Seni & Sukan 03 Jul, 2024

Siapa raja libas Putra Perdana? Kesputra bolot tiga teratas! Pertandingan bakal kembali lebih hebat!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

KESPUTRA A (dari kiri), Farisshah Daniel Mohd. Fetri, Shahrul Mohd. Wazir, Muhammad Amjad Mohd. Ariffin dan Amir Farhan Saupi menayangkan piala, pingat dan cek kemenangan RM500 sebagai juara Kejohanan Sepak Takraw Jemputan dan Tertutup Putra Perdana 2024 di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong, Selangor. - Kredit foto: HW


MEMANFAATKAN setiap peluang mata menerusi servis dan rejaman untuk mendahului jauh, membolehkan Kesputra A menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Tertutup dan Jemputan Putra Perdana 2024 setelah mengalahkan Kroni Sepak Takraw Club (KTC) D 30-18.

Kesputra A atau nama penuhnya, Kelab Sepak Takraw Putra Perdana yang juga tuan rumah, merangkul piala pusingan, pingat dan hadiah wang tunai RM500 selaku juara pada perlawanan akhir di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong, Selangor.

Kesputra A membariskan Muhammad Amjad Mohd. Ariffin (tekong), Shahrul Mohd. Wazir (Amir Farhan Saupi, perejam) dan Farisshah Daniel Mohd. Fetri (pengumpan).

Namun sebagai naib juara kejohanan julung-julung kalinya ini pada 30 Jun 2024, KTC D yang dianggotai Mohamad Syaza Aliff, Hafizuddin Othman/Muhammad Rashid Mustapa dan Daniel Ahmad Izzuddin tetap pulang dengan habuan sebanyak RM300.


KRONI Takraw Club (KTC) D memperagakan cek kemenangan RM300 dan pingat naib juara Kejohanan Sepak Takraw Tertutup dan Jemputan Putra Perdana 2024 yang hadiahnya disampaikan Hamdi Mohd. Barjah. - Kredit foto: HW


KTC D masih cuba menyaingi dan mengejar mata selepas bertukar kawasan pada mata 15 malah memasukkan Rashid sebagai apit kanan gantian dan Hafizuddin nekad beralih menjadi tekong namun sudah terlewat. 

Kesputra A melepasi pusingan pertama dengan menundukkan KTC A, Kesputra E pada suku akhir, manakala KTC D menumpaskan KTC B dan Langat Murni pada kedua-dua peringkat tersebut.

Dua lagi regu penganjur, Kesputra B dan D memenangi tempat ketiga bersama sambil meraih RM100 dengan kejayaan masing-masing mara ke separuh akhir selepas disekat oleh Kesputra A dan KTC D.

Sebanyak 24 regu mengambil bahagian termasuk Ruby B, KTC C, Enggang B, Ruby A, Putra Perdana B, Kesputra C, Pulau Meranti A dan BSP C.

Kejohanan yang berformat kalah singkir ini menggunakan sistem kiraan 30 mata dalam hanya satu set dan servis satu persatu setiap regu namun mereka diberi rehat seminit pada mata ke-15.


KESPUTRA D menerima hadiah kemenangan selaku pemenang tempat ketiga bersama yang disampaikan Zulkarnain Othman (kanan). - Kredit foto: HW


Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Zon Putra Perdana, Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Naharanuar Ayob yang juga Penaung Kesputra.

Hadiah-hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) MPS, Zulkarnain Othman dan Hamdi Mohd. Barjah. 

Sepak takraw di Taman Putra Perdana bakal kembali diperhebat selepas ini sekalipun agak lama terhenti gara-gara pandemik Covid-19 dengan kali terakhir dilangsungkan ialah Pertandingan Liga Sepak Takraw Taman Putra Perdana di Gelanggang Balai Raya taman itu pada 2 Februari 2020. - KitaReporters


NAHARANUAR Ayob (tengah) menerima cenderamata jersi daripada Pengerusi Kesputra, Mohd. Sauzi Nordin ketika perasmian kejohanan. - Kredit foto: HW


NAHARANUAR Ayob (memegang jersi nombor 7) dan para ahli urus setia penganjur Kejohanan Sepak Takraw Jemputan dan Tertutup Putra Perdana 2024 serta pemain-pemain 24 regu peserta melaungkan sorakan semangat sebelum pertandingan. - Kredit foto: HW

7
11
0
12
0
You will be interested