Seni & Sukan 26 Oct, 2023

Kerana buku kami bersua, bersatu! Terima kasih Bulan Terbit Services! Realisasikan hasrat penulis!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Nursyafiqah Roslan (empat dari kanan) melakukan upacara memotong kek sempena Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi, Cepen, Anekdot 2023 yang diadakan di Hotel Olympic, Kuala Lumpur


'Pertemuan dan perbualan' secara maya akhirnya direalisasikan secara fizikal apabila mereka disatukan dalam majlis penuh meriah buat pertama kalinya di bawah penerbit Bulan Terbit Services. Pertemuan yang penuh makna selepas dua tahun menyertai pelbagai projek antologi. 

Tak kenal maka tak cinta. Sudah kenal semakin mesra walaupun kali pertama bersua muka. Masa sangat mencemburui kita. Terasa begitu cepat masa berlalu. Belum puas melepas rindu. Terus sahaja menggamit memori silam. 

Begitu dapat disimpulkan seusai Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi, Cerpen, Anekdot yang berlangsung di Hotel Olympic Malaysia, Kuala Lumpur pada Sabtu, 21 Oktober 2023 lalu yang dirasmikan Pengarah Urusan SYFE Management Sdn Bhd, Abang Abdul Rahman Taib.


Sebahagian daripada penulis bergambar kenangan bersama Nursyafiqah Roslan (duduk empat dari kanan) dan Abang Abdul Rahman Taib (duduk, tiga dari kiri) selepas Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi, Cepen, Anekdot 2023 yang diadakan di Hotel Olympic, Kuala Lumpur


 
Nursyafiqah Roslan


Majlis dengan tema biru putih yang bermula jam 2.30 petang dan berakhir jam 5.30 petang dihadiri lebih 150 penulis dan ahli keluarga dimulai dengan ucapan oleh penganjur program merangkap Penulis dan Penyelenggara Buku Antologi, Nursyafiqah Roslan. 

Menurut Nursyafiqah, perancangan hampir tiga bulan itu berjaya direalisasikan hasil kerjasama penulis yang sedia berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk hadir ke majlis yang julung kali diadakan itu.

"Saya teruja kerana majlis ini berjaya menghimpunkan penulis dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak malah saya sendiri datang bersama beberapa ahli keluarga dari Sabah bagi memudahkan program ini berjalan lancar kerana majoriti penulis tinggal di Semenanjung.

"Terima kasih buat semua penulis kerana membantu merealisasikan hasrat saya untuk bertemu mereka dalam majlis seperti ini," katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Nursyafiqah berkata, projek antologi di bawah selenggaraannya mula dijalankan pada pertengahan 2021. 

"Alhamdulillah, projek antologi ini mendapat sambutan yang sangat luar biasa daripada karyawan seluruh Malaysia termasuklah remaja, belia dan veteran. 

"Projek ini merupakan inisiatif saya untuk membuka peluang kepada semua orang untuk berkarya tanpa mengira had usia,"  katanya lagi.


Dari kanan, penerima Anugerah Penulis Prolifik Baharu, (dari kanan) Noraini Ismail, Rajeswary Gunasegaran, Ainal Marhaton Abd Ghani dan Nur Syafinaz Abdul Razak bersama trofi dan sijil penghargaan bergambar kenangan selepas majlis berakhir


Menurutnya, sehingga kini, lebih 600 penulis seluruh negara telah berjaya menerbitkan karya mereka di bawah projek-projek antologi kelolaannya termasuk puisi, cerpen dan anekdot yang diterbitkan di bawah penerbitan Bulan Terbit Services. 

"Dalam tempoh dua tahun, sebanyak 50 buah judul buku antologi telah berjaya diterbitkan dan masih banyak lagi projek yang dalam proses suntingan dan menunggu giliran untuk dicetak. 

Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya selama tempoh dua tahun ini. Saya sangat menghargai usaha dan kegigihan para pengkarya untuk menghasilkan karya dalam kesibukan kerjaya hakiki mereka. Tanpa sokongan yang luar biasa ini, saya tidak mungkin berada pada tahap ini," katanya.


Antara penulis yang memenangi Anugerah Penulis Baharu bergambar kenangan bersama Nursyafiqah Roslan (tiga dari kanan)


Pada majlis tersebut, sejumlah 10 buku antologi puisi, cerpen dan anekdot dilancarkan iaitu Berjuang Sembuh; Aku, Kita dan Kopi; Srikandi; Bianglala Terindah; Tentang Rasa; Aksara Hati; Bertemu dan Berpisah; Rangkai Kata; Pena Adiwira dan Patah Hati Terhebat.    

Selain itu, seramai 25 penulis menerima Anugerah Penulis termasuk penulis terbaik, penulis prolifik baharu, penulis dinamik, penulis bersahsiah dan penulis muda. Turut diiumumkan ialah pemenang pertandingan tulis cerpen dan puisi serta pertandingan mewarna kanak-kanak.

Majlis diserikan dengan persembahan puisi, gurindam dan dan nyanyian oleh penulis-penulis, upacara memotong kek dan cabutan bertuah. 


Masriyah Misni (kanan) bersama dua rakan penulis


Sementara itu, Editor AID Academy, Masriyah Misni berterima kasih kepada penganjur kerana berjaya menghimpunkan ramai penulis pelbagai lapisan umur sama ada yang baru atau lama.

