Seni & Sukan 10 Jun, 2025

Nota Tepi Padang| Antara dua darjat? Ke mana MFL nak bawa Liga M? Kuota 15 pemain import! Perlu ke?

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

PERAK yang pernah guna khidmat pemain import tidak akan beraksi pada Liga Super musim 2025-2026 kerana masalah kewangan. - Kredit foto: Perak FA


LANGKAH Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menambah kuota pemain import kepada 15 orang untuk semua pasukan yang akan bersaing pada Liga Super musim 2025-2026, mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Ada yang menyokong keputusan MFL itu namun ramai juga yang mengkritik. Masing-masing mempunyai hujah tersendiri untuk mengukuhkan pendapat mereka.

MFL dalam penjelasannya berkata langkah yang dianggap drastik itu adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan mutu Liga Malaysia (Liga M).

Ia sekali gus boleh membuka peluang lebih banyak pasukan tempatan bersaing pada peringkat Asia menerusi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).


DATUK AB GHANI HASSAN - Kredit foto: MFL


"Kami (MFL) banyak agenda untuk memastikan bola sepak negara terus berkembang dan maju serta boleh bersaing pada peringkat Asia. Kenapa kita buat, sebab kita nak menolak banyak lagi kelab Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

"Kita sedia maklum Selangor yang bermain di Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan JDT di ACLE perlukan satu pasukan yang mantap.

"Itu matlamat kami pada peringkat Asia sebab MFL tak mampu nak memberi kewangan kepada kelab sebab faktor kewangan dan sebagainya. Tapi apa yang boleh MFL dan FAM buat adalah memudah cara, membantu kelab bergerak ke hadapan, ada hala tuju," kata Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.

Pada masa sama, beliau menafikan keputusan MFL menambah kuota import kerana menuruti kehendak pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor.


KELAB JDT layak bertanding pada Liga Juara-Juara AFC Elit. - Kredit foto: MFL


"Berkenaan 15 pemain import itu, ada yang mengatakan ini semua kehendak Tunku Mahkota Ismail, ia tidak begitu. Janganlah memperkecil kebolehan kami di MFL dan FAM,” kata Ghani.

Tunku Mahkota Ismail atau juga dikenali sebagai TMJ (Tunku Mahkota Johor) dalam respons baginda terhadap langkah diambil oleh MFL itu hanya menulis ringkas menerusi laman X. 

Level up,” tulis baginda ringkas dalam media sosial itu.


SELANGOR FC akan akan bertanding pada Liga Juara-Juara AFC 2. - Kredit foto MFL.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar melihat perkembangan terbaharu itu sebagai langkah positif untuk meningkatkan keampuhan The Red Giants terutama dalam menghadapi saingan ACL 2 dan Kelab ASEAN (Piala AFF) musim 2025-2026.

“Untuk Selangor FC, sudah tentu kami mengalu-alukan perubahan ini tetapi tidak semestinya kita nak menggunakan kesemuanya kuota itu sebab kita perlu lihat bajet dan kualiti pemain.

“Tetapi perubahan dan langkah ini adalah baik terutamanya untuk Selangor dan juga JDT sebab dua pasukan ini akan beraksi di ACL dan kelab ACC, jadi ia akan beri kelebihan kepada kita untuk ada pilihan pemain yang lebih banyak,” katanya.


PEKAN RAMLI


Namun, bagi mereka yang bernada sebaliknya melihat tindakan badan pengelola itu sebagai agak drastik berdasarkan situasi Liga M ketika ini.

“Sebenarnya ini keputusan yang mengejutkan dan tidak dijangka. Betul ke keputusan dibuat untuk pastikan liga jadi kompetitif kerana kalau kita bandingkan nanti mungkin saingan jadi lebih tidak seimbang.

“Kalau ada pasukan yang boleh daftarkan 15 import dan tujuh pemain di atas padang selain dua di bangku simpanan, bagaimana nak bersaing dengan pasukan yang hanya ada tiga atau empat pemain import di atas padang,” soal pemerhati bola sepak, Datuk Dr Pekan Ramli.

Malah, ramai yang bimbang, lambakan pemain import akan menyebabkan bakat pemain tempatan hanya akan dipandang sebelah mata dan akhirnya hilang dari radar akibat ketabsuban kelab ke atas pemain import.


HARDI JAAFAR - Kredit foto: FB Hardi Jaafar


Bekas pemain kebangsaan, Hardi Jaafar menarik perhatian apabila secara lantang  menganggap Liga M sudah dijajah oleh pemain import.

"Adakah patut atau tidak setiap pasukan perlu pemain import seramai 15 orang? Kenapa tak letak satu pasukan terus (pemain import)? Ini semua akan buat pemain tempatan kena gali kubur sendiri dan tanam sendiri,” kata Hardi sinis.

Untuk rekod, MFL sebelum ini memaklumkan keputusan menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Ke-13 Penggal 2021–2025 yang bersetuju membenarkan semua kelab mendaftar maksimum 15 pemain import, dengan kuota tujuh pemain di atas padang dan dua simpanan, terdiri daripada empat terbuka, seorang Asia dan dua ASEAN.


KEHADIRAN pemain import mampu lonjak prestasi pasukan. - Kredit foto: Selangor FC


Sejak diumumkan pada 23 Mei, 2025 lalu, penulis mengikuti senario itu dengan teliti serta menilai setiap pandangan untuk membolehkan penulis membuat analisis serta pandangan peribadi.

Sejujurnya, penulis agak skeptikal dengan keputusan MFL itu dan sependapat dengan Dr Pekan bahawa ia adalah satu langkah yang drastik jika menilai kembali liga kita beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada ketika penulis bersetuju bahawa kehadiran pemain import mampu melonjakkan prestasi pasukan serta prestij Liga M namun penulis melihat implkasinya lebih besar jika ia dilaksanakan.

Ya, memang benar, pengambilan 15 pemain import bukan mandatori sebaliknya tertakluk atas kemampuan kelab masing-masing. Jika mampu, mereka boleh memenuhi semua kuota itu, jika tidak ambillah jumlah import berdasarkan ‘ukur baju di badan sendiri’.

Beberapa kelab seperti Sabah FC, Penang FC dan Terengganu FC lebih awal menyatakan bahawa mereka akan mengambil pemain import mengikut kemampuan dan tidak akan terburu-buru untuk memborong 15 pemain import. 


TERENGGANU FC mengambil pendekatan perbelanjaan berhemah untuk musim 2025-2026. - Kredit foto Terengganu FC


"Situasi ini kami perlu waspada. Jangan hanyut hanya kerana mahu kuat di atas padang, tetapi akhirnya poket koyak. Berbelanja berpada-pada tidak bererti kita akan lemah,” ujar Pengurus Besar Sabah FC, Md Joh Wid. 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang FC, Jeffrey Chew pula menegaskan kelab itu akan berhati-hati dalam berbelanja dan hanya akan mengambil pemain import bersesuaian dengan bajet mereka.

Terengganu FC yang menggunakan khidmat sembilan import pada musim 2024-2025, membayangkan kemungkinan mengurangkan jumlah import berdasarkan kemampuan kewangan mereka.

"Setakat ini Terengganu menggunakan sembilan import tapi untuk musim depan (2025-2026) belum diputuskan lagi. Kita akan belanja ikut kemampuan kewangan kita," ulas pengurus pasukan Terengganu FC, Shahrizan Mohd Zain. 


KEDAH Darul Aman FC akhirnya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Malaysia. - Kredit KDA FC


Begitu pun persoalannya, apakah MFL mengambil pendekatan ‘ukur baju di badan sendiri’ ketika membuat keputusan menambah kuota import.

Apakah mereka sudah menimbang kemampuan majoriti kelab yang akan bertanding sebelum menaikkan jumlah pemain import dari 12 sebelum ini kepada 15?

Ketika jumlah 12 pemain import pun, kebanyakan pasukan tercungap-cungap hendak membayar gaji sehingga ada yang mengalami tunggakan dan akhirnya ‘gulung tikar’ inikan pula 15 import.

Sudahkah dicongak berapa kelab yang mampu? Pada penulis, hanya dua kelab yang benar-benar mampu memenuhi kuota itu iaiatu JDT dan Selangor FC.

Bukan niat penulis memperlekeh kelab lain tapi berdasarkan senario liga kita beberapa musim kebelakangan ini, kebanyakan kelab tidak mampu. Jika mereka berusaha juga untuk memenuhi kuota itu, penulis yakin lebih banyak kelab akan ‘bungkus’ selepas ini.


