Seni & Sukan 04 Dec, 2021

Piala Emas Raja-raja kembali! Capai ulang tahun 100 tahun pada 2022! Piala Agong pembuka tirai!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

PIALA Agong (kiri) dan Piala Emas Raja-raja. 


SEPERTI Piala Malaysia yang memasuki 100 tahun penganjuran pertandingannya, sebuah lagi kejohanan bola sepak hampir sebaya, Piala Emas Raja-raja turut akan mencecah angka usia itu pada 2022.

Piala Emas Raja-raja hanya muda setahun daripada Piala Malaysia/Malaya (1921) namun pernah beberapa kali tidak dapat dilangsungkan tanggal 1931 hingga 1934, 1937 dan 1939 malah ketika Perang Dunia Kedua dari 1940 hingga 1947.    


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Piala Emas Raja-raja



“Selaku penganjur Piala Emas Raja-raja dan Piala Agong, Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) turut terkesan dengan pandemik Covid-19 sehingga terpaksa menundanya ke 2022.

“Tahun 2020 dan 2021 tiada kedua-dua pertandingan tersebut, tetapi saya yakin 2022 akan menyaksikan kembalinya agenda utama tahunan PBMM itu asalkan ancaman Covid-19 dengan varian baharu sekarang, tidak seserius sebelumnya.

“Meneruskan tradisi, Piala Agong akan menjadi perlawanan pembuka tirai musim 2022 dengan Piala Emas Raja-raja menyusul dalam Ogos atau September," kata Mohd Firdaus Mohamed dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan PBMM Ke-65 pemilihan di Ampang, Selangor, pada 3 Disember 2021. 


MOHD. Firdaus Mohamed menyampaikan ucapan alu-aluan Mesyuarat Agung Tahunan PBMM Ke-65. - Kredit foto: PBMM


PBMM perlu melangsungkannya dengan peringkat umur tertentu selepas Piala Presiden (kejohanan kebangsaan untuk pemain bawah 21 tahun) anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jelasnya.

Piala Agong 2022 bakal menemukan juara 2019, Pahang dengan Majlis Sukan India Malaysia (MISC) selaku juara Piala Emas Raja-raja atau kemungkinan naib juaranya, Kuala Lumpur bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Pertandingan PBMM.

MISC hanyalah pasukan jemputan atas budi bicara penganjur menurut tahun tertentu sedangkan Piala Emas Raja-raja dan Piala Agong lebih diutamakan untuk 14 ahli gabungan PBMM.


MISC (jersi biru) mengejutkan Kuala Lumpur 2-1 untuk menjuarai Piala Emas Raja-raja selaku pasukan jemputan pada 2019. - Kredit foto RMRB


Sementara itu, mesyuarat berkenaan di sebuah hotel menyaksikan tujuh jawatan kanan atau Jawatankuasa Eksekutif (Exco) PBMM bagi penggal 2021-2025 dimenangi secara tanpa bertanding termasuk Presiden dan Timbalan Presiden.  

Mohd. Firdaus Mohamed dan Datuk Ramlan Askolani mempertahankan kerusi No. 1 dan 2 persatuan yang ditubuhkan pada 19 April 1947 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan nama asal Persekutuan Sepak Bola Melayu Semenanjung (PSMS) ini. 

Mereka menyandangnya sejak penggal 2019-2021. Firdaus juga ialah Naib Presiden FAM manakala Ramlan merupakan bekas tonggak Kuala Lumpur juara hatrik Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989. 


EXCO PBMM menayangkan jersi penaja pada sesi bergambar selepas pemilihan penggal 2021-2025. - Kredit foto: PBMM


MOHD. Firdaus Mohamed (duduk, tengah) dan Ramlan Askolani dalam sidang media sempena mesyuarat pemilihan PBMM. - Kredit foto: PBMM


PBMM bagi penggal baharu ini dengan pindaan Perlembagaannya, menambah kuota Timbalan Presiden kepada dua penyandang dengan Datuk Kamarulnizam Mohd. Sharip yang sebelum ini Ahli Majlis, memenanginya juga tanpa bertanding.

Turut kembali menyandang Naib Presiden PBMM ialah Nudin Awang dan Mohd. Zamri Mazleh, manakala dua muka baharu ialah Datuk Shaharul Asafali dan Datuk Ahmad Mad Daud.

Dua penyandang, Ku Besry Ku Aziz pula berundur untuk memberikan laluan dan hanya menyertai Ahli Exco persatuan tanpa bertanding sementara Omar Hamzah telah bersara dengan Polis Diraja Malaysia yang juga ahli gabungan PBMM.

"Keputusan pemilihan tanpa bertanding ini menunjukkan semangat muhibah dan keharmonian yang kukuh dalam PBMM.

“Pendekatan bersatu hati ini diharap mampu menjayakan transformasi PBMM dan penganjuran Piala Emas Raja-raja dan Piala Agong selain mengukuhkan kerjasama dan sokongan kesemua 14 ahli gabungan,” kata Firdaus. - KitaReporters


MOHD. Zamri Mazleh (kanan) dan Ahmad Mad Daud (tengah) menang tanpa bertanding Naib Presiden PBMM. - Kredit foto: PBMM


SENARAI PRESIDEN PBMM:

* Dr. Abbas Alias

* Raja Shahriman Raja A. Hamid

* Tunku Abdul Rahman Putra

* Datuk Zainal Abidin Abbas

* Tan Sri Abdul Jamil Rais

* Datuk Senu Abdul Rahman

* Datuk Abdul Samad Idris

* Datuk Hamzah Abu Samah

* Datuk Sabaruddin Chik

* Datuk Syed Ahmad Syed Kuning

* Datuk Ahmad Basri Mohd. Akil

* Datuk Ibrahim Saad

* Datuk Takiyuddin Hassan

* Datuk Izuddin Ishak

* Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat

* Mohd. Firdaus Mohamed 


TIMBALAN Yang Dipertua Dewan Rakyat, Rashid Hasnon selaku tetamu perasmi an(depan, tengah) bergambar kenangan dengan Exco dan para perwakilan ahli gabungan PBMM. - Kredit foto: PBMM 

15
6
0
6
0
You will be interested