Seni & Sukan 26 May, 2025

ASEAN All-Stars vs Man U! Diperkasa 5 tonggak Harimau Malaya! Cerminan setiakawan serantau! - PM

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

ANTARA bintang Manchester United musim 2024-2025 yang bakal menjejak kami ke bumi Malaysia. - Kredit foto: MUFC


TANGGAL 28 Mei 2025 ini, Stadium Nasional, Bukit Jalil bakal menyambut ketibaan Manchester United (MU) buat kali keempat sejak 2001 atau yang ke-10 secara keseluruhannya ke Malaysia yang pernah dicatat dari tahun 1980.

Sabah, Pilihan Malaysia, Pilihan Sabah, Pilihan Selangor, Malaysia Bawah 23 Tahun dan Malaysia adalah antara yang pernah menjadi lawan Red Devils (Jembalang Merah) -- kelab juara Liga Perdana England (EPL) sebanyak 13 kali dan juara Piala Eropah/Liga Juara UEFA tiga kali serta Piala Kelab Dunia FIFA sekali.

Bezanya di Bukit Jalil kali ini ialah pasukan Bintang-bintang ASEAN (ASEAN All Stars) yang di bawah bimbingan jurulatih Vietnam warga Korea Selatan, Kim Sang-sik, akan dilagakan dengan kelab kendalian Ruben Amorim ini dalam perlawanan yang turut digelar 'Piala Cabaran Malaysia 2025'.


DECLAN Lambert (2), Haziq Nadzli dan Sergio Aguero (belakang, kanan dan dua dari kanan) antara lima tonggak Harimau Malaya yang akan memperkasa Bintang-bintang ASEAN berdepan 'Si Jembalang Merah' Manchester United di Bukit Jalil, 28 Mei 2025. - Kredit foto: FAM  


Bintang-bintang ASEAN selaku tuan rumah dilaporkan turut diperkasa lima pemain Harimau Malaya seperti Azam Azmi Murad, Declan Lambert dan Adib Ra’op (benteng), Haziq Nadzli (penjaga gol) serta penyerang naturalisasi kelahiran Argentina, Sergio Aguero. 

Selebihnya ialah empat pemain Vietnam yang juga juara Piala AFF 2024-2025, Thailand (empat), Indonesia (dua) serta masing-masing seorang dari Laos, Timor-Leste, Myanmar, Kemboja dan Singapura.

Namun Bintang-bintang ASEAN sebenarnya bukanlah kali pertama dibentuk secara sementara bagi menghadapi perlawanan persahabatan seumpama ini kerana pada 11 Mei 2014, mereka ditewaskan Indonesia 1-0 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Bekas ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal mengendalikan Bintang-bintang ASEAN yang hanya tewas ekoran jaringan sendiri pemain Singapura, Shahril Ishak pada minit ke-14 dengan tiga anak buahnya yang beraksi ialah Aidil Zafuan Radzak, Safiq Rahim dan Mahalli Jasuli.


POSTER Perlawanan Persahabatan 'Piala Cabaran Malaysia 2025' menemukan Bintang-bintang ASEAN dan Manchester United. 


Prestasi tim Amorim begitu hambar pada musim 2024-2025 EPL yang berakhir 25 Mei 2025 malah kerap mendapat kecaman hebat para penyokong setianya di seluruh dunia dengan hanya menduduki tempat ke-15 dan memungut 42 mata hasil 11 kemenangan dan seri sembilan kali.

Laman sesawang rasmi kelab MU itu menyebut, pengurus kelahiran Portugal akan membawa skuad 32 pemainnya bagi siri perlawanan pascamusim EPL termasuk bagi menentang Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 30 Mei 2025. 

Antaranya bintang Belanda, Matthijs de Ligt dan Joshua Zirkzee namun tanpa Lisandro Martinez akibat tercedera begitu juga Noussair Mazraoui selain Leny Yoro. 

Tetap hadir ke Bukit Jalil dan Hong Kong ialah Diogo Dalot, Andre Onana, Luke Shaw dan Alejandro Garnacho serta Jonny Evans.

Perlawanan persahabatan Bintang-bintang ASEAN dan Manchester United turut diatur bersempena Sidang Kemuncak Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) Ke-46 atau Kepengerusian ASEAN Malaysia di Kuala Lumpur dari 23 hingga 28 Mei 2025.


