.
Tanggal 29 Mei setiap tahun tidak harus dilupakan. Ia adalah tarikh keramat iaitu kelahiran akhbar jawi Utusan Melayu di Singapura pada 29 Mei 1939. Di samping itu ia juga tarikh duka bagi peminat seni iaitu kematian Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee pada 29 Mei 1973.
Kini pada 29 Mei 2025 sudah 52 tahun kepergian P Ramlee pada usia 44 tahun akibat serangan jantung. Jika dia masih hidup hingga kini usianya ialah 96 tahun.
P Ramlee yang nama asalnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh berdarah Aceh, pernah berkata dia ingin hidup seribu tahun lagi.
Memang kata-katanya itu akan menjadi kenyataan jika kerajaan dan agensinya, karyawan seni dan masyarakat umum mengambil langkah tertentu untuk terus mengabadikan nama bintang seni ‘Seniman Agung’ ini dan hasil karya seninya.
Tidak cukup sekadar menayangkan berterusan filem-filem arahan dan lakonan P Ramlee di stesen TV, dan ada stesen radio yang menyiarkan sejumlah lagu ciptaan dan nyanyian P Ramlee setiap hari.

Tidak dinafikan bahawa P Ramlee merupakan insan seni Melayu yang paling banyak dibincangkan masyarakat. Malahan golongan bukan Melayu juga mengenali P Ramlee dalam bidang lakonan dan muzik.
Tidak salah bagi masyarakat Malaysia bangga akan kewujudan P Ramlee sebagai insan seni berbakat besar dan menjadi kebanggaan bangsa Melayu.
Jika ada masyarakat asing bertanya siapakah insan seni Malaysia yang paling berbakat, masyarakat Malaysia tidak akan malu menyebut nama P Ramlee.
Dia tidak kalah dengan kehebatan Charlie Chaplin di England. John Wayne di Amerika Syarikat dan Marudhur Gopalan Ramachandran (MGR) dan Sivaji Ganesan di India. Malah ada bidang seni yang P Ramlee dia lebih hebat daripada bintang-bintang seni itu.
Cuma sayangnya tiada usaha dijalankan pihak tertentu untuk mencadangkan nama P Ramlee tercatat antara insan seni paling berbakat di dunia.

P Ramlee ketika menerima pingat AMN daripada Yang di-Pertuan Agong
Tidak dinafikan langkah menghargai dan mengenang jasa P Ramlee sudah dilaku sejak lama dahulu. P Ramlee adalah insan seni tanah air yang pertama menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) daripada Yang di-Pertuan Agong pada 1963.
Cuma P Ramlee hanya menerima sejumlah penghargaannya selepas kematiannya. Dia dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh Yang di-Pertuan Agong pada 6 Jun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri setelah 17 tahun kematiannya.
Dia turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran ‘doktor’.
P Ramlee juga diberi penghormatan oleh Pemerintah Negeri Sarawak dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak atau Datuk Amar Bintang Kenyalang (Anumerta) (DA (P)) pada 2009.
P Ramlee dicatat berlakon dalam 66 dengan 35 daripadanya juga arahannya. Dia juga mencipta lebih 250 lagu dengan sebahagiannya dinyanyikan oleh dia sendiri.

P Ramlee dan isterinya Saloma dalam satu adegan dalam filem 'Ragam P Ramlee'
Malah ada ibu bapa yang fanatik dengan P Ramlee memberi nama Ramlee untuk anak mereka.
Pada tahun 1982, namanya turut diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan P. Ramlee (dahulunya Jalan Parry) di Kuala Lumpur. Di Kuching, Sarawak juga terdapat sebatang jalan yang dinamakan Jalan P. Ramlee.

P Ramlee, gambar 11 hari sebelum kematiannya
Namun rasanya penghargaan untuk Seniman Agung yang tiada gantinya ini masih belum mencukupi.
Pada 22 Mac 1986, bersempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-57, kediaman terakhirnya di Jalan Dedap, Setapak. Kuala Lumpur diubah suai dan dijadikan Pustaka Peringatan P. Ramlee telah dibuka kepada umum. Ia mempamerkan memorabilia dan bahan-bahan berkaitan P. Ramlee.
Sementara di Jalan P Ramlee (dulu Caunterhall Road), rumah kediaman P Ramlee ketika kecil dibuka kepada umum dengan menempatkan beberapa barangan yang pernah digunakannya semasa membesar di Pulau Pinang.
Apakah telah mencukupi bentuk penghargaan yang diberi kepada Seniman Agong ini?

Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)
Projek penubuhan Universiti P Ramlee (UPR) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi bagi mengganti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang dicadang pada 2015 masih tiada khabarnya setelah 10 tahun.
Penubuhannya untuk memacu industri kreatif dan kebudayaan di Malaysia.
Meletak nama P Ramlee bagi universiti itu adalah satu penghormatan besar kepada Seniman Agong itu.
Walaupun tidak dapat mewarisi kesemua bakat P Ramlee, namun UPR diyakini mampu melahirkan graduan-graduan insan seni berbakat. Sama seperti ASWARA sekarang yang berjaya melahirkan ramai insan seni dalam bidang lakonan mahupun muzik, tarian dan penulisan kreatif.

Pustaka Peringatan P Ramlee di Jalan Dedap, Setapak, Kuala Lumpur
Walaupun sudah ada Pustaka Peringatan P Ramlee, namun kewujudan Muzium Seni P Ramlee adalah perkara yang lebih wajar. Pustaka Peringatan itu cukup sekadar menyimpan barangan yang menyimpan barangan tertentu sahaja seperti perabot.
Barangan lain perlu diletak di Muzium Seni P Ramlee. Muzium Seni P Ramlee bukan hanya menyimpan barangan peribadi dan kenangan meliputi filem, lagu dan bahan-bahan bercetak.
Ia juga boleh menjadi bahan simpanan barangan koleksi dan berharga insan-insan seni yang berjasa besar, antaranya Tan Sri S.M Salim dan Datuk Sudirman.
Mewujudkan Muzium Seni P Ramlee boleh dilaku oleh Kementerian Penerangan melalui agensinya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan bekerjasama dengan pihak Muzium Negara.