Yasin (berbaju merah) di sebelah Idris Ahmad dalam program Jejak Kasih Ramadan di Penjara Sungai Buloh, pada 28 April 2022. - Kredit foto: IG yassinsulaiman
Tabung Bantuan Yasin Sulaiman yang mula dilancarkan pada 27 April 2022 lalu oleh keluarga penyanyi dan komposer ini mendapat sambutan baik dan positif daripada orang ramai.
Menurut abang kepada Yasin, 47, iaitu Dr Zain Sulaiman, 50, dia masih belum boleh mendedahkan jumlah kutipan sumbangan berikutan ia masih belum dikira dan diaudit.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Yasin Sulaiman
Sasaran jumlah kutipan menurut Zain belum ditetapkan kerana bergantung kepada perkembangan kes adiknya dari semasa ke semasa.
Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah berbuat demikian menerusi Bank RHB akaun bernombor 1101360010078 atas nama Mohamed Zain Sulaiman. Rujukan: Bantuan Yasin.
Menyentuh perkembangan terkini Yasin, Zain memberitahu sebuah media, adiknya dalam keadaan baik dan keluarga sentiasa meluangkan masa melawatnya di Penjara Sungai Buloh. Semangatnya nampak positif.
Selama menjadi penghuni penjara, Yasin menjadi imam solat setiap waktu, solat tarawih dan mengajar sejumlah banduan mengaji.
Sempena Hari Raya Aidilfitri, Yasin mencipta melodi lagu ‘Bebaskan Aku’ dari sebalik tirai besi dengan liriknya dicipta oleh Yasin dengan bantuan Jo Tan @ Klinik PSB.
Lirik lagu itu telah dimuat dalam IG-nya untuk pengetahuan sahabat handai dan peminat-peminatnya akan keresahan dirinya dalam penjara dan ingin segera dibebas.
Sementara itu,dalam satu program Jejak Kasih Ramadan di Penjara Sungai Buloh, pada 28 April 2022, Yasin melaungkan takbir raya dan kelihatan tenang dan duduk di sebelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Pada 31 Mac 2022 lalu, Yasin didakwa di mahkamah Petaling Jaya atas dua tuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Tuduhan pertama adalah di bawah Seksyen 39B iaitu tuduhan mengedar dadah jenis kanabis kerana jika kanabis yang ditemui melebihi 200g ia diandaikan untuk pengedaran.