Seni & Sukan 22 Aug, 2024

Dapat SUV Chery Tiggo! Jumlah Shakam pula digandakan! Habuan gangsa Olimpik Aaron-Wooi Yik, Zii Jia!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

AARON Chia (dua dari kiri), Hannah Yeoh, Soh Wooi Yik dan Michael Chew (kiri) bergambar di hadapan Chery Tiggo 7 Pro yang dihadiahkan oleh Chery Automobile Malaysia di Puchong, Selangor. - Kredit foto: CM


AARON Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik menaiki dan menikmati kecanggihan SUV Chery Tiggo 7 Pro hadiah buat mereka sambil diperhatikan oleh Hannah Yeoh (kanan). - Kredit foto: CM


SUDAHLAH kenderaan utiliti sukan (SUV) berjenama Chery Tiggo 7 Pro menjadi habuan masing-masing, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dijamukan pula berita gembira oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada 22 Ogos 2024.

Beregu badminton pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu terus tersenyum lebar apabila Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) Majlis Sukan Negara (MSN) buat mereka dinaikkan sekali ganda.

Jika sebelum ini ganjaran Shakam bagi gangsa Olimpik ialah RM100,000, Aaron/Wooi Yik menerusi pengumuman Hannah itu, bakal beroleh jumlah yang sama banyak tanpa perlu berkongsi RM50,000 setiap seorang.

“Mereka benar-benar bekerja keras (untuk pingat itu). Sepatutnya dikongsi (tetapi) kedua-duanya akan dapat RM100,000 seorang.

“Olimpik berikutnya (Los Angeles 2028), saya mahukan pingat emas daripada mereka,” kata Hannah pada sidang media majlis penyerahan SUV mewah bernilai RM123,800 tajaan Cherry Automobile Malaysia itu di Puchong, Selangor.  


AARON Chia (kiri), Soh Wooi Yik, Hannah Yeