Seni & Sukan 29 Jun, 2022

Hebatnya! Drama Malaysia The Maid tembusi TV Filipina! Dalam bahasa Tagalog! The Maid 2 menyusul!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Jika satu ketika dahulu, kita disogokkan dengan drama-drama syndicated dari negara Asia terutama Filipina dengan cerita popular seperti antarany ‘Pengako Sayo’ dan lain-lainnya, kini giliran rakyat republik itu pula berpeluang menyaksikan drama Melayu yang dialih suara ke bahasa Tagalog.

“Drama bersiri popular terbitan Gempak, ‘The Maid’ mencipta satu rekod baharu, menembusi pasaran antarabangsa apabila ia kini sudah ditayangkan dalam saluran televisyen popular Filipina, GMA mulai 20 Jun (2022) lalu,” dedah Syazwan Zakariah, Ketua Content Studio Astro ketika ditemui pada majlis sidang media ‘The Maid 2’ bertempat di rumah Agam, Sq. Penchala pada Selasa, 28 Jun 2022 lalu.

Turut hadir barisan pelakon utama antaranya Sherry Alhadad, Datin Seri Paduka Eina Azman, Ezzaty Abdullah, Ieda Moin, Sean Lee, Yuna Rahim dan ramai lagi.


Syazwan Zakariah (lima dari kiri) bersama pengarah, Michael Ang (empat dari kanan) serta barisan pelakon 'The Maid 2'.


Penonton setia 'The Maid'  bakal menyaksikan kesinambungan telatah Suhana (Sherry), Nadia (Eina) dan Fika (Ezzaty) selepas mereka diceraikan oleh Jay (Norman Hakim, penulis novel Payung Emas yang kini mempunyai isteri baharu bernama Qina (lakonan Marsha Milan).

Jay dituduh merampas kesemua harta milik bekas isteri-isterinya setelah memperdayakan mereka. Ketika Jay dan Qina melancarkan sebuah resort di Pulau Dao, Suhana, Nadia, Fika dan Kak Mel (Ieda Moin) mengekori mereka dengan hasrat untuk membunuh Jay. 

Namun belum sempat mereka melaksanakan apa yang dirancang, Jay ditemui mati. Kini ketiga-tiga bekas isteri terperangkap di resort tersebut dan menjadi suspek utama pembunuhan. 

Sekuel dengan 12 episod ini mengembalikan semula barisan pelakon asal namun pada musim terbaharu ini diperkenalkan watak-watak baharu lakonan Marsha Milan, Yuna Rahim, Sean Lee, Hazeeq Dean dan Aniq Suhair



Menurut Syazwan, ekoran sokongan padu penonton Malaysia serta kejayaan menembusi pasaran luar, mendorong pihaknya untuk muncul dengan sekuelnya, “The Maid 2’ yang bakal ditayangkan mulai 6 Julai 2022 depan.

Tambahnya, walaupun mengambil masa setahun untuk menyempurnakannya, diyakini peminat masih setia menanti apakah cerita terbaru Mr Jay dan isteri-isterinya serta pembantu-pembantu mereka. 



"Apa yang boleh saya katakan, bersiap sedialah untuk satu pengembaraan misteri terbaharu dengan plot yang lebih dramatik serta mendebarkan dan sinematografi yang lebih memukau berlatarkan sebuah resort. 

"Setiap episod akan membuatkan anda tidak senang duduk, malah ternanti-nanti apakah yang bakal berlaku seterusnya,”  jelas Syazwan.

Masih mengekalkan penulis skrip seperti Sham Hashim dan Nazri Vovinski, ‘The Maid 2’ merupakan arahan bersama dua sutradara popular, Michael Ang dan Hadith Omar

Dalam pada itu difahamkan, penggambaran drama mengambil masa hampir setahun untuk menyelesaikannya atas beberapa faktor yang tidak dijangka selain isu dunia dilanda wabak COVID-19 sehingga berlakunya “lockdown’.

Selain beberapa pelakon dan krew dijangkiti COVID-19 dan kesukaran mendapatkan jadual pelakon atas kekangan SOP, PKP dan cabaran logistik, pelakon Ezzaty Abdullah sempat hamil dan bersalin sepanjang penggambaran dihentikan. 



“Sebenarnya semasa berlakon saya hamil tetapi tidak memberitahu produksi kerana yakin dapat selesaikan penggambaran sebelum nampak ‘baby bump’,” ujar Ezzaty memulakan bicara ketika diwawancara.

Tetapi apabila masuk bulan keempat dan kelima, beliau tidak dapat lagi menutup perut yang semakin besar jadi terpaksalah memberitahu pihak produksi tentang kehamilannya.

“Rasa bersalah pun ada kerana menganggu jadual penggambaran apatah lagi saya hanya boleh sambung semula shooting selepas bersalin dan habis pantang,” kenang Ezzaty sambil memberitahu tidak rasa kekok untuk menyambung wataknya cuma berat badannya naik daripada asalnya sehingga nak kancing seluar pun dah tak muat.

Dalam nada bergurau sempat pula Ezzaty berkata,” masalah pembantu rumah saya sendiri  yang lari seakan badi yang saya tempoh berlakon dalam siri ‘The Maid’ (Pembantu Rumah)."



'The Maid 2’ akan ditayangkan pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam mulai 6 Julai 2022 melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. 

Khas untuk pelanggan Astro, mereka berpeluang menyaksikan dua episod pertama secara serentak, juga pada 6 Julai 2022 mulai jam 9.30 malam secara strim menerusi On Demand

Selain itu, ‘Video Pengakuan The Maid 2’ (Digital Extension) boleh ditonton secara percuma di platform Gempak.com setiap Rabu pukul 10.05 mulai 6 Julai 2022

Video pengakuan ini menampilkan temu bual secara intim dengan karakter-karakter seperti pengakuan Suhana, Nadia, Fika, Qina dan ramai lagi mengenai apa yang berlaku setiap minggu. - KitaReporters


10
7
0
10
0
You will be interested