Seni & Sukan 06 Jun, 2025

Demi misi pecah tembok Vietnam! 4 lagi kacukan Harimau Malaya! Namun kecundang lawan Cape Verde!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

DARI kanan, empat lagi pemain warisan terbaharu Harimau Malaya - Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Rodrigo Holgado dalam sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: MNT


HARIMAU Malaya bakal berdepan Vietnam, 10 Jun 2025 ini dengan suntikan empat lagi pemain kelahiran negara asing tetapi berdarah keturunan Malaysia dalam misinya memecahkan rekod tanpa kalah selama 11 tahun dengan lawan.

Dua kelahiran Argentina, seorang dari Brazil dan seorang lagi Sepanyol asalnya merupakan darah baharu kacukan atau pemain warisan pasukan negara menjelang perlawanan Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu.  

Gerangannya ialah Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado yang sudah pun menyertai kem latihan tim kendalian Peter Cklamovski sejak minggu pertama Jun 2025 di stadium itu dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Kali akhir Harimau Malaya menumpaskan Pahlawan Bintang Emas ialah separuh akhir kedua Piala AFF tanggal 11 Disember 2014 di Stadium My Dinh, Hanoi dengan 4-2 dan pertemuan terkini mereka menyebelahi lawan, 3-0 dalam kejohanan dan venue sama, 27 Disember 2022.

“Pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia dengan sukacitanya mengumumkan penyertaan rasmi empat pemain terbaharu ini.

“Mereka menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan. Mereka sebagai pemain yang berkualiti, cukup bersedia untuk memperkukuh skuad negara demi merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia,” lapor laman sosial pasukan, Malaysia NT pada 4 Jun 2025.

Pada 2 Jun 2025, laman berkenaan turut mengumumkan ketibaan Facundo Garces, bek tengah kelab La Liga Sepanyol, Deportivo Alaves sebagai anggota baharu Harimau Malaya yang juga berdarah kacukan Malaysia sebelah neneknya. 

Berikut ialah biodata mereka:


IMANOL MACHUCA. - Kredit foto: FAM


Imanol Machuca 

· Tarikh lahir (umur): 15 Januari 2000 (25)

· Tempat asal: Roldan, Argentina

· Tinggi: 1.70 meter

· Posisi: Sayap kanan

· Kelab: CA Velez Sarsfield (Argentina)

Ulasan Machuca: “Sejak saya tiba di kem latihan negara, Malaysia telah memberikan yang terbaik untuk saya. Saya dapat merasakan sesuatu yang amat istimewa untuk mewakili Harimau Malaya dan satu penghormatan. Saya akan berikan segalanya.”


JON IRAZABAL. - Kredit foto: FAM


Jon Irazabal

· Tarikh lahir (umur): 28 November 1996 (29)

· Tempat asal: Bilbao, Sepanyol

· Tinggi: 1.87 meter

· Posisi: Bek tengah

· Kelab: Sabah FK, Azerbaijan

Ulasan Irazabal:  “Momen yang cukup unik dan mengujakan. Saya telah memilih Malaysia kerana saya percaya di sinilah letaknya tanggungjawab kebangsaan saya sebenarnya. Saya sudah mula merasai sendiri betapa istimewa dan uniknya bermain untuk Malaysia.”


JOAO FIGUEIREDO. - Kredit foto: FAM


Joao Figueiredo

· Tarikh lahir (umur): 27 Mei 1996 (29)

· Tempat asal: Sao Paulo, Brazil

· Tinggi: 1.80 meter

· Posisi: Penyerang

· Kelab: Basaksehir FK, Turkiye

Ulasan Figueiredo: “Saya mahu melangkah lebih jauh bersama skuad kebangsaan di pentas Asia. Musim ini amat bermakna bagi saya, dapat mewakili Malaysia dan berkongsi impian ini bersama-sama anda semua. Ini benar-benar satu penghormatan. Tidak sabar untuk merasai sokongan dan kecintaan para penyokong yang unik.”


RODRIGO HOLGADO. - Kredit foto: FAM


Rodrigo Holgado

· Tarikh lahir (umur): 28 Jun 1995 (30)

· Tempat asal: La Tablada, Argentina

· Tinggi: 1.80 meter

· Posisi: Penyerang

· Kelab: CD América de Cali, Colombia

Ulasan Holgado: Sejak tiba di sini, saya jatuh cinta dengan suasana dan negara ini. Sekarang saya mula faham apa maknanya bermain untuk Malaysia dan saya sedia berikan segala-galanya.”


KAPTEN negara, Matthew Davies (2) berebut bola di udara dengan pemain  Cape Verde, David Costa dalam perlawanan latihan tertutup di Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM 


Sementara itu, perlawanan latihan secara tertutup di Bukit Jalil pada 3 Jun 2024 yang juga sebagai pemanas badan terbaharu Harimau Malaya yang kini menghuni ranking ke-131 dunia, jelas berpihak kepada Cape Verde 3-0.

Dua jaringan Dailon Livramento pada minit ke-35 dan 48 serta satu oleh Heriberto Tavares, ke-55 membolehkan pasukan dari Afrika di ranking ke-72 dunia itu memenangi aksi yang dijalankan tiga fasa dengan setiap satunya, selama setengah jam.  

Pada 29 Mei 2025 lalu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, mereka terikat 1-1 dalam perlawanan antarabangsa tahap 1 dengan penyerang naturalisasi kelahiran Brazil, Paulo Josue menjaringkan gol penyamaan tuan rumah.

Perlawanan itu turut merakamkan penampilan sulung benteng kelahiran Sepanyol, Gabriel Palmero dengan status pemain warisan, manakala perantara berasal dari Belanda, Hector Hevel mencatat gol pada debutnya ketika Malaysia menewaskan Nepal 2-0 apabila membuka kempen kelayakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor tanggal 25 Mac 2025 lalu. 


FAISAL Halim (7) yang turut menyarung lilit kapten Harimau Malaya, dihambat o9leh dua pemain Cape Verde. - Kredit foto: FAM 

8
14
0
13
0
You will be interested