SEJAK satu dekad lalu, tidak ada pasukan mampu cabar JDT FC. - Kredit foto MFL


Sekali lagi, kuota 15 pemain import itu bukan kemestian, semua kelab perlu bijak membuat keputusan tapi sedarkah MFL apakah senario yang akan berlaku dalam Liga M nanti? 

Sebagaimana yang kita maklum, hanya beberapa kelab saja yang mempunyai sumber kewangan kukuh serta mampu berbelanja mewah dengan memborong seberapa banyak pemain yang dibenarkan, selebihnya hanya mampu melihat dan menggigit jari.

Ia sudah pasti mengwujudkan situasi ‘antara dua darjat’ dalam Liga M yang menyaksikan pasukan elit terus mendominasi kerana pasukan marhaen tidak berdaya memberi saingan akibat tidak mampu memborong pemain import sebagaimana pasukan kelas atasan.

Rumput mungkin sama hijau tapi padang akan menjadi tidak sama rata untuk mereka bersaing. Ia tidak mengwujudkan liga yang kompetitif sebaliknya liga syok sendiri yang membosankan! 


KEKALAHAN 0-9  Kelantan Darul Naim (KDN ) FC kepada JDT FC membuktikan betapa luasnya jurang kedua-dua kelab itu. -Kredit foto: KDN FC


Sebagaimana kata Dr Pekan, bayangkan kalau ada pasukan yang boleh daftarkan 15 import dan tujuh pemain di atas padang selain dua di bangku simpanan, bagaimana nak bersaing dengan pasukan yang hanya ada tiga atau empat pemain import di atas padang.

Jika ini berlaku, di manakah daya saing Liga M? Justeru, apakah ia mampu meningkatkan kualiti liga itu sendiri sebagaimana diimpikan oleh MFL?

Menurut peraturan baharu MFL, setiap pasukan dibenarkan menurunkan tujuh pemain import pada satu-satu masa dengan tambahan dua pemain import di bangku simpanan, menjadikan sembilan pemain import boleh digunakan untuk satu perlawanan.

Penulis bersetuju dengan pandangan Hardi, Liga M kini seolah-olah menggali kubur untuk pemain tempatan. Walaupun nada kritikan bekas pemain itu agak keras namun itulah hakikat yang perlu difikirkan oleh MFL.


FAISAL Halim antara pemain tempatan yang menyerlah. - Kredit foto: Selangor FC


Dengan peraturan 7+2, Hanya tinggal empat slot untuk pemain tempatan, itu pun jika kelab berkenaan tidak menggunakan khidmat pemain naturalisasi. 

Ada yang mendakwa kehadiran pemain import akan memberi persaingan sihat kepada pemain tempatan, sekali gus mampu meningkatkan permainan mereka tapi hakikatnya tidak begitu.

Realitinya, pemain import sentiasa diutamakan kerana mentaliti orang kita semua barangan import adalah baik sedangkan ada dalam kalangan pemain tempatan yang mampu memberi saingan tapi hanya diperap di bangku simpanan.

Akhirnya, bintang yang baru hendak bersinar menjadi pudar. Bunga yang baru berputik, layu sebelum berkembang. Itulah hakikat bola sepak Malaysia sekarang dek terlalu mendewakan pemain import.


KEPUTUSAN MFL menambah kuota pemain import menimbulkan persoalan kepada banyak pihak . Laporan Majoriti


Justeru, penulis berpendapat, jumlah pemain import di dalam padang pada satu-satu perlawanan juga perlu dikaji semula. Mungkin MFL boleh ambil pendekatan lima pemain import beraksi dan dua pemain import di bangku simpanan.

Selain memberi ruang kepada pemain tempatan, komposisi ini juga akan membolehkan semua pasukan bersaing di atas padang yang sama rata, sekali gus mengwujudkan satu pertandingan yang kompetitif - sebagaimana diimpikan oleh MFL.

Untuk saingan pada peringkat Asia pula, pasukan yang layak boleh menurunkan seberapa ramai pemain import yang dibenarkan pertandingan itu. Ini baru adil! - KitaReporters

16
10
0
16
0
You will be interested