Seni & Sukan 22 Apr, 2025

Video| Siapa Raja Dusta? Diana Danielle ungkap kepada siapa? Kisah bebas daripada hubungan toksik!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this

.


Dalam usia 33 tahun, siapa sangka penyanyi dan pelakon kelahiran Amerika Syarikat, Diana Danielle Danny Beeson melalui kemelut rumah tangga yang mengakibatkan perceraian sebanyak dua kali.

Bekas isteri kepada pelakon Farid Kamil yang dinikahi pada 2012 ini mempunyai dua cahaya mata, namun hanya mampu bertahan selama sebelas tahun apabila mereka bercerai pada Mac 2023 akibat perselisihan faham, namun rujuk kembali selepas 21 hari berpisah.

Bagaimanapun Diana memfailkan permohonan cerai kali kedua terhadap Farid pada 4 November 2024 lalu sehinggalah lafaz cerai talak satu mengesahkan perkahwinan yang dibina berakhir pada bulan Ramadan, 24 Mac 2025.



Terkini, belum pun genap sebulan perceraiannya, industri muzik tempatan bergema dengan kehadiran single terbaharu daripada Diana Danielle berjudul ‘Raja Dusta’.

Apakah judul lagu ini ada kaitan dengan kisah rumah tangganya?

Menjelaskan inti pati karyanya, Diana  menyatakan bahawa "Raja Dusta" adalah cerminan kepada ketahanan kaum wanita yang sering kali terperangkap dalam norma masyarakat misoginis, memaksa mereka menanggung kepedihan secara senyap.

Meskipun mengakui adanya kaitan peribadi, Diana menegaskan bahawa lagu ini bukanlah ditujukan secara spesifik kepada mana-mana individu.


Nak buat apa dengan tukul kayu tu Diana?


"Saya mahu menghasilkan sesuatu yang lebih rancak dan menyeronokkan, sebagai satu sindiran terhadap situasi saya sekarang. Walaupun saya boleh kaitkan lagu ini dengan pengalaman peribadi, ia bukan ditujukan kepada sesiapa secara spesifik," ungkap Diana.

Beliau selanjutnya menambah, "Lagu ini mewakili apa yang ramai wanita alami dalam perhubungan seperti janji palsu, harapan yang dimanipulasi, dan akhirnya keberanian untuk bebaskan diri.”

Tidak syak lagi lagu “Raja Dusta’ bila dihayati bukan sekadar irama yang memukau, malah sebuah manifestasi keberanian yang disulami dengan sindiran bernas, khusus buat mereka yang telah berjaya melepaskan diri daripada cengkaman hubungan toksik.

Kenyataan Diana ini memperlihatkan kematangan beliau dalam berkarya, menggunakan pengalaman peribadi sebagai sumber inspirasi yang relevan dengan realiti yang dihadapi ramai.

Pendekatan beliau yang tidak menyasarkan individu tertentu tetapi lebih kepada isu universal dalam perhubungan, menjadikan lagu ini berpotensi untuk diterima dan dihayati oleh khalayak yang lebih luas. 



Penegasannya bahawa lagu ini adalah untuk sesiapa sahaja, tanpa mengira jantina, meskipun disampaikan dari perspektif wanita, menunjukkan keinginan beliau untuk menyampaikan mesej  pemberdayaan yang inklusif.

"Saya mahu pendengar menikmati lagu ini tanpa rasa benci. Ia adalah tentang keberanian dan kebebasan untuk membuat keputusan terbaik untuk diri sendiri. Kita semua pernah berada dalam hubungan yang berat sebelah, jadi, lagu ini adalah peringatan agar tidak mudah tertipu dengan kata-kata manis jika tindakan tidak seiring.” tambah Diana.

Apa pun, menjenguk ke laman sosialnya, catatan yang dicoretkan sedikit sebanyak menggambarkan luahan hatinya apabila beliau menulis, ‘jenis kalau menipu tak sah…’ dan ‘paling sedih bila dah penat penat sayang, lama-lama perasaan bertukar jadi BENCI. Paham kan?.

Kepada siapa ditujukan maksud kata-kata itu hanya Diana sahaja yang tahu.. 




Berkongsi lebih lanjut mengenai proses kreatif di sebalik lagu ini, beliau menceritakan pengalaman rakaman "Raja Dusta" penuh dengan keseronokan, meskipun ini merupakan kali pertama  bekerjasama dengan penerbit John Jeeves.

Sepanjang penghasilan lagu dan video muziknya, Diana turut menerima sokongan padu daripada pasukannya, termasuk pengurusan Universal Music, pengarah muzik video, para pelakon, kru produksi, serta penari latar. 

Pun begitu, Diana  mengakui sempat merasa kurang yakin disebabkan sudah dua tahun tidak mengeluarkan lagu baharu.

"Saya agak kekok pada mulanya sebab sudah dua tahun tidak muncul dengan lagu baharu. Keyakinan saya sedikit goyah, tetapi semua orang di sekeliling sangat menyokong dan buat saya rasa selesa. Saya harap ini menjadi permulaan yang baik untuk kembali aktif dalam bidang muzik," tambah Diana.

Pengalaman merakamkan video muzik "Raja Dusta" juga menjadi momen yang menarik bagi beliau apabila proses  tersebut melibatkan tarian, pelbagai lokasi, dan penggambaran yang memakan waktu di Palm Garden Hotel, Putrajaya.

"Saya ulang banyak kali perkataan ‘seronok’ sebab memang itulah yang saya rasa! Walaupun mencabar dan di luar zon selesa saya, saya tahu saya perlu biasakan diri dengan rentak ini," katanya penuh rasa teruja.



Diana berharap agar lagu ini tidak hanya menghibur, tetapi juga dapat menjadi teman bagi mereka yang sedang atau pernah melalui masa-masa sukar dalam hubungan.

"Saya mahu orang menyanyi lagu ini dengan kuat di dalam kereta atau semasa mandi. Muzik adalah satu bentuk perayaan dan saya harap sesiapa yang telah keluar daripada hubungan yang menyakitkan dapat meraikan kebebasan mereka dan menghargai keberanian diri sendiri," ungkapnya jujur.

Semoga Diana menemui kebahagiaan yang dicari-cari selama ini selepas kegagalan dan kekecewaan yang pernah dilalui. 

Takdir penentu segala… meminjam judul lagu Dato Jamal Abdillah! - KitaReporters


\

15
13
0
19
0
You will be interested