MESTI ramai yang rindu nak menonton konsert secara langsung kerana bila melihat artis yang mendendangkan lagu berada di hadapan mata, rasa seronok itu lain berbanding melihat persembahan artis menerusi virtual. Pada yang rindu nak menonton penyanyi kesayangan anda mengadakan persembahan, pihak Istana Budaya akan memenuhi hajat anda itu.
Pada 22 dan 23 Oktober 2021 ini bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur orang ramai berpeluang menonton persembahan penyanyi tanah air menerusi Konsert Rentak Kita, bermula pukul 8.30 malam.
Konsert berkonsepkan ‘merentasi zaman’ ini menghimpunkan seleksi lagu-lagu Melayu, etnik, kreatif dan Nusantara yang malar segar dalam empat fragmen selama dua jam.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan konsert
Andre Goh, penyanyi legenda yang turut memeriahkan konsert berkonsep merentasi zaman ini.
Siti Nordiana akan menghibur peminatnya di Konsert Rentak Kita.
Seronoknya untuk menonton konsert yang menampilkan penyanyi seperti Datuk Andre Goh, Mus May, Siti Nordiana, Bob Yusof, Linda Nanuwil dan Anis Syazwani, penonton tidak perlu mengeluarkan kos kerana ia adalah percuma tapi dengan syarat mesti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang berada di Istana Budaya.
Rentak Kita bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dipentaskan
oleh Istana Budaya dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
Malaysia (MOTAC) bertujuan memartabatkan muzik tradisional agar nilai estetika
irama ini kekal kompetitif dalam industri muzik tanah air.
Konsert ini akan dimulakan dengan himpunan gema kompang, rebana, gendang, akordian, gambus serta seruling sehinggalah transisi alunan instrumen moden secara live diketuai Yazid Zakaria, konduktor OTM, yang akan memberi semangat penyatuan dalam satu rentak dan rasa.
Anis Syazwani akan menjayakan Konsert Rentak Kita pada 22 dan 23 Oktober ini di Istana Budaya.
Bob Yusof, antara penyanyi yang akan menghiburkan penonton.
Antara lagu-lagu yang akan dipersembahkan adalah Puteri Ledang, Joget Sayang Disayang dalam fragmen Berlagu Melayu manakala lagu Tandang Bermadah dan medley Sumandak Sabah serta Original Sabahan dalam fragmen Berlagu Etnik.
Fragmen ketiga Berlagu Kreatif pula akan memberi momentum yang lebih bertenaga kepada penonton dengan susunan rentak kontemporari termasuk lagu Canggung, Anta Permana dan Entah Jadi Entah Tidak. Fragmen terakhir, Berlagu Nusantara, akan diisi dengan medley lagu Sendiri dan Biru Mata Hitamku yang digubah khas dengan sentuhan Nusantara.
Orang ramai yang berminat untuk menonton konsert ini perlu mendapatkan pas percuma yang boleh didapati mulai 12 Oktober 2021, bermula 11 pagi sehingga 4 petang di Kaunter Box Office Istana Budaya.
Tempat duduk adalah terhad berdasarkan kapasiti yang dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan orang ramai diminta mematuhi SOP yang telah ditetapkan sepanjang berada di Istana Budaya. - KitaReporters
Mus May
Linda Nanuwil