Seni & Sukan 10 Dec, 2022

Nor Diana sasar juara pertama wanita berhijab! APAC Wrestling RISE (Freedom Fighters) 10-11 Nov 2022!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


MEMBABITKAN diri dalam sukan gusti lazimnya dikaitkan dengan lelaki gagah tetapi kini tahukah anda sudah ada wanita Melayu berhijab menjadi penggusti profesional?

Dalam usia 22 tahun, Nor Diana atau nama sebenarnya, Syaradeeba Khamarulzaman boleh berbangga apabila menjadi wanita Muslim Malaysia pertama menyertai acara gusti profesional.

Digelar Nor ‘Phoenix’ Diana, atlet gust ini bakal bersaing dalam arena gusti profesional, ‘APAC Wrestling RISE (Freedom Fighters)  anjuran Taro Pictures dan NoahX yang akan berlangsung selama dua hari bermula 10 November 2022 hingga 11 November 2022 di gelanggang APAC di SpaceRubix, Puchong.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penggusti




“Saya akan bertarung dengan penggusti dari Jepun, Yuki Kamifuku dan berharap dapat menjadi wanita pertama meraih gelaran juara,” ujar Nor Diana begitu optimis walaupun pada zahirnya beliau hanya mempunyai bentuk badan yang kecil berbanding Yuki Kamifuku. Diana mempunyai berat badan 56 kg dengan ketinggian 155 sentimeter. 

Menurut Nor Diana yang ditemui pada majlis sidang media ‘APAC Wrestiling RISE’ di Hotel Park Royal Collections Kuala Lumpur pada 9 November 2022, beliau akan tetap memberikan tentangan sebaik mungkin untuk bergelar juara apatah lagi sudah memiliki tujuh tahun pengalaman sebagai penggusti.

"Walaupun sukan gust sakit tetapi sedap," ujar Nor Diana yang menyertai uji bakat pencarian atlet gusti pada usia 16 tahun malah mengakui bukan kemenangan sahaja yang dicari tetapi lebih kepada mempopularkan sukan gusti dalam kalangan wanita berhijab di negara ini di mana rata-rata menganggap sukan gusti bersifat ganas.


APAC Gusti RISE dicetuskan oleh jurulatihnya, Shaukat atau nama penuhnya, Ayez Shaukat Fonseka, satu-satunya ahli gusti profesional dari Malaysia yang viral selepas kemunculannya dalam rancangan TV gusti pro Amerika Syarikat,  "Reality of Wrestling" dengan memakai tengkolok dan songket.

Pengasas industri gusti di Malaysia itu ingin menjadikan gusti pro mampu diterima sebagai arus perdana dan hiburan mesra keluarga. 

Sehubungan itu, bagi merealisasikannya Shaukat menerusi APAC membawa RISE ke Malaysia buat para peminat gusti. 

Turut hadir bersama terdiri daripada ahli-ahli gusti ternama seperti Tajiri, Azwan Serigala serta tiga wanita gusti pro iaitu Steph De Lander (Amerika), serta Maki Itoh dan Yuki Kamifuku dari Jepun. 

Juga hadir, Ketua Pegawai Eksekutif bagi gusti APAC, Aron Koh;  Ketua Pembangunan Perniagaan NoahX, Wei Chan; dan Pengurus Besar Hotel Park Royal Collection KL, Nannucci Christian.


Dari kiri: Azwan 'Serigala', Shaukat dan Tajiri.


Berkongsi lanjut, Shaukat memberitahu, beliau bakal menentang wira yang dikenali sebagai  "Japanese Buzzsaw" dan salah satu Cruiserweights yang paling terkenal di WWE, Tajiri, dalam acara utama pada hari pertama.

“Terdapat ramai peminat Pro Wrestling dan WWE di Malaysia, dan saya sedar menontonnya secara langsung dalam aksi di depan mata adalah pengalaman yang berbeza  berbanding menonton di TV atau di YouTube.

"Gusti APAC ingin memberikan pengalaman ini kepada peminat yang tidak dapat menyaksikan acara gusti secara langsung seperti mereka yang berada di Jepun atau di Amerika Syarikat”, tambah lelaki berusia 34 tahun itu.


Dari kiri: Steph, Nor Diana, Maki Itoh dan Yuki Kamifuku.


Program yang mendapat sokongan penuh Tourism Malaysia dan Cuti-Cuti Malaysia ini akan mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila APAC turut menobatkan Juara Wrestling Wanita pertamanya menerusi pertarungan empat penjuru dengan penuh keberanian dan gemilang antara Srikandi Nor Diana, Joshi Idol Maki Itoh, Steph De Lander (dahulunya, WWE NXT Persia Pirotta) Yuki Kamifuku.

Siapa antara mereka yang bakal bergelar Juara Wrestling Wanita pertama agaknya memanangkan rata-rata memberikan respons positif akan berlawan habis-habisan.

“Yang pasti saya akan menjadi penggusti wanita paling seksi di gelanggang nanti,” ujar Yuki Kamifuku ringkas.


Aron Koh meyampaikan penghargaan kepada Nannucci Christian yang menjadi penaja lokasi sidang media.


Pendek kata, RISE menjanjikan dua hari aksi tanpa henti dengan menggabungkan bakat tempatan dan antarabangsa dari NXT, WWE dan Timur untuk berjuang demi menjadi wira terakhir yang masih berdiri pada saat terakhir di gelanggang.

Dengan tempat duduk yang terhad, peminat gusti diseru ‘bangkit’ ke acara itu dan menjadi sebahagian daripada kemegahan dan tontonan wira dan raksasa dalam gelanggang APAC dengan tempahan tiket di premier.ticketcharge.com.my.

Untuk butiran lanjut, boleh layari halaman Facebook Wrestling APAC. 

Sementara itu, Aron Koh berharap program julung kalinya diadakan di Malaysia sekali gus di Asia Tenggara ini boleh menjadi mesra keluarga dan satu bentuk hiburan sesuai untuk semua peringkat masyarakat.

"Saya percaya Gusti APAC boleh memiliki kumpulan peminat yang lebih besar daripada yang disedari orang ramai,” tambah Aron Koh. sambil berharap program seperti ini mampu mempromosikan Gusti APAC ke peringkat yang lebih tinggi. - KitaReporters


14
18
0
13
0
You will be interested