Seni & Sukan 24 Dec, 2022

Video| Kumpulan Senario kembali? Buka tirai 2023 dengan gamatkan Kampung Senariuh! Di Awesome TV!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


Kumpulan pelawak Senario yang lahir daripada program realiti 'Sinaran Paspot Kegemilangan' sudah tentu tidak perlu diperkenal lagi. Namun sejak ditubuhkan pada 1996, Senario bersilih ganti keahlian. 

Daripada ahli asalnya seramai tujuh orang meliputi Wahid Mohd, Lan Pet Pet, Azlee Jaafar, Shamsul Ghau Ghau, Farouk Hussain, Ilya Buang dan Hamdan Ramli, seterusnya disusuli Saiful Apek dan Yassin Yahya menjadikan jumlah ahli seramai sembilan orang.

Malah kumpulan ini mencipta fenomena apabila selama 16 tahun mereka mampu bertahan menghiburkan penonton melalui sitkom komedi, ’Senario’ di kaca TV dan filem bermula pada tahun 1996 hingga 2012.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelawak-pelawak

Kumpulan Senario bersama pengarah, Bob Ismail Hasim (tiga dari kiri) dan Mamak (tiga dari kanan).


Dan terbaharu, bagi mengembalikan nostalgia Senario di kaca TV, empat daripada anggotanya iaitu Wahid, Azlee, Saiful Apek, Yassin bakal membuka tirai 2023 dengan sitkom komedi berjudul ‘Kampung Senariuh’, sebuah judul yang sekali gus membayangkan nama kumpulan dan riuh rendah yang akan menggamatkan suasana di Kampung Sena.

‘Kampung Senariuh’ akan menghiasi slot ‘sitcom’ pada setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 9.00 malam bermula 1 Januari 2023 di saluran stesen televisyen swasta percuma free-to-air (FTA) Awesome TV.



“Kami mahu mengembalikan nostalgia peminat terhadap kumpulan Senario yang suatu ketika dahulu pernah mencetuskan fenomena luar biasa,” ujar Dato’ Adam Ilyas (gambar atas) selaku Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV pada majlis ‘Majlis Malam Apresiasi Media Bersama Awesome TV’ yang dianjurkan serentak bersama majlis pelancaran program ‘Kampung Senariuh’ di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada 22 Disember 2022 lalu.

Program ‘Kampung Senariuh’ 15 episod arahan sutradara terkenal Bob Ismail Hasim  turut dibintangi pelawak Mamak selaku pelakon pembantu. 

Selain itu, program  diserikan dengan kehadiran barisan artis jemputan yang terdiri daripada Mia Nasir, Afifa Nasir, Zalif Sidek, Marisa Yasmin, Ammar Titan, Kazar, Chiwan, Bard Kerdil serta turut menampilkan barisan bintang ‘Awesome Raja Lawak’ seperti Kumpulan Soda, Kumpulan Manja, Azhar, Amin, Oky dan Afea sebagai penampilan khas.



Mengumumkan lanjut, Adam memberitahu, ’Kampung Senariuh’ berkisar tentang empat orang sahabat baik iaitu Pak Azlee, Wahid Deghian, Apek dan Yassin Rambo dari Kampung Sena. 

Mereka cukup dikenali dalam kalangan penduduk kampung dengan ragam dan gelagat yang mencuit hati ketika melepak di warung dan sering berborak mengenai isu-isu semasa terutama kejadian yang berlaku di kampung mereka.

Watak Pak Azlee merupakan seorang pemilik warung kedai kopi yang menjadi port utama untuk melepak oleh penduduk Kampung Sena. 

Watak Wahid Deghian pula merupakan seorang pengusaha sebuah dusun durian di Kampung Pokok Senariuh. Manakala watak Apek merupakan seorang pemilik studio jamming di kampung tersebut sementara watak Yassin Rambo pula merupakan seorang pemilik sebuah bengkel motor.

Dengan watak-watak pelbagai itu sudah pasti akan meriuhkan Kampung Sena ya tak?


Senario bergambar kenangan bersama barisan bintang 'Awesome Raja Lawak'.


Dalam pada itu, pada majlis pelancaran yang sama Awesome TV buat julung kalinya juga berbesar hati meraikan para pengamal media.

“Pihak media memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu membuat hebahan dan liputan berita khususnya berkaitan dengan program-program terbitan Awesome TV dari mula kami beroperasi sehingga hari ini,” jelas Adam sambil menghargai segala komitmen, kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh para pengamal media. 

Tambahnya, tanpa jasa dan usaha para pengamal media sebagai penghubung berita dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan tidak berat sebelah kepada seluruh rakyat Malaysia, Awesome TV tidak akan berada pada tahap sekarang.


Aliff dari Utusan Malaysia mengungguli sesi karaoke  dan membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM1,000. 


Sehubungan itu, Adam bersyukur dan berbesar hati apabila Awesome TV diiktiraf oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada ‘Majlis MCMC Star Rating Awards 2021’ yang diadakan secara tertutup pada 21 Disember 2022 di mana stesen swasta percuma itu merangkul anugerah cemerlang dalam kategori ‘Best Consumer Satisfaction For FTA Television’.

Majlis ‘double celebration’ dan hala tuju Awesome TV bagi tahun 2023 itu turut dihiburkan oleh Kumpulan ''The Broadcaster' yang dianggotai barisan pengurusan kanan Awesome TV  yang diketuai Adam Ilyas serta persembahan sembilan wakil media dalam pertandingan karaoke. yang diadili Dato DJ Dave  bersama Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli, Pengarah Unit Kandungan Awesome TV. - KitaReporters


 

Kumpulan The Broadcaster diketuai Adam (tiga dari kanan) mengakhiri majlis dengan pesembahan istimewa mereka.

15
9
0
14
0
You will be interested