TUAN rumah Indonesia gagal guna kelebihan bermain di halaman sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Vietnam dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 yang berlangsung di Stadium Utama Bung Karno pada 6 Disember 2022.
Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan inginkan kemenangan dan ia menyebabkan berlaku beberapa aksi tegang antara mereka namun pengadil dapat mengawal perlawanan dengan baik.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perlawanan Piala AFF
Mendapat sokongan padu dari peminat setia, tuan rumah lebih garang di separuh masa pertama apabila banyak peluang terhidang namun dipersiakan begitu sahaja sekali gus mengecewakan sedikit peminat di stadium.
Walaupun Vietnam tampil sebagai pasukan pilihan, namun sebenarnya, pada separuh masa pertama, pasukan kebangsaan Indonesia mempunyai lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol.
Pujian harus diberikan kepada penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam kerana berjaya menyelamatkan gawang beliau daripada dibolosi.
Sebelum bermula perlawanan ini, ketua jurulatih mereka, Park Hang-seo jelas tidak berpuas hati kerana Indonesia mengubah waktu perlawanan dari malam ke waktu petang. Ini ternyata memberi kesan apabila pasukan beliau yang begitu sukar untuk bermain seperti biasa.
Malah mereka juga seperti buntu untuk mencipta gerakan bahaya yang boleh menghasilkan jaringan untuk dibawa ke separuh akhir kedua nanti.
Hasrat kedua-dua pasukan untuk mencari jaringan sekuarang-kurangnya satu gol tidak kesampaian.
Mereka akan bertemu semula pada 10 Januari 2023 nanti untuk menentukan siapa akan ke pentas akhir. - KitaReporters