Seni & Sukan 09 Nov, 2020

Rumah anak yatim, asnaf! Perlukan sumbangan pembinaan RM990k

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
KEBIASAANNYA kehidupan anak-anak yatim dan golongan asnaf serba kekurangan. Namun begitu mereka tetap seperti kanak-kanak lain yang lebih bernasib baik perlukan tempat perlindungan sesuai dan pendidikan sempurna sama ada dalam bidang akademik mahupun agama. : KitaReporters

Sebahagian anak-anak yatim asnaf yang tinggal di rumah anak yatim dan asnaf milik Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Iman dan Amal.

Lagi cerita-cerita berkaitan anak yatim:

https://kitareporters.com/search?search=anak+yatim


Dalam usaha membantu anak-anak yatim dan daripada golongan asnaf mendapat kemudahan berkenaan dengan lebih baik dan terancang lahirlah sebuah organisasi, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Iman dan Amal yang ditubuhkan lima tahun yang lalu hasil inspirasi beberapa individu berpandangan jauh memikirkan sahsiah kehidupan masa hadapan anak-anak berkenaan diibaratkan sebagai mutiara masyarakat.


Beginilah keadaan pembinaan Kompleks Rumah Anak Yatim dan Asnaf Iman dan Amal milik Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Iman dan Amal yang masih memerlukan sumbangan orang ramai untuk proses kerja-kerja menyiapkan sepenuhnya bangunan berkenaan terletak di Kampung Merbau Sempak di Sungai Buloh, Selangor. - Kredit Foto: Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Iman dan Amal.


Beroperasi di sebuah premis kediaman di Kampung Merbau Sempak di Sungai Buloh, Selangor, pertubuhan itu kini mengendali dan mengurus kehidupan 18 orang anak-anak yatim dan asnaf perempuan dari beberapa kawasan di Selangor dengan memberi tumpuan pendidikan secara formal menjurus kepada pembentukan sebagai seorang penghafaz Quran di samping memiliki pengetahuan dalam bidang agama, akademik dan kemahiran setelah mereka tamat belajar pada peringkat rendah nanti namun ia bergantung kepada minat serta kecenderungan masing-masing.
Bagaimanapun akhir-akhir ini pihak pengurusan pertubuhan tersebut menghadapi kekangan kerana premis yang disewa sejak penubuhannya kurang selesa dan agak sempit untuk menempatkan anak-anak yatim dan asnaf berkenaan menginap dan belajar dalam suasana lebih baik.
Untuk itu, pihak pengurusan pertubuhan mengambil inisiatif membeli sebidang tanah yang sesuai di kampung berkenaan untuk pembinaan projek Rumah Anak Yatim dan Asnaf Iman dan Amal. 

Projek yang menelan kos RM990,000 itu, selain menempatkan asrama penginapan, dewan belajar, pejabat pengurusan juga Pusat Tahfiz Anak Yatim dan Asnaf (untuk lelaki dan perempuan).


Antara kerja-kerja pembinaan Kompleks Rumah Anak Yatim dan Asnaf di Kampung Merbau Sempak, di Sungai Buloh, Selangor yang telah siap. 
Sebahagian kerja-kerja projek yang dikenali sebagai Kompleks Rumah Anak Yatim dan Asnaf Iman dan Amal sejak pembinaannya pda Jun 2020, berjalan lancar dan sudah melebihi 60 peratus siap. 

Memandangkan kos yang agak besar untuk menyiapkannya dalam tempoh beberapa bulan lagi, pihak pengurusan pertubuhan memohon sumbangan orang ramai terutama kalangan mereka berkemampuan untuk sama-sama membantu.

"Kami berharap ada pihak termasuk orang perseorangan sudi membantu menghulurkan sumbangan menyiapkan projek  yang sedang berjalan sekarang sebagai usaha mengadakan tempat yang selesa untuk anak-anak yatim dan asnaf belajar dan penginapan lebih baik," ujar penyelianya Marlina Jahan.
Menurutnya, jika projek pembinaan bangunan kompleks itu dapat disiapkan segera mengikut perancangan insya-Allah mulai tahun 2021, bilangan anak-anak yatim dan asnaf yang dikendalikan pertubuhan ini bakal bertambah terutama untuk Pusat Tahfiz Quran di mana pengambilannya meliputi anak-anak yatim dan asnaf lelaki dan perempuan.
Anak-anak yatim dan asnaf kendalian pertubuhan ini diberikan pendidikan, makan minum, peralatan belajar, pakaian dan penginapan secara percuma.

Proses awal pembinaan Kompleks Rumah Anak Yatim dan Asnaf Iman dan Amal berjalan lancar.

Menurut Marlina, mereka yang tinggal di kompleks ini diberikan pendidikan asas menghafaz quran, belajar agama dan pendidikan akademik.
"Matlamat utama kami mahu membentuk anak-anak menjadi individu hafaz quran, berpendidikan agama dan akademik, bagaimanapun jika ada kalangan mereka minat melanjutkan pengajian lebih tinggi termasuk keluar negara selepas SPM atau bidang kemahiran tertantu, pihak pertubuhan akan membantu. Ini semua bergantung kepada minat dan kecenderungan masing-masing," katanya.
Selain itu, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Iman dan Amal ini setiap bulan memerlukan peruntukan RM10,000 bagi membiayai makan minum, pakaian, peralatan belajar, persekolahan anak-anak yatim, elaun pendidik, sewa premis dan bayaran berbagai-bagai bil. 


Untuk itu, beliau memohon jasa baik sumbangan orang ramai bagi tujuan kemudahan dan keselesaan hidup anak-anak yatim dan asnaf berkenaan seperti mana rakan-rakan sebaya mereka yang lebih bernasib baik.
Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan sama ada untuk projek pembinaan Kompleks Rumah Anak Yatim dan Asnaf atau pembiayaan kos pengurusan bulanan boleh menghubungi Marlina bagi pihak pengurusan pertubuhan melalui talian 016 6300464 dan sumbangan juga boleh dibuat ke dalam akaun Maybank 562740140944.
Juga orang ramai boleh berkunjung dan menyampaikan sumbangan ke Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Iman dan Amal di alamat Lot 2441, Lorong 3, Kampung Merbau Sempak, 47900 Sungai Buloh, Selangor. : KitaReporters

Kerja-kerja pembinaan asas Kompleks Rumah Anak Yatim dan Asnaf Iman dan Amal yang baharu di Kampung Merbau Sempak, di Sungai Buloh, Selangor.

Rumah Anak Yatim dan Asnaf Iman dan Amal yang sekarang beroperasi di Kampung Merbau Sempak di Sungai Buloh, Selangor.

2
0
0
0
0
You will be interested