Seni & Sukan 17 Mar, 2022

Video| Dari lagu ke novel! Nabila lancar Kerana Cinta Itu Ada selepas Putus! Nantikan drama pula!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Lazimnya, kita selalu baca cerita penerbit drama atau filem mengadaptasikan novel menjadi karya filem tetapi rasanya jarang sekali terdengar sebuah novel pula diterbitkan daripada lirik sebuah lagu.

Mungkin ada, penulis kurang pasti.

Namun yang pasti, lagu ‘Putus’ yang baru lima bulan dilancarkan penyanyi Nabila Razali, 29, diteruskan kesinambungannya daripada lirik lagu menjadi sebuah novel.

“Bagi saya lagu 'Putus' mempunyai jalan cerita yang menarik iaitu tentang seorang gadis yang nekad untuk mengakhiri hubungannya dengan kekasih yang tetap melukainya walaupun telah diberikan peluang kedua,” ujar Nabila.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan novel



Sehubungan itu, katanya disebabkan banyak lagi yang ingin diceritakan dalam lagu tetapi terbatas beliau mengambil keputusan  mengembangkannya menjadi novel dan memilih novelis popular Sophilea sebagai penulisnya dengan judul ‘Kerana Cinta Itu Ada’.

Bercakap lanjut pada majlis pelancaran novel berkenaan bertempat di Bookxcess, MyTown Cheras pada Rabu, 16 Mac 2022, Nabila memberitahu, Sophilea mempunyai peminatnya yang tersendiri dalam kalangan pembaca novel malah popular dengan beberapa karya antaranya ‘Anugerah Terindah’, ‘Kerana Kau Aku Kembali’ dan banyak lagi. 

“Saya bersyukur dapat bekerjasama dengan seorang penulis prolifik seperti Sophilea yang mampu menunaikan impian saya untuk menjadikan lagu ‘Putus’ kepada sebuah karya hebat,” tambah Nabila.


Nabila bersama novelis popular pilihannya, Sophilea (kanan) di Bookxcess, MyTown Cheras.


Dan lebih menariknya kata Nabila, apabila  ‘Putus’  merupakan lagu pertama sentuhannya bersama komposer Singapura, Erwin Purnama,  kini telah mencapai jumlah 4 juta tontonan dalam laman YouTube.

Lagu 'Putus' juga merupakan lagu kedua terbitan Nabila Razali Entertainment dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Selain novel, Nabila juga merancang untuk mengadaptasikan karya tersebut kepada sebuah drama selepas ini,

Wow! Jauh perancangan Nabila selepas ‘Putus’ malah menunjukkan beliau tidak mudah putus asa dalam apa sahaja kehendaknya.

Novel ‘Kerana Cinta Itu Ada ‘diedarkan oleh Mask Team dan boleh didapati secara dalam talian dengan harga RM35 bagi Semenanjung Malaysia, manakala RM38 di Sabah dan Sarawak malah bakal berada di kedai-kedai buku seluruh Malaysia dalam masa terdekat. 



'Kerana Cinta Itu Ada ‘ mengisahkan tentang seorang gadis bernama Nabila Aulia, siswazah lulusan pengurusan perniagaan yang  mengusahakan resort keluarganya. 

Ketika bekerja di situ, Nabila Aulia (ataupun lebih mesra dipanggil, Bella) telah bertemu dengan Tengku Aisy Mateen, yang merupakan anak pemilik hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Selepas beberapa pertemuan romantis yang tidak dijangka, membuatkan mereka berdua jatuh cinta. 

Pada Bella, Aisy merupakan lelaki paling hebat yang pernah hadir dalam hidupnya. Manakala bagi Aisy, Nabila bukan hanya seorang gadis biasa tapi bidadari yang Allah kirimkan dari syurga. Villa Paksina menjadi saksi kisah cinta mereka.



Namun hubungan percintaan ini putus di tengah jalan dek kerana fitnah oleh kawan baik Bella sendiri, Dahlia Rizal yang semenjak dahulu sentiasa menyimpan rasa cemburu dan sakit hati padanya. 

Bella membawa diri bertahun-tahun lamanya dan Aisy tetap setia menanti. Hatinya yang terluka buatkan Bella membenci Tengku Aisy tanpa tahu antara dia dan Aisy masih terikat dalam hubungan suami isteri.

Dapatkah hubungan cinta mereka kembali terjalin atau terpaksa mengambil keputusan untuk melepaskan? Jawapannya ada dalam novel Kerana Cinta Itu Ada.

Bunyi macam menarik aje kan ceritanya, jadi kalau nak tahu kesudahannya eloklah membacanya dan untuk tempahan boleh layari pautanhttps://keranacintaituada.onpay.my/. - KitaReporters


16
8
0
15
0
You will be interested