Membaca tajuk lagu ini,”Bakal Kekasih’, seolah membayangkan penyanyi terkenal Amir Masdi sudah terbuka berkongsi sosok wanita yang berjaya menambat hatinya setelah sekian lama mengunci rapat kisah peribadinya. Betul ke Amir?
"Kalau ada siapa yang ada 'crush' tapi tak berani nak luah atau kongsi, boleh guna lagu ni. Lagu ni memang 'direct' dan menyeronokkan,” kata Amir tanpa merujuk pada dirinya.
Apa pun menurut Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, 29, lagu ciptaan bersama komposer terkenal Edry Abdul Halim itu bukan sekadar mengisahkan perasaan suka kepada seseorang, tetapi dikembangkan menjadi hasrat untuk menjadikan individu tersebut sebagai pasangan hidup.
“Cikgu Edry bagi idea, kenapa tak jadikan kisahnya lebih mendalam. Jadi daripada sekadar suka kami tukar menjadi seseorang yang kita mahu jadikan pasangan hidup. Saya berasa itu idea yang menarik dan boleh 'relate' dengan semua orang, baik yang bujang mahupun yang dah kahwin,” cerita Amir.
Lagu ‘Bakal Kekasih’ adalah single keempat yang dilancarkan daripada album AM:PM (Side AM) selepas kejayaan lagu ‘Nur Cinta’, ‘Calar’ dan ‘Langit Biru’.


Berbeza daripada karya-karya terdahulunya, 'Bakal Kekasih' menandakan kemunculan pertama Amir dalam genre rock and roll, menyuntik nafas baru dan segar dalam katalog muziknya.
Amir mendedahkan bahawa lagu ini telah ditulis lama, iaitu selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun hanya tersimpan dalam telefonnya selama beberapa tahun sebelum disempurnakan dengan bantuan Edry.
“Ini adalah lagu pertama 'rock and roll' saya dan sebenarnya saya dah tulis lagu ni lama dah iaitu selepas PKP. Tapi lagu ini tersadai beberapa tahun dalam phone saya. Jadi, ketika saya nak menghasilkan album ini, Cikgu Edry tanya saya nak lagu macam mana lagi untuk album ini, dan saya terus teringat lagu rock and roll ni.
Sambungnya, ”Saya cakap pada cikgu yang mana saya nak satu lagu 'rock and roll.’ Saya pun kongsi lagu yang saya dah tulis dan cikgu kata, ‘This is a good tune.’, dan dengan bantuan beliau, siaplah lagu Bakal Kekasih,” kenang Amir.

Amir mendapat bimbingan Edry Abdul Halim (kanan) dalam mencipta lagu 'Bakal Kekasih'.
Beliau berharap lagunya itu dapat menjadi medium bagi pendengar untuk meluahkan perasaan kepada insan yang diminati, baik yang bujang mahupun yang sudah berumah tangga.
Menambah keterujaan, video muzik 'Bakal Kekasih' sudah dirakam di sebuah restoran retro di Manchester, United Kingdom, pada Februari tahun lalu (2024).
Dengan mengadaptasi konsep "free and easy" dan "teenage vibes" ala-ala High School Musical atau Uptown Girl, video muzik ini bertujuan untuk menonjolkan tenaga dan suasana ceria untuk semua orang.
Malah dengan elemen klasik yang jarang diperkenal dalam industri muzik masa kini, ‘Bakal Kekasih’ dijangka memberi kepuasan kepada peminat yang merindui irama rock and roll.
"Saya harap lagu ni dapat mengubat rindu peminat rock and roll. Ini memang sesuatu yang berbeza daripada saya dan saya sangat teruja serta berharap ia membawa sesuatu yang baik untuk kerjaya saya juga,” akhirinya. - KitaReporters
