Seni & Sukan 28 May, 2025

Belum rezeki! Lima B-23 tak lolos Fasa 1 Harimau Malaya! Tetap timba ilmu Cklamosvki, idea Revolusi!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: [email protected]

Share this

AIMAN Hakimi Othman, bek tengah Selangor FC II yang menikmati sesi latihan Fasa 1 Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski. - Kredit foto: FAM 


HANYA seminggu sempat menikmati perit jerih memburu tempat dalam Harimau Malaya.

Shafizan Arshad, Aiman Hakimi Othman, Alif Ahmad dan Haykal Danish Zainon juga berpeluang menimba tunjuk ajar dan petua ketua jurulatih negara warga Australia, Peter Cklamovski dan barisan penolongnya.

Bukan mudah untuk dapat dipanggil dan bersaing pula dengan para senior ketika mereka masih cuba mencipta nama sebagai tonggak junior Johor Darul Ta’zim (JDT) FC II dan Selangor FC II - dua pasukan liga bawah 23 (B-23) tahun, Piala MFL.  

Malah tempoh tersebut sekurang-kurangnya mampu mendedahkan mereka apa itu gagasan Revolusi Harimau Malaya yang dicetuskan pemilik JDT FC, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak Disember 2024 lalu. 

Namun hanya setakat itu ‘jodoh’ mereka di samping bekas perantara FC Osaka (Jepun), Selangor FC dan skuad B-23 negara, Muhammad Abu Khalil sepanjang fasa pertama kem latihan pusat sejak 18 Mei 2025 lalu.

Muhammad, 20, turut pernah tersenarai dalam Kejohanan ASEAN 2024-2025 yang menyaksikan Harimau Malaya yang ketika itu dikendalikan warga Sepanyol, Pau Marti Vicente gagal melolosi Kumpulan A untuk ke separuh akhir.   


MUHAMMAD Abu Khalil (depan) turut berlatih di Padang Seri Gelam namun tidak dapat menambah kap antarabangsanya selepas Kejohanan ASEAN 2024-25. - Kredit foto: FAM 


Kem latihan pasukan negara di Pusat Latihan JDT FC, Padang Seri Gelam, Johor Bahru ini telah mengurangkan saiznya dari 36 kepada 31 pemain sekarang, tetapi tidak termasuk Dion Cools dan Hector Hevel yang hanya akan melapor diri pada 1 Jun 2025 apabila mereka berpindah pangkalan ke Kuala Lumpur mulai 27 Mei 2025.  

Bek tengah berdarah warisan dan perantara naturalisasi ini masih terikat dengan komitmen kelab Buriram United FC, Thailand dan Portimonense SC, Portugal.

Terdahulu pada 20 Mei 2025, Cklamovski menamakan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman sebagai penjaga gol skuad 31 pelatih ini bagi menggantikan penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim yang terpaksa menarik diri atas urusan peribadi.

Pemain Selangor FC yang pernah menganggotai skuad Piala Asia 2024 di Qatar ini, masih perlu bersaing bagi tiga slot ke siri perlawanan itu dengan empat lagi pilihan - Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Azri Ghani, Haziq Nadzli dan Syed Nasrulhaq Syed Bidin.  


KEDUA-DUA perlawanan antarabangsa tahap 1 dan Kelayakan Akhir Piala Asia ini akan mempengaruhi ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila dikemaskinikan 10 Julai 2025. - Kredit foto: FAM


Harimau Malaya, penghuni ranking ke-131 dunia akan berdepan Cape Verde dalam perlawanan antarabangsa tahap 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 29 Mei 2025 dan perlawanan latihan tertutup 3 Jun 2025 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pertemuan dengan pasukan Afrika yang di ranking ke-72 dunia ini merupakan julung-julung kalinya dan lawan dilaporkan bakal diperkasa Logan Costa, bek tengah kelab gergasi La Liga Sepanyol, Villareal CF.

Tubaroes Azuis (julukan Cape Verde) atau Si Jerung Biru juga pernah layak empat kali ke Piala Negara-negara Afrika (Afcon) dengan pencapaian terbaiknya ialah suku akhir 2023.  


HAYKAL Danish Zainon, penyerang berbakat Selangor FC II yang mungkin dipanggil FAM bagi skuad B-23 ke Sukan SEA di Thailand pada Disember 2025. - Kredit foto: FAM


Dua siri perlawanan ini sebagai persediaan menjelang menentang Vietnam, ke-109 dunia yang juga pendahulu Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 pada 10 Jun 2025 juga di Bukit Jalil. 

Ini merupakan aksi kedua susulan kemenangan 2-0 terhadap Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor tanggal 25 Mac 2025 lalu menerusi jaringan Hevel dan La’Vere Corbin-Ong.

Pertembungan akhir tanggal 27 Disember 2022 dengan Vietnam merakamkan kekalahan pasukan negara kendalian Kim Pan-gon, 3-0 dalam saingan Kumpulan B Piala AFF 2022 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.

Kali akhir Harimau Malaya membaham Pahlawan Bintang Emas (4-2) ialah dalam separuh akhir kedua Piala AFF 2014 di stadium itu pada 11 Disember 2014, manakala di Bukit Jalil tanggal 11 Disember 2018 menyaksikan mereka terikat 2-2 dalam final pertama kejohanan sama.   


SKUAD 33 PELATIH HARIMAU MALAYA

Penjaga gol: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Johor Darul Ta’zim FC), Azri Ghani (Kuala Lumpur City FC), Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Selangor FC), Syed Nasrulhaq Syed Bidin (Terengganu FC), Haziq Nadzli (Perak FC).  

Benteng:  La’Vere Corbin-Ong, Matthew Davies, Shahrul Saad, Junior Eldstal (Johor Darul Ta’zim FC), Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Zikri Khalili, Quentin Cheng (Selangor FC), Safwan Mazlan, Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC), Dominic Tan, Daniel Sang Ting (Sabah FC), Dion Cools (Buriram United FC, Thailand), Gabriel Palmero (CD Tenerife B, Sepanyol).  

Perantara: Afiq Fazail, Nazmi Faiz Mansor, Nathaniel Hong Wan, Syamer Kutty Abba (Johor Darul Ta’zim FC), Nooa Laine (Selangor FC), Stuart Wilkin (Sabah FC), Endrick Dos Santos (Ho Chi Minh City FC, Vietnam), Hector Hevel (Portimonense SC, Portugal).

Sayap: Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Ta’zim FC), Faisal Halim (Selangor FC), Safawi Rasid (Terengganu FC).

Penyerang: Fergus Tierney, Romel Morales (Johor Darul Ta’zim FC), Paulo Josue, Haqimi Azim Rosli (Kuala Lumpur City FC).


SIKH Izhan Nazrel Sikh Azman kembali mendapat tempat ke kem latihan Harimau Malaya dengan penarikan diri Rahadiazli Rahalim. - Kredit foto: FAM

13
16
0
11
0
You will be interested