah diri apabila melihat dengan mata sendiri kesusahan mereka yang dibantu dalam mengharungi kehidupan.

Jelasnya, seperti pusat jagaan warga emas terutama yang tidak berbayar, masyarakat seharusnya menghormati serta mengkagumi jasa mereka yang sanggup memikul tugas secara sukarela membela serta mengurus orang tua yang uzur terutama tiada waris.


Sazali (kiri) memberi penerangan kepada kakitangan syarikat kumpulan FGV yang diketuai Ilyas Helmi mengenai keadaan seorang warga emas di PJMM.


“Apa yang dipelajari dan dilihat ini akan mencaknakan kakitangan syarikat kumpulan FGV terbabit untuk sama-sama berfikir atau mengemukakan idea lain yang boleh dilaksanakan bagi membantu mereka kurang bernasib baik itu.

“Kita menyelami nasib mereka dan meninjau program masyarakat yang dilaksanakan ini supaya menjadi lebih cakna khusus membantu menyelesaikan atau mengurangkan bebanan masalah kesusahan mereka terbabit.

“Sumbangan dan bantuan ini seharusnya menceria serta mengembirakan hati mereka terutama warga emas di pusat jagaan yang sekian lama bersendirian menyambut Aidilfitri, “ katanya yang ditemui pada program Ihya Ramadan FGV di Pusat Jagaan Mahmudah (PJMM), Semenyih, Selangor, 15 April 2022 lalu.


Pengerusi Surau Al Muhajirin Wisma FGV, Ilyas Helmi Mohd Yusof menghulurkan sumbangan kepada warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia dalam Program Ihya Ramadan FGV pada 15 April 2022 lalu.


Ilyas Helmi yang mengetuai konvoi motosikal berkuasa tinggi yang dianggotai 20 kakitangan pelbagai syarikat kumpulan berkenaan mengunjungi pusat berkenaan untuk menyantuni warga emas di situ, di samping mengagihkan sumbangan, menyertai majlis berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih bersama-sama warga emas serta sukarelawan PJMM.

Beliau turut memaklumkan FGV akan menyumbangkan RM10,000 untuk PJMM yang diadakan dalam satu majlis berasingan tidak lama lagi. Turut hadir pada program itu Pengurus PJMM, Sazali Mohiden dan Penasihat 2, Mohiadin Bahado.

Sementara itu Mohiadin berkata, kunjungan pelawat dari luar selepas kelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 sekarang amat dialu-alukan bagi berkongsi rezeki dengan penghuni pusat berkenaan yang rata-rata berada dalam keadaan uzur.


Ilyas Helmi (tengah) bersama-sama rakan konvoi merakam kenangan di depan pintu utama PJMM.


Jelasnya, PJMM tidak dapat mengelak untuk mengharapkan bantuan dari luar dalam pelbagai segi terutama kewangan bagi menampung kos operasi yang mencecah RM50,000 sebulan untuk menampung perbelanjaan seperti elektrik, air dan rawatan penghuni yang menghidap penyakit kritikal.

“Mereka yang ditempatkan di pusat berkenaan tidak dikenakan sebarang bayaran dan dihantar ke situ oleh pihak hospital dan agensi kerajaan terbabit selepas terbiar atau mengadu tidak ada tempat untuk berteduh disebabkan tiada waris atau disisihkan ahli keluarga,” katanya.

Kepada mereka yang ingin membantu termasuk untuk mengeluarkan zakat boleh menghubungi nombor telefon Penasihat (1) PJMM, Azman Rasman  019-977 7419, Pengerusi PJMM, Ruslan Saidin (019- 212 3757) dan Pengurus PJMM, Sazali Mohiden (019-368 8142) sementara sumbangan wang boleh disalur ke Akaun CIMB Islamic -8603160021 (Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia) atau ke Akaun Maybank Islamic -562384521053 (Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia). - KitaReporters

Ilyas Helmi menghulurkan sumbangan FGV kepada seorang penghuni di PJMM.

25
14
1
20
0
You will be interested