Seni & Sukan 09 May, 2025

Cari pelaku sampai ke lubang cacing! Kes Faisal Halim diklasifikasikan NFA! Tapi fail belum tutup!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

FAISAL menjadi mangsa simbah asid pada Mei 2024.


SELEPAS setahun tragedi simbah asid berlaku ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dan ketika kita ternanti-nanti dapatan hasil siasatan pihak polis, jawapan yang diterima jelas mengecewakan peminat. 

Menerusi sidang media peguam yang mewakili Faisal, Nik Zarith Nik Moustapha, pada Khamis, 8 Mei, 2025, status kes itu kini diklasifikasikan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai 'No Futher Action (NFA)’ atau dalam Bahasa Malaysia bermaksud ‘Tiada Tindakan Lanjut’.

Menurut AGC, keputusan itu dibuat selepas pihak polis gagal mengenal pasti penjenayah yang melakukan serangan asid ke atas Faisal.

"Kita menerima surat daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memaklumkan kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA). Surat itu bertarikh 18 Februari dan kita terima pada 20 Februari lalu.

"Surat terbabit menyatakan PDRM tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang dapat mengaitkan kes ini dengan mana-mana individu sebagai suspek," katanya.


PEGUAM, Mohd Haijan Omar (kiri) dan Nik Zarith Nik Moustapha pada sidang akhbar menjelaskan keputusan AGC. - Kredit gambar: Harian Metro


Pada ketika kita menghormati keputusan AGC, kita juga perlu memahami kekecewaan peminat ekoran perkembangan terbaharu itu selepas sekian lama menanti apakah kesudahan kepada episod berkenaan.

Malah, mereka sentiasa mengharap pihak polis dapat memberkas si penjenayah, mengheretnya ke mahkamah serta dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatannya.

Simbahan asid yang berlaku pada 5 Mei, 2024 itu bukan jenayah kecil kerana ia hampir memusnahkan karier bintang bola sepak kebangsaan itu, sekali gus boleh menutup periuk nasinya malah jika tidak diberi rawatan segera, berkemungkinan membawa petaka yang lebih besar kepada pemain Selangor berkenaan.

Susulan keputusan AGC itu, pada 15 April, 2025, peguam Faisal memohon AGC agar membuka semula kertas siasatan namun setakat ini belum menerima maklum balas.


FAISAL HALIM


Seorang lagi peguam yang mewakili pemain itu, Mohd Haijan Omar berkata anak guamnya berasa kecewa dengan hasil siasatan itu namun beliau memahami bahawa siasatan adalah berdasarkan undang-undang.

“Anak guam berharap beliau mendapat keadilan kerana kecederaaan dialami adalah serius serta meninggalkan trauma,” katanya.

“Fokus kita sekarang adalah untuk mengenal pasti siapa pelakunya dan berharap AGC membuka semula kertas siasatan,” sambungnya.

Menjenguk ke ruang komen pada beberapa platform media sosial yang menyiarkan perkembangan itu, rata-rata peminat meluahkan kekecewaan, malah yang gagal mengawal kemarahan mula meluahkan kata-kata yang tidak sewajarnya.


AFNAN HAMIMI


Ia turut menarik perhatian beberapa pihak. Malah, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden meminta Kerajaan memberi penjelasan terperinci di Parlimen berhubung kes itu.

Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu, keputusan tersebut memberi gambaran yang amat membimbangkan terhadap tahap keselamatan awam dan tanggungjawab pihak berkuasa dalam menangani jenayah berat secara terang-terangan.

“Apakah benar Malaysia sebuah negara hukum jika tiada pembelaan dan keadilan kepada rakyat dalam kes seperti ini?

“Ini bukan soal Faisal semata-mata, tetapi turut membabitkan keselamatan seluruh atlet kita yang menjadi tanggungjawab Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kes ini menggemparkan negara dan melibatkan kecederaan serius terhadap mangsa yang menjadi inspirasi kepada ramai anak muda. Maka, sangat tidak wajar sekiranya ia ditutup tanpa sebarang pendakwaan atau penjelasan munasabah kepada umum,” katanya menerusi hantaran Facebook.

“PDRM dan AGC mesti membentangkan asas keputusan NFA yang dikeluarkan kepada rakyat serta membuat penjelasan terbuka bagi mengelakkan kepercayaan umum terhakis,” ujarnya lagi.


MOHD SHUHAILY MOHD ZAIN


Sama ada Afnan selaku orang politik cuba ‘menangguk di air keruh’ daripada isu itu namun kebimbangan yang dizahirkan beliau perlu diberi perhatian oleh pihak berkaitan.

Begitupun sesuatu yang agak melegakan apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata walaupun kes itu kini diklasifikasikan sebagai NFA namun siasatan tidak dihentikan.

Menurutnya, status NFA merujuk kepada tangkapan tiga individu serta beberapa petunjuk termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan lakaran wajah yang diedarkan sebelum ini tidak mempunyai kaitan dengan kes terbabit.

"Ini merupakan prosedur operasi standard (SOP) dalam mana-mana siasatan. Sekiranya tangkapan tidak mempunyai kaitan atau membantu siasatan, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) akan mengklasifikasikan kes sebagai NFA sehingga wujud perkembangan atau maklumat baharu," katanya kepada Bernama.


LAKARAN wajah suspek.


Mohd Shuhaily berkata tiga individu yang ditahan sebelum ini dibebaskan selepas siasatan mendapati suspek sebenar menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu, manakala hasil analisis forensik terhadap telefon suspek tidak menunjukkan sebarang bukti penglibatan dalam kejadian berkenaan.

Jaminan Mohd Shuhaily sudah tentu sedikit sebanyak meredakan kekecewaan peminat malah kembali memberi mereka harapan untuk melihat penjenayah terus diburu hingga ke lubang cacing, dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman demi keadilan ke atas Faisal Halim.

Berdasarkan kejayaan polis menyelesaikan beberapa kes berprofil tinggi sebelum ini, penulis menaruh keyakinan penuh terhadap kemampuan PDRM untuk menyelesaikan kes ini apatah lagi ia membabitkan kepentingan awam. - KitaReporters


FAISAL kembali turun ke padang beberapa bulan selepas insiden simbah asid.

15
17
0
16
0
You will be interested