
ETONIA Vaqa Saukuru (kanan) membolosi barisan benteng Sri Lanka untuk hatrik try buat Bunga Raya. - Kredit foto: KRM
MEMANG bukan tandingan Sri Lanka dan masih besar jurang permainannya dengan Bunga Raya dalam play-off Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2025.
Ranking ke-40 dunia Si Gading berbanding
ke-49 milik pelawat telah menonjolkan kelebihan mereka di atas kertas malah jelas dibuktikan di Stadium Lapang Lumba, Colombo tanggal
19 April 2025.
Dengan dibenam 59-19, maka berakhirlah
penghunian pasukan negara dalam Divisyen Perdana ARC sejak 2018 serta terbalaslah dendam kekalahan lawan, 22-9 di Ipoh, Perak ketika pertemuan
akhir mereka tanggal 20 Mei 2017.
Tiga pemain naturalisasi, Samuela Tamanisau dan Etonia Vaqa Saukuru kelahiran Fiji serta Ryan James Long dari Scotland yang disandarkan ketua jurulatih negara, Saizul Hafifi Md. Noor hanya dapat memberikan sedikit impak membina.

TIGA pemain Bunga Raya (berjersi merah) termasuk Samuela Tamanisau (kiri) melancarkan serangan terhadap Sri Lanka yang ditemani ribuan penyokongnya di Stadium Lapang Lumba, Colombo. - Kredit foto: KRM
Kesemua try dilakukan oleh Saukuru di posisi No. 8 dengan dua conversion yang dilengkapkan oleh gandingan flyhalf, Amirul Aqil Kamsol dan Nazreen
Fitri Nasrudin juga belum memadai untuk menjinakkan Sri Lanka yang 100 peratus
meyakini kudrat anak jatinya.
Malaysia juga banyak dihukum oleh kederasan dan
kerapian barisan tuan rumah dalam menghidu sasaran terutam pencatat hatrik
trynya, Dinal Ekayanake yang kemudian dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Turut mempengaruhi kekalahan Bunga Raya ialah kesilapan mengendalikan bola dan sepakan yang kurang berkesan sehingga membuka laluan penguasaan ruang oleh Si Gading.
Justeru mulai 2026, Malaysia terpaksa diturunkan ke Divisyen Satu ARC seperti mana 2017 dan akan berdepan Qatar, Kazakhstan dan India.
Sri Lanka yang diketuai Nigel Ratwatte pula melonjak ke Divisyen Perdana, sekali gus berpeluang menyertai Kelayakan Piala Dunia (RWC) 2027 pada 13 Jun hingga 5 Julai 2025.
Hanya satu tiket Asia yang mampu direbut ke RWC di Australia antara Sri Lanka, Hong Kong, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Korea Selatan dalam kelayakan di Colombo, Dubai, Incheon dan Hong Kong.

BUNGA Raya sekadar membuat persediaan menghadapi ARC 2025 di Colombo dengan bermodalkan pemanas badan tempatan menentang Dungun Rugby, KL Tigers and Muamalat Bullets. - Kredit foto: KRM
Ulas Saizul dalam kiriman video Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM): "Persiapan pasukan kami tidak lama (sejak Mac 2025 lalu) yang dijalankan secara berfasa-fasa dan kurang membina.
“Kami masih tidak dapat menurunkan
barisan pemain yang terbaik tetapi tahniah diucapkan kepada para pemain kerana tetap
memberikan 100 peratus dan berjaya beroleh tiga try.
“Corak permainan lawan begitu pantas
dari kawasan belakangnya. Kami kurang mampu mengawal bola dalam tempoh yang
lebih lama untuk mengasak kawasan lawan."
“Sri Lanka jelas pasukan yang lebih baik,” katanya lagi yang melatih Bunga Raya mulai Februari 2025 lalu.

SAIZUL Hafifi Md. Noor akur dengan rentak pantas Sri Lanka yang sentiasa menghukum kesilapan anak-anak buahnya. - Kredit foto: KRM
Kata scrumhalf, Nasharuddin Ismail, “keputusannya memang tidak memihak Malaysia tetapi saya berbangga dengan prestasi pasukan terutama pemain-pemain baharu.
“Komitmen semua pemain sepanjang perjalanan kami dari kem latihan pusat hingga hari perlawanan, saya berpuas hati.
“Harap ada penambahbaikan pemain senior. Biarpun akan main divisyen lebih bawah (2026), kami harapkannya menjadi batu loncatan untuk lebih maju pada masa depan,” katanya yang juga penolong kapten negara.

NASHARUDDIN ISMAIL

BARISAN negara (dari kiri) Suhaikal Suhaimi, Luqman Hakim Abu Hassan dan Amir Zakwan Zunaidi (empat dari kiri) bersedia membantu Nabil Ikhwan Nazri (memegang bola) yang cuba dikekang pemain Sri Lanka. - Kredit foto: KRM