"Terima kasih kerana berjaya melaksanakan majlis gilang gemilang ini. Walaupun hanya beberapa jam sahaja ia dipenuhi pengisian penuh makna buat kami para pengkarya.

"Meriah, mengujakan dan menginspirasikan terutama buat penulis pemula. Satu platform terbaik yang boleh menjadi suntikan semangat buat semua untuk terus berkarya.

"Kehadiran penulis pemula dalam industri buku semakin diterima pelbagai pihak malah karya mereka turut diiktiraf. Hal ini juga secara tidak langsung warga penulis berusaha ke arah merakyatkan sastera," katanya. 

Dalam pada itu, Masriyah berkata, kerjaya penulisannya bermula pada 2016 selepas mengikuti kursus penulisan secara bersiri anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Saya ikuti kursus sebagai penulis terlebih dahulu kerana saya memang tiada ilmu dalam dunia penulisan kreatif dan menerima bimbingan ramai tokoh sasterawan termasuk sifu saya, SN (Sasterawan Negara) Prof. Rahman Shaari.

"Alhamdulillah, berkat ilmu dan bimbingan yang diperoleh dalam pelbagai bengkel dan seminar penulisan, saya berjaya menghasilkan 10 buku solo dan menyertai 190 projek antologi pelbagai genre," kata mantan pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek, Negeri Sembilan.


Sebahagian daripada penulis bergambar kenangan bersama Nursyafiqah Roslan (empat dari kiri) 


Pada majlis itu, Masriyah berjaya memenangi hadiah pertandingan tulis cerpen dan puisi menerusi cerpen berjudul Basikal.

Antara buku solo yang dihasilkannya ialah Apabila Burung Pulang Petang, Kisah Hang Tuah,  Selamatkan Yuyu, Kisah Parameswara dan Asal Usul Melaka dan Puisi Bergambar Atmosfera.

Manakala buku antologi pula, Masriyah adalah salah seorang penulis naskah Setitis Kebaikan Secangkir Kebahagiaan, Seribu Sonian, Cek Mek Molek Sokmo, Puisi Asean Doa Untuk Bangsa. Rak Buku Ruang Tamu, Puisi Islamik Sirah Nabi dan dan Gurindam Asean Gurindam Kalbu.


Abd Hanif Musa (kiri) bersama dua rakan penulis bergambar kenangan sebelum majlis bermula


Penulis bebas, Abd Hanif Musa pula berkata, penganjur program berjaya menyatukan penulis yang ada antaranya tidak pernah bertemu tetapi 'rapat' dalam kumpulan WhatsApp.

"Bukan senang untuk mengatur sebuah majlis yang nampak kecil tetapi impaknya cukup besar terutama kepada penulis baharu yang lebih dikenali sebagai penulis pemula.

"Program seperti ini dapat menjalin ukhwah kalangan penulis dan saling bertukar fikiran ke arah pemantapan dalam dunia penulisan itu sendiri, katanya yang aktif menulis sejak 1990-an.

Abd Hanif berkata, beliau menulis dalam pelbagai genre iaitu puisi, cerpen, anekdot dan certot yang tersiar di dalam pelbagai projek antologi dan pernah menghasilkan novelet pertama yang diterbit sendiri berjudul Hikayat Anak Burung Makan Cabai Burung.

Sehingga kini, Abd Hanif yang dikenali sebagai seniman jalanan sejak 2009 sudah menyertai hampir 100 projek antologi termasuk  Kumpulan Puisi Jejak Yang Hilang dan Kumpulan Puisi Siapa? Tuhan? Kamu? 


Sebahagian daripada penulis dan tetamu yang hadir di majlis berkenaan

Pelajar Kolej Tingkatan Enam, Sri Istana, Klang, A'liatulmasruroh Asmawi pula bersyukur kerana karyanya diterima walaupun masih baharu dalam dunia penulisan tanah air. Bagaimanapun, katanya, minatnya dalam dunia penulisan sudah bermula ketika di sekolah menengah lagi.

"Saya aktif menulis sejak sekolah menengah lagi, selalu menyertai pertandingan menulis di sekolah. Daripada situ minat menulis mula bercambah.

"Selepas mengikuti Bengkel Asas Menulis (BAM) bersama editor, Shimah Basri, saya berjaya menulis karya pertama dalam anekdot Memori Zaman Kecilku di bawah pennyelenggara Nursyafiqah Roslan," katanya yang menerima Anugerah Penulis Muda pada majlis itu.

Ibunya, Lina Ayub bersyukur dengan anugerah diterima oleh anaknya seterusnya menjadi sumber kekuatan untuk menaikkan lagi semangat untuk terus belajar dan berusaha untuk terus menulis. 

Lina juga berterima kasih kepada penganjur kerana majlis berjalan lancar, penuh persembahan dinamik dan meriah walaupun kali pertama bertemu secara fizikal. 

"Syukur Alhamdulillah kami dipertemu dalam majlis penuh bermakna buat pengkarya terutama penulis pemula seperti saya.

"Selepas sekian lama 'bertemu' secara maya dalam Facebook atau 'berbual' dalam WhatsApp, kami bersua juga secara fizikal untuk berukhwah dengan lebih mesra," katanya yang datang dari Klang.



Asbab penulisan, mereka dipertemukan. Menjalin ukhwah tanpa sempadan demi memeriahkan dunia pembukuan. 

Semoga penulis-penulis ini akan terus menghasilkan karya yang berkualiti dan terbaik di masa akan datang. Syabas semunya! - KitaReporters

25
16
0
11
0
You will be interested