Kredit foto-foto: Che Saad Noordin
SEORANG warga emas, Abd Rahman Muhamad berusia 77 tahun mengusahakan perniagaan menjual barang-barang lama berbagai jenis dan teras kayu berbagai bentuk.
Sejak hampir 15 tahun warga emas ini mengusahakan perniagaan ini di kedainya yang berhadapan Kampung KEDA, Keledang Tawar, di Baling, Kedah.
Lebih 100 jenis barangan lama termasuk senjata saperti keris dan pedang, gambar-gambar lama, tempayan lama, basikal lama dan berbagai-bagai jenis teras kayu bermacam bentuk terdapat di kedainya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan barangan lama
Menurut Abd Rahman @ Man Gubir semua yang ada di dalam kedainya dibeli daripada pemiliknya yang tidak lagi berminat menyimpan berbagai barangan lama itu di rumah mareka.
Beliau juga mengumpul lebih 500 batang teras kayu berbagai bentuk daripada jenis kayu meranti, keruing, cengai mas dan merbau di luar kawasan berhampiran kedainya.
Menurut Abd Rahman, kedainya pernah dipecah masuk oleh pencuri dan melarikan lebih 15 bilah keris dan pedang lama bernilai lebih RM100 ribu.
Perniagaan barangan lama dan teras kayu dari berbagai jenis yang diusahakan mendapat pendapataan lumayan kerana peminat barangan lama dan teras kayu sentiasa berkunjung ke kedainya.
Katanya, peminat barangan lama dan teras kayu yang dijualnya datang dari seluruh negeri di Semenanjung.
Beliau memberitahu usaha untuk memperluaskan kedainya akan dilakukan kerana keperluan untuk menambah barangan lama dan tunggul-tunggul kayu untuk mereka yang meminatinya.
Ditanya dari mana beliau mendapat barang-barang lama itu, Abd Rahman berkata pemiliknya menawarkan untuk menjual barangan mareka dan beliau membelinya.
"Ada yang membawa barangan itu dari rumah mereka untuk menjualnya kerana tidak mahu lagi menyimpan barangan berkenaan saperti keris lama, pedang, pinggan mangkuk lama, lampu lama, gambar-gambar lama serta berbagai-bagai barangan lain, yang ada sesetengahnya berusia lebih seratus tahun," ujarnya.
Jelas Abd Rahman kebanyakan pembeli tunggul-tunggul kayu yang dijualnya untuk menghiasi kawasan rumah mereka dengan berbagai-bagai bentuk teras kayu yang sukar ditemui serta amat menarik bentuknya.
Menurutnya lagi, perniagaan yang diusahakan itu tiada persaingan saperti perniagaan perniagaan lain. - KitaReporters