Seni & Sukan 30 May, 2025

Video| P Ramlee gila, kata Mahmud! Transformasi dari Awang Sulong ke Pak Maon! Watak jahat ke komedi!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

.


P RAMLEE berjaya mengubah watak Mahmud June daripada pelakon watak jahat kepada komedi seperti dalam filem Do Re Mi ini. - Kredit foto: Repair Gambar Lama.


SIAPA boleh melupakan watak Awang Sulong, anak penghulu Mersing yang samseng, pendengki dan penabur fitnah.

Angkara Awang Sulong, cinta Damak dan Seri bukan saja terhalang malah Damak bersama ibu dan adiknya Deli dihalau keluar dari Mersing.

Dan sudah tentu anda juga tidak akan melupakan gelagat seorang lelaki tua bernama Pak Maon yang berlagak muda serta terkinja-kinja menari twist pada malam Pesta Muda Mudi.

Gelagat Pak Maon itu sangat menghiburkan serta melucukan menyebabkan dia terus dikenang sehingga sekarang.

Kedua-dua watak itu ternyata sangat kontras bagai langit dengan bumi tapi dibawa oleh orang yang sama iaitu seniman Allahyarham Datuk Mahmud June.

Watak Awang Sulong dilakonkan Mahmud menerusi filem Seri Mersing, arahan Allahyarham Saleh Ghani, sementara Pak Maon adalah penghidup jalan cerita filem Nasib Do Re Mi arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.


MAHMUD June terkenal sebagai pelakon watak jahat.


Ketika era kegemilangan filem-filem terbitan Cathay Kris pada tahun 1950-an dan 1960-an, Mahmud June memang terkenal dengan watak jahat yang menimbulkan kebencian penonton sehingga beliau pernah diludah oleh seorang peminat.

Selain watak Awang Sulong, Mahmud juga dingati sebagai Megat Rambai menerusi filem Jalak Lenteng, Tun Bija Ali (Sultan Mahmud Mangkat Di Julang) dan Pateh Karmawijaya (Hang Jebat).

Keberkesanan lakonan Mahmud menyebabkan label ‘crook’ melekat pada dirinya sehinggakan beliau sendiri berasa tidak selesa jika ditawarkan menjadi ‘orang baik’ sehinggalah P Ramlee berjaya menyakinkannya.

Sebagai mengenang ulang tahun kematian P Ramlee ke-52 pada Khamis, 29 Mei, 2025, penulis ingin mengimbas kembali kisah bagaimana pengarah itu berjaya menukar watak Mahmud daripada ‘orang jahat’  menjadi ‘orang baik’.


PENULIS bersama Allahyarham Mahmud June pada 1990-an.


Hal ini diceritakan oleh Mahmud kepada penulis dalam satu pertemuan di rumahnya di Kampung Laksamana, Batu Caves, Selangor, pada tahun 1990-an.

Menurut Mahmud, beliau pada awalnya menolak watak Gegala dalam filem Damaq arahan P Ramlee kerana tidak yakin dapat membawanya dengan berkesan malah bimbang tidak diterima peminat yang sudah terbiasa dengan lakonannya sebagai penjahat.

“Saya cakap pada P Ramlee, ‘gila ka nak suruh abang jadi orang baik’. Saya kata peminat tak akan terima dan jika saya berlakon juga watak Gegala, ada kemungkinan orang tak nak tengok filem itu.

“Tapi, P Ramlee berkata dia yakin peminat boleh terima sebab orang nak tengok sesuatu yang baharu daripada saya. Dia kata, orang dah biasa tengok Mahmud June jadi jahat, sekarang dia jadi baik, macam mana agaknya,” cerita Mahmud.

“Saya kata cari orang lainlah untuk watak itu. Biar saya berlakon jadi orang jahat tapi P Ramlee tetap berkeras nak saya bawa watak Gegala kerana katanya memang watak itu diciptanya untuk saya.

“Saya anggap P Ramlee gila tapi kerana dia terlalu mendesak, akhirnya saya terima watak itu.” Demikian lebih kurang kata Mahmud kepada penulis.


MAHMUD June (kiri) berlakon sebagai Gegala dan P Ramlee sebagai Damaq.


Dalam filem Damaq itu, Mahmud berlakon sebagai Gegala, abang kepada Damaq lakonan P Ramlee sementara watak jahat dipegang oleh Idris Hashim (Bujang).

Selepas ditayangkan, Mahmud tidak menerima sebarang reaksi negatif daripada peminat, menyebabkan beliau semakin yakin untuk terus membawa watak baik selepas itu menerusi filem Masam-Masam Manis juga arahan P Ramlee.

Bagi Mahmud, P Ramlee mempunyai magis tersendiri kerana sentiasa berjaya membentuk watak pelakon di bawah arahannya. Ia sudah terbukti dalam banyak filem.

Sebelum itu, pengarah berkenaan pernah menukar watak bengis Saleh Kamil kepada komedi menerusi filem Tiga Abdul sehingga pelakon berkenaan dikenali sebagai ‘tuan penasihat 25 persen’.


MAHMUD (kiri) membawa watak Rashid dalam filem Masam-Masam Manis.


Dan di bawah tangan P Ramlee jugalah, Mahmud ditransformasi sebagai pelakon komedi menerusi watak Pak Maon dalam filem Nasib Do Re Mi.

Ia sekali gus mengangkat Mahmud yang lahir dari pentas bangsawan, sebagai pelakon serba boleh di layar perak.

Namun, beliau tidak akan melupakan jasa P Ramlee yang membuka peluang kepadanya beralih dari watak Awang Sulong kepada Pak Maon.

Kedua-dua seniman terbilang itu sudah lama meninggalkan kita. P Ramlee menghembuskan nafas terakhir pada 29 Mei, 1973 sementara Mahmud meninggal dunia pada 14 Februari, 2002.

Semoga roh kedua-dua pelakon itu dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama golongan orang beriman. Al Fatihah. -KitaReporters


WATAK Pak Maon lakonan Mahmud June paling diingati.

 

 

 

 

13
16
0
11
0
You will be interested