Seni & Sukan 02 May, 2025

Dah agak? Malaysia tersingkir Piala Sudirman! Silap besar tak tumpaskan Jepun! Diratah China 3-0!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this


SEBAIK sahaja diundi bertemu China, memang telah diduga suku akhir sahajalah destinasi skuad negara dalam saingan Piala Sudirman 2025. 

Skuad campuran kita kalah 3-0 tanpa menyambar walau seset pun daripada juara 13 kali kejohanan berpasukan campuran anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu di Gimnasium Fenghuang, Xiamen, China pada 2 Mei 2025.   

Inilah akibatnya apabila pasukan negara mensia-siakan peluang untuk menjuarai Kumpulan C dengan tewas 3-2 kepada Jepun.

Jika memenangi perlawanan penutup tirai peringkat awal itu pada 1 Mei 2025, laluan suku akhir tidaklah sesukar dan segetir berdepan China kerana menantinya ialah Taiwan.

Peluang ke separuh akhir lebih cerah atau masih 50-50 dengan sekalipun Taiwan tidaklah boleh dianggap lebih mudah.


AARON Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik dihukum dengan kekalahan tipis, sekali gus kempunan peluang menjuarai Kumpulan C Piala Sudirman sebelum giliran Pearly Tan/M. Thinaah. - Kredit foto: BAM 


Beregu campuran tuan rumah, Feng Yan Zhe/Huang Dong Ping mencalit kekalahan pertama kita dengan menewaskan gandingan yang dipisahkan beberapa minggu sebelum dirujuk balik, Chen Tang Jie/Toh Ee Wei 21-17 21-17.

Perseorangan utama lelaki, Leong Jun Hao ternyata bukan tandingan pemain nombor satu dunia, Shi Yu Qi yang memenangi perlawanan kedua 21-6, 21-14 untuk membawa China ke ambang separuh akhir.


LEONG Jun Hao membuat kejutan dengan menumbangkan bekas naib juara dunia, Kodai Naraoka dari Jepun 21-8, 13-21, 21-18 selepas sejam lapan minit, namun jelas bukan tandingan Shi Yu Qi kerana Jun Hao tersungkur hanya dalam 38 minit. - Kredit foto: BAM 


Malah tiada siapa pun mampu berharapkan K. Letshanaa mempamerkan kebangkitan apatah lagi untuk merapatkan kedudukan kepada 1-2 dalam perlawanan perseorangan wanita.

Dia persis lawan sepelatih sahaja ketika menentang juara Sukan Olimpik Tokyo 2021, Chen Yu Fei yang mengesahkan kemaraan China dengan 21-8, 21-7 atau 3-0 secara keseluruhan. 

Dengan kemenangan mutlak China itu, gandingan lelaki - Nur Izzuddin Rumsani/Goh Sze Fei dan pasangan wanita, Pearly Tan/M. Thinaah sekadar menjadi penonton tanpa menumpah setitis keringat pun.

Pearly/Thinaah menentang Liu Sheng Shu/Tan Ning pula diletakkan sebagai perlawanan penghabisan suku akhir China-Malaysia.  


K. Letshanaa cuma diberikan beraksi 32 minit di gelanggang oleh Chen Yu Fei. - Kredit foto: BAM


Justeru terpadamlah hasrat Malaysia sekurang-kurangnya untuk menyamai pencapaian separuh akhir atau pemenang tempat ketiga bersama seperti edisi 2009, 2021 dan 2023.

FeiDin (julukan mereka) yang pada mulanya dijadualkan melawan Liang Wei Keng /Wang Chang , mengambil alih posisi beregu lelaki daripada Aaron Chia/Soh Wooi Yik.

Perubahan drastik ini berikutan kekalahan tipis juara Kejohanan Badminton Asia itu yang sepatutnya memastikan kemenangan 3-1 Malaysia terhadap pasangan Jepun, Takuro Hoki/Yugo Kobayashi. 

Aaron/Wooi sebaliknya kecundang  21-12, 20-22, 21-23  sedangkan Jun Hao dan Tang Jie/Ee Wei sudah pun membentangkan laluan dengan mencatat dua kemenangan skuad negara.  


CHEN Tang Jie (kiri) dan Toh Ee Wei turut gagal sekurang-kurangnya untuk mengheret Feng Yan Zhe/Huang Dong Ping ke set penentuan dari 49 minit pertemuan suku akhir mereka. - Kredit foto: BAM 


Skuad kendalian Kenneth Jonassen, Herry Iman Pierngadi, Rosman Razak dan Nova Widianto ini wajar dianggap gagal dalam misinya apabila dijinakkan Jepun biarpun mereka sudah pun menempah tiket ke suku akhir.

Mereka hanya tampak garang ketika membuli lawan kerdil seperti Perancis 5-0 dan Australia 4-1 pada baki aksi Kumpulan C.


HERRY IMAN PIERNGADI


KENNETH JONASSEN


Kata Herry, “saya harapkan Aaron/Wooi Yik bisa memberikan mata tetapi mereka kurang beruntung dan membuat sedikit kesilapan (melawan Jepun).

“Cara permainan mereka sudah betul. Mereka kini perlukan peningkatan latihan di gimnasium supaya tenaga bertambah bagus dari sekarang.

“Kawalan bulu tangkis hadapan sudah bagus cuma kekuatan mengambil bulu tangkis di atas yang harus ditambah,” kata pengendali kelahiran Indonesia ini dalam kiriman video kepada media.  

Ulas Kenneth pula: “Dengan China, kita belajar nilai sebenar menentang sebuah pasukan yang bertaraf lebih tinggi dunia. Mereka terlalu gagah.”


 
 

NUR Izzuddin Rumsani (kiri) dan Goh Sze Fei kempunan untuk membuktikan kemampuan sebenar beregu lelaki Malaysia ekoran kemenangan mutlak China 3-0. - Kredit foto: BAM 

9
14
0
15
0
You will be interested