ABDUL Halim Kader, Thana Chaiprasit dan Boonchai Lorhpipat (belakang - lima, enam dan lapan dari kiri) bersama-sama pasukan lelaki dan wanita Thailand yang menjuarai tujuh daripada sembilan acara dipertanding pada King's Cup Ke-37, 2024 di Korat. - Kredit foto: TAT
SEKALI lagi kuasa utama, Thailand akan turut tertakluk kepada dasar larangan monopoli dan kena memilih acara tertentu sepak takraw biarpun apabila menjadi tuan rumah Sukan SEA 2025 nanti.
Bukan semua acara yang boleh disertainya seperti
mana Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 atau digelar King’s
Cup yang berakhir di sebuah pusat beli-belah di Korat pada 8 September 2024
lalu.
King’s Cup merupakan anjuran Persatuan Sepak
Takraw Thailand (TAT) namun ditauliahkan status dan pengiktirafan Kejohanan
Dunia oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) mulai 11 Disember 1992
di Khon Kaen.
‘Gading’ Si Gajah Putih seolah-olah akan ‘dikerat’ separuh oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) pula pada temasya serantau dwitahunan ke-33 yang dijadualkan dari 7 hingga 19 Disember 2025 itu.
Anehnya larangan monopoli atau main semua acara ini
tidak pula dikenakan kepada tuan-tuan rumah Sukan SEA lain seperti Kemboja
2023, Vietnam 2022, Filipina 2019 dan Kuala Lumpur 2017 serta yang terdahulu sejak
dikuatkuasakan Astaf di Laos 2009.
“Astaf tidak menolak kemungkinan melaksanakan
syarat penyertaan seperti King’s Cup di mana Thailand sendiri perlu memilih sama
ada bermain dalam antara regu atau kuadran (berempat) dan regu campuran atau
kuadran campuran.
“Dasar ini akan kekal bagi menjamin pengagihan pingat emas Sukan SEA 2025 kepada negara-negara peserta lain malah menggalakkan badan Olimpik masing-masing membiayai penampilan selain membantu mereka menikmati skim ganjaran kemenangan pingat,” kata Datuk Abdul Halim Kader.
Presiden Astaf yang juga Setiausaha Agung Istaf ini memberitahu hasil pertemuannya dengan Presiden TAT, Thana Chaiprasit; Naib Presiden TAT, Dr. Srihasak Arirachakaran; dan Pemangku Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat sempena King’s Cup di Korat.
Bagi Sukan SEA Thailand 2025, Astaf katanya telah
menyarankan 10 acara kategori lelaki dan wanita iaitu regu berpasukan, antara
regu, kuadran dan gelung di samping regu campuran serta kuadran campuran.
“Astaf akan mengkaji saranan kelayakan negara-negara
Asia Tenggara tidak lama lagi. Ada kemungkinan selepas TAT bermesyuarat dengan
Jawatankuasa Olimpik Thailand (OCT) dan badan-badan sukan lain negara tersebut
yang dijadualkan 13 September 2024.
“Saya akan mengetuai delegasi Astaf untuk menghadiri mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan Jawatankuasa Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok pada akhir Oktober atau November 2024 bagi membuat keputusan muktamad acara-acara sepak takraw dan syarat kelayakan penyertaan itu,” katanya.
GELUNG atau hoop tidak akan sesekali tercicir daripada program Sukan SEA Thailand 2025 kerana Si Gajah Putih yang mengasaskan acara ini. - Kredit foto: TAT
Ketika kali akhir Thailand menjadi tuan rumah
Sukan SEA di Korat pada 2007, mereka membolot kelapan-lapan pingat emas yang
dipertanding dalam kategori lelaki dan wanita.
Acara-acara di Dewan MCC, Korat ialah beregu,
antara regu, gelung dan regu berpasukan sedangkan Persatuan Sepak Takraw
Malaysia (PSM) memboikot temasya ke-24 itu sebagai membantah penggunaan bola
baharu bersalut getah Marathon New Generation 908.
Dasar pengagihan pingat dan larangan monopoli pingat
emas oleh negara tertentu itu kecuali tuan rumah turut dijalankan Astaf dalam
Sukan Asia mulai Guangzhou 2010 sehingga yang terkini, Hangzhou 2023 dan bakal diteruskan oleh Aichi-Nagoya 2026.
Sekalipun dikekang sebegitu, Si Gajah Putih masih
menjuarai tujuh daripada sembilan acara lelaki, wanita dan campuran yang
dipertanding dalam Divisyen Perdana King’s Cup 2024.
Tanpa tuan rumah dalam acara antara regu lelaki dan regu campuran, barulah Malaysia dan Myanmar mampu memenanginya. - KitaReporters
ABDUL Halim Kader (depan, kanan) bersama-sama Thana Chaiprasit (di sebelahnya), Boonchai Lorhpipat (dua dari kiri) dan Srihasak Arirachakaran (kiri) pada majlis perasmian Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 di Korat. - Kredit foto: TAT
PASUKAN wanita Thailand turut sukar digugat walaupun oleh pencabar utama, Vietnam dalam apa juga acara sepak takraw yang dipertandingkan dalam Sukan SEA, Sukan Asia dan King's Cup. - Kredit foto: WAS