Seni & Sukan 26 Mar, 2025

Bila ABAH Bersuara| Seronoknya kerja di meja hiburan! Promosi lagu raya, PRO bertumpu ke meja kami!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

                                                                                                                                   


“BOS, minta tolong promosikan lagu-lagu hari raya penyanyi kami!” Suara ini kembali menerjah memori penulis setiap bulan Ramadan, mengimbau kenangan lalu ketika memegang jawatan pengarang hiburan akhbar Utusan Malaysia pada akhir tahun 1980-an.

Hampir saban hari pada sepanjang bulan Ramadan, ada sahaja Pegawai Perhubungan Awam (PRO) syarikat rakaman bertumpu ke meja hiburan mempromosi album hari raya keluaran syarikat rakaman syarikat tempat mereka bekerja.

Ini antara kenangan Ramadan yang masih tersimpan dalam ingatan penulis. Bersama anak buah di meja hiburan, kami melayani setiap PRO yang datang, biasanya bersama artis mereka.

Akhbar tempat penulis bertugas, Utusan Malaysia mempunyai edaran tertinggi berbanding akhbar lain. Tidak hairan jika PRO sendiri memberitahu tidak puas hati selagi kisah artis dan album keluaran syarika mereka belum tersiar di akhbar penulis, walau pun sudah tersiar di akhbar lain.

PRO yang datang daripada pelbagai syarikat rakaman besar dan sederhana. Misalnya EMI (Electric and Musical Industries), WEA (Warna-Elektra-Atlantic), BMG (Bertelsmann Music Group), Sony, New Southern Records (NSR), Polygram, Life Records, SRC dan lain-lain.


Album Hari Raya EMI antaranya menampilkan Sudirman Arshad (depan duduk), DJ Dave duduk dua dari kiri), Aman Shah (berdiri belakang), Noor Kumalasari (duduk kanan), Sharifah Aini (duduk kiri). 


Setiap PRO, baik lelaki atau perempuan, masing-masing datang dengan gaya penampilan dan ‘dressing’ hebat. Sewajarnya begitu kerana penampilan diri adalah ciri penting untuk seorang PRO.

Fesyen pakaian yang pelbagai dan berwarna warni, ada kala sedikit seksi, bukan sahaja menarik perhatian wartawan meja hiburan, tetapi juga wartawan meja lain yang turut mencuri pandang. Ada yang berkata, “Seronoknya kerja di meja hiburan!”

Biasanya apabila datang, PRO akan membawa bersama album lagu hari raya yang hendak dipromosi. Pada era 80-an itu, lagu dirakam dalam bentu kaset (cassette), menggantikan piring hitam dan katrij. Kaset kemudian diambil alih oleh cakera padat (CD).

Setiap PRO berusaha menonjolkan keunikan dan kelebihan lagu hari raya nyanyian penyanyinya. Ada juga yang mempromosi kompilasi lagu hari raya yang pernah dirakamkan oleh penyanyi syarikat mereka sebelum ini.


Album Hari Raya EMI menampilkan Uji Rashid (kiri), Hail Amir (baju biru), Sharifah Aini dan DJ Dave, lengkap berpakaian raya.


Setiap PRO menaruh harapan mendapat publisiti untuk melancarkan penjualan album. Penulis berusaha memenuhi kehendak PRO ini yang dianggap rakan dalam bidang hiburan. Pesanan kepada wartawan, tulis secara adil tanpa unsur pilih kasih.

Daripada akhbar harian, penulis kemudian diberi tanggungjawab selaku pengarang akhbar mingguan, Mingguan Malaysia di syarikat sama. Akhbar mingguan ini tertinggi edarannya di Malaysia ketika itu, mencecah sehingga lebih 600 ribu naskhah seminggu.

Oleh itu ‘adegan’ dikunjungi PRO berterusan. Akhbar mingguan itu mempunyai sisipan khas hiburan setiap minggu, ‘Pancaindera’, yang sangat popular dalam kalangan pembaca. Bahannya disediakan oleh wartawan hiburan akhbar mingguan berkenaan.  

Yang sering menjadi harapan PRO ialah artisnya jadi penghias muka depan ‘Pancaindera’. Jika tidak pun, penghias muka belakang atau tengah (centre spread). 

Pada musim hari raya, mereka harapkan paparan artis lengkap berpakaian raya.

Penulis faham PRO perlu melaksanakan tugas sebaik mungkin mempromosikan artis dan syarikat. Mereka perlu bekerja keras kerana prestasi mereka diukur oleh syarikat rakaman. Dalam hal ini, team hiburan berusaha membantu.


Album 'Seleksi Hari Raya' menampilkan lagu-lagu nyanyian artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman SRC. Antaranya Siri Nurhaliza, Liza Hanim dan Noraniza Idris.


Oleh kerana PRO sering datang bukan sahaja pada musim hari raya tetapi pada waktu-waktu-waktu lain, penulis mengenali kebanyakan daripada mereka.

Apabila penulis kemudiannya dipindahkan ke meja berita sepenuhnya, hubungan dengan PRO hiburan ini bagai terputus. PRO tetap kerap datang ke pejabat, tetapi mungkin tidak berkesempatan bertanya khabar dengan penulis!

Namun ada dua tiga orang yang tetap ingat. Jika datang untuk membuat promosi di meja hiburan, mereka akan menemui penulis bertanya khabar dan berbual mesra. Bagi penulis, mereka tidak mudah lupa.

Namun kini tiga PRO ini semuanya telah pergi menyahut seruan Ilahi. Apabila menjelang Ramadan, ketika ingatan melayang kepada promosi lagu raya, penulis pasti teringat kepada mereka. Semoga Allah cucuri rahmat dan ampuni dosa. - KitaReporters

16
3
0
16
0
You will be interested