Seni & Sukan 19 Jun, 2022

Tolong kami! Bantu 2 wanita Orang Asli cari rezeki! Jual pokok hiasan, buah kelubi! Bangsal buruk!

@che saad noordin
Che Saad Noordin bekas stringer Bintang Timur, Utusan Malaysia/Utusan Melayu, Watan Harian, TV3, RTM dan Bernama untuk daerah Baling dan sekitarnya

Share this



KEGIGIHAN dua wanita Orang Asli dari Kampong Belibis dan Kampong Jemeri di daerah Rompin, Pahang berusaha menjual pokok hiasan liar yang dikutip dari hutan untuk perubatan dan tanaman hiasan halaman rumah patut mendapat sokongan pihak-pihak yang bertanggungjawab .

Kegigihan dua wanita Orang Asli ini mendirikan bangsal di pinggir hutan di laluan utama Rompin ke Pekan berdekatan kawasan Hutan Lipur Mencali untuk mencari rezeki sepatutnya diberikan sokongan sepenuhnya.

Ani Injer


Bagi Ani Injer, 63, dari Kampong Belebes, dia berkata, usahanya seharian dari pagi hingga petang menjual lebih 30 jenis pokok liar untuk hiasan dan perubatan tradisional semata-mata untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga.
Jelasnya, dia akan merayau di dalam hutan untuk mencari pokok-pokok renek yang cantik dan tidak terlalu tinggi sesuai ditanam di halaman rumah.
Menurutnya lagi, ada lebih dari 30 jenis spesis pokok yang dijualnya dibeli pembeli yang berminat dengan kecantikan pokok hutan yang diusahakannya.


Beliau yang mempunyai 8 orang anak yang sudah dewasa dan lebih 12 orang cucu berkata, berbagai-bagai jenis pokok hutan yang boleh dijadikan ubat terutama untuk rawatan penyakit resdong dan batuk.
Bagaimanapun katanya, usaha dia dan rakannya langsung tidak mendapat sokongan mana-mana pihak untuk membantu dari segi modal dan tapak khas untuk menjual pokok-pokok berkenaan,
"Kami buat sendiri bangsal dari kayu hutan untuk berteduh daripada panas dan hujan sepanjang hari kami berniaga di sini," katanya.
Menurut Ani lagi, jualan pokok hiasannya kadang-kadang laris, dan kadang-kadang seringgit pun tak dapat dalam sehari.

Sekembang Kempas


Sementara itu, Sekembang Kempas, 66, dari Kampong Jemeri di Rompin, yang menjual buah kelubi dan pokok-pokok hiasan juga mengakui terpaksa berjualan sedemikian untuk mencari rezeki membantu anak-anak yang masih tinggal bersamanya.
Katanya, dia mendapatkan bekalan buah kelubi daripada rakan anak-anaknya dari Kampong Batu Gong, Kuantan.
"Saya menjualnya dalam kadar seberkas RM10 hingga RM15 mengikut banyak atau sikit buah yang ada pada tangkainya," jelasnya.
Menurut Sekembang lagi, untuk mendapatkan bekalan buah kelubi kini amat sukar kerana sudah banyak kawasan tumbuhan pokok kelubi dimusnahkan.
Jelasnya lagi, walaupun ramai terutama wanita mengandung yang berminat makan buah kelubi namun sukar ditemui dijual di pasar-pasar.
Sekembang juga ada menjual lebih 15 jenis pokok-pokok hiasan halaman rumah di pondoknya di laluan utama Rompin ke bandar Pekan dalam usaha mendapatkan rezeki seharian. - KitaReporters

16
15
0
13
0
You will be interested