BEKERJASAMA dan menyanyikan lagu komposer Tam Spider dianggap impian menjadi kenyataan bagi juara Gegar Vaganza 2015, Siti Nordiana Alias, meskipun sudah lebih dua dekad berada di dalam industri hiburan.
Kini dalam usia 37 tahun barulah penyanyi berasal dari Negeri Sembilan itu berpeluang menyampaikan lagu Tam Spider, ‘Cukup Derita Itu’ yang juga merupakan lagu bagi OST drama judul sama yang kini sedang popular didengar menerusi slot Samarinda setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam sejak 6 Mei 2021 lalu di TV3.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Siti Nordiana
“Sebenarnya sudah lama saya bercita-cita untuk bekerjasama dengan Tam Spider. Salah satu daripada impian saya sudah pun tertunai apabila akhirnya dapat menyanyi lagu nukilan Tam,” akui Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana yang percaya sentuhan Tam cukup istimewa seperti mana lagu ‘Bertakhta Di Hati’ nyanyian Farahdhiya yang kini masih diminati ramai.
Menurut Nana, secara jujurnya beliau mengakui Tam (gambar atas) sebagai seorang komposer yang teliti dan banyak membantunya mendalami lagu ‘Cukup Derita Itu’ dengan emosi yang tepat.
Tidak hairanlah sebelum menggalas tanggungjawab menyanyikan lagu tersebut, Nana melakukan ‘homework’ terlebih dahulu agar lagu nyanyiannya benar-benar meresap ke jiwa penonton.
Biarpun mempunyai banyak pengalaman menyanyikan lagu runut bunyi namun Nana tetap mahu melakukan kajian terlebih dahulu dengan memahami jalan cerita drama serta mengenali pelakon terbabit, sekali gus menonton klip-klip daripada drama berkenaan sebelum membuat rakaman.
“Penghayatan untuk menyanyikan lagu OST dan single biasa adalah berbeza. Bagi OST, saya perlu memahami terlebih dulu jalan cerita dan perlu mengetahui siapakah barisan pelakon yang terbabit. Selain itu, saya juga perlu menonton klip disediakan produksi supaya lebih faham plot yang ingin disampaikan,” jelas Nana.
Sambungnya, apabila sudah memahami keseluruhan jalan cerita barulah beliau meletakkan dirinya sendiri untuk menghayati penderitaan watak itu.
“Kebetulan drama itu pula memang sarat dengan permainan emosi, jadi saya perlu menyuntik elemen sedih dan derita sewaktu proses rakaman berlangsung,” cerita Nana yang turut melahirkan rasa bertuah berpeluang menyanyikan lagu OST.
“Bukan semua penyanyi mendapat peluang untuk menyanyikan lagu OST. Semestinya saya merasa sangat bertuah apabila lagu itu dimainkan setiap hari dari Isnin hingga Khamis di kaca televisyen selama 40 episod,” tambahnya sambil melihat peluang itu sebagai salah satu cara lagu 'Cukup Derita Itu' disukai pendengar kerana diputarkan hampir setiap hati.
Menurut Nana, selepas selesai meresapi jiwa lagu itu, beliau berjaya menjalani proses rakaman sekitar dua jam sahaja tanpa sebarang masalah. - KitaReporters