Seni & Sukan 30 May, 2025

Semakin pupus! Marhaban, berzanji tak tarik minat generasi muda! Surau Balai Pukat usaha pertahan!

@nazar hashim
Emel: nazarhashim10@gmail.com

Share this

Surau Al Hidayah lebih dikenali sebagai Surau Balai Pukat oleh penduduk tempatan.


Antara ahli marhaban senior yang masih kekal digabungkan bersama generasi muda supaya iebih bertenaga. 


Kata-kata "Marhaban Ya Nurul Aini, Marhaban Ya Marhaban, Marhaban Jaddalhusaini, Marhaban Ya Marhaban," jika dialunkan mengikut nada dan iramanya memang sedap didengar.

Ia sering kedengaran apatah lagi menjelangnya sambutan Maulid Rasul mahupun majlis perkahwinan dan keramaian.

Namun begitu kini, amalan tradisi ini semakin lama semakin kurang kedengaran baik di kampung mahupun di kawasan bandar.

Dahulu program marhaban dan berzanji merupakan suatu kemestian yang perlu ada bagi majlis meraikan perkahwinan, sambutan Maulid Rasul, menyambut kelahiran bayi baru, khatam al-Quran mahupun majlis keramaian. 

Namun begitu ekoran peredaran zaman, di kebanyakan tempat, aktiviti marhaban dan berzanji kini semakin suram dan boleh pupus sekiranya tidak dipertahan.

Bagi memastikan tradisi ini terus hidup dan kekal Surau Al-Hidayah, Balai Pukat, Jalan Pantai, Butterworth mengambil inisiatif mengadakan kelas marhaban dan berzanji setiap malam Jumaat antara satu hingga dua jam dan terbuka kepada siapa sahaja khususnya generasi muda.


Najman Ahmad yang merupakan penggerak bagi mewujudkan kelas marhaban dan berzanji di Surau Balai Pukat.


"Marhaban dan berzanji ini menarik dan sedap didengar sebagai hiburan yang dipenuhi dengan pujian ke atas Nabi Muhammad SAW serta kisah kelahiran beliau.

"Lagu yang dialunkan ada pelbagai rentak dan alunan. Malah ada sesetengah tempat mengadunkan alunan lagu tradisi lama dan baharu yang turut digabungkan.

"Di Surau Balai Pukat kami sudah diajar tiga rentak dan alunan lagu yang berbeza dan ia amat sesuai bagi semua golongan masyarakat," kata Najman Ahmad yang menjadi tonggak kelas ini ketika ditemui.

Tambah beliau lagi, dahulu terdapat ramai veteran yang turut sama bagi memeriahkan setiap majlis marhaban dan berzanji yang diadakan, tetapi ramai juga sudah uzur dan pulang ke rahmatullah. Yang tinggal hanya beberapa ahli saja yang masih bersemangat.


Kelas marhaban dan berzanji yang berjaya mengumpulkan generasi muda di Surau Balai Pukat, Butterworth.


Sejajar dengan itu katanya, bagi memastikan tradisi ini kekal dan terus hidup, maka kelas baharu marhaban dan berzanji sudah pun dimulakan sejak enam bulan yang lalu.

Ia disertai ramai generasi muda pelbagai usia dengan suara yang nyaring dan lantang.

Najman juga berkata antara lagu yang mereka alunkan adalah irama nahwand, jiharkah dan rast.

Sebelum ini kata beliau, kumpulan marhaban dan berzanji sedia ada  amat aktif di Masjid Mak Mandin yang letaknya tidak jauh dari Surau Al-Hidayah dan sering mendapat undangan pelbagai majlis keramaian.

Tenaga pengajar yang dibawa dari Masjid Mak Mandin pula mengajar secara percuma demi meneruskan kesinambungan tradisi ini.


Hussain, 12 tahun, berjaya kuasai 2 lagu marhaban dan amat teruja ingin menguasai lebih banyak ilmu dan lagu. 


Pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Hussain, 12 tahun, ketika ditemui berkata, beliau telah berjaya menguasai 2 lagu marhaban dan amat teruja untuk meneruskan ilmu ini.

"Permulaan marhaban kami mulakan dengan selawat Nabi.Kemudian diikuti dengan tahtim iaitu bermula dengan alunan bacaan Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas serta Al-Fatihah.

"Kemudian diikuti dengan ayat Kursi dan Al-Maul Husna.Semuanya mempunyai rentak yang tersendiri diterajui tekong atau khalifah," katanya lagi.


Hamid, 11 tahun amat seronok dengan kelas ini dan pertama kali didedahkan dengan lagu dan alunan marhaban.

Hamid, 11 tahun, pula berkata, ini kali pertama dia didedahkan dengan alunan marhaban dan berzanji.

"Sejak awal mengikuti kelas ini saya begitu teruja dan ingin tahu lebih banyak lagu. Alhamdulillah kelas ini amat seronok dan tidak membosankan.

"Inilah kali pertama saya dan kawan-kawan dari Jalan Baru, Perai mempelajari marhaban dan berzanji. Banyak ilmu yang kami dapat daripada kelas ini," ujarnya. - KitaReporters


Barisan ahli marhaban semakin berkurangan dan pengambilan anggota baharu dalam kalangan generasi muda amat menggalakkan. 

20
13
0
12
0
You will be interested