ANWAR Ibrahim dalam satu ucapannya yang menyentuh pertembungan Bintang-bintang ASEAN dan kelab kegemarannya, MU berkaitan semangat setiakawan ASEAN. 


Anwar Ibrahim mengunjungi dan bergambar dengan pasukan Harimau Malaya pada 24 Mei 2025 ketika pasukan negara sedang menjalani latihan di Johor Bahru.


Secara kebetulannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan penyokong setia MU seperti mana yang didedahkannya ketika berucap dalam Anugerah Sukan Negara 2021 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada 31 Januari 2023.

Sempat beliau memetik antara perbualan ringkasnya dengan legenda pengurus United, Sir Alex Ferguson dalam pertemuan di New York atas undangan mantan Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore.

"Alex kata, jika dapat memenangi hati para pemain, maka kemudiannya anda boleh memenangi perlawanan.

"Katanya juga, jurulatih yang seperti penjaga atau ibu bapa, perlu memahami dan menunjukkan kasih sayang kepada pemain-pemain anak-anak muda ini.

"Alex ketika itu berdepan dengan pemain-pemain daripada pelbagai latar belakang, bangsa, agama dan negara malah ada yang tidak mampu menguasai bahasa Inggeris," kata Anwar.

Ferguson cerita beliau, sanggup mengubah suai waktu latihan dari pukul 6.30 petang dan ketika Ramadan kerana ada pemain Muslim memintanya walaupun mulanya terasa sukar dan seolah-olah dia seorang bos pasukan yang cuba diajar oleh pemain. - KitaReporters


HASSAN Sani (Datuk), penyerang Pilihan Sabah dan kebangsaan berebut bola dengan seorang pemain Manchester United di Kota Kinabalu pada 1980. - Kredit foto: Majalah sukan tempatan


PILIHAN Sabah (jersi hijau) diperkuat bintang-bintang kebangsaan seperti James Wong, Hassan Sani, Mokhtar Dahari dan R. Arumugam untuk menghadapi Manchester United di Likas pada 1980. - Kredit foto: Majalah sukan tempatan  


PENYERANG Malaysia B-23, Hairuddin Omar (kiri) cuba merebut bola daripada bintang MU, Ryan Giggs dalam perlawanan tanggal 23 Julai 2001 - kali pertama Red Devils menjejak Stadium Nasional, Bukit Jalil. 


REKOD PERLAWANAN PERSAHABATAN MANCHESTER UNITED DI MALAYSIA 1980-2009:

1980, Stadium Likas, Kota Kinabalu

Sabah 0 Manchester United 2

7 Jun 1981, Stadium Merdeka, Kuala Lumpur

Pilihan Malaysia 0 Manchester United 0

10 Jun 1981, Stadium Likas, Kota Kinabalu

Pilihan Sabah 0 Manchester United 1

14 Jun 1981, Stadium Merdeka, Kuala Lumpur

Pilihan Selangor 1 Manchester United 4

(Penjaring Pilihan Selangor: K. Kanagarajah)

31 Julai 1995, Stadium Shah Alam, Selangor

Pilihan Selangor 1 Manchester United 4

(Penjaring Pilihan Selangor: Scott Ollerenshaw)

2 Ogos 1995, Stadium Shah Alam, Selangor

Pilihan Selangor 0 Manchester United 2

23 Julai 2001, Stadium Nasional, Bukit Jalil

Malaysia Bawah 23 0 Manchester United 6

18 Julai 2009, Stadium Nasional, Bukit Jalil

Malaysia 2 Manchester United 3

(Penjaring Malaysia: Mohd. Amri Yahyah)

20 Julai 2009, Stadium Nasional, Bukit Jalil

Malaysia 0 Manchester United 2


AKSI-AKSI Pilihan Malaysia (kuning) yang diketuai (gambar kiri atas) Jamal Nasir Ismail dan penjaga gol Sabah, Peter Rajah (jersi hijau) yang berdepan Manchester United pada 7 Jun 1981. Turut beraksi ialah K. Gunasakaran (gambar atas kanan), R. Subramaniam dan Ibrahim Saad. - Kredit foto: Majalah sukan tempatan 


AMRI Yahyah (kiri) yang melangkaui penjaga gol lampai Manchester United dan Belanda, Edwin van der Sar dengan rembatan awangan kaki kirinya dari jarak jauh sambil bek kiri, Patrice Evra hanya terpaku pada 2009. - Kredit foto: AY

11
9
0
13
0
You will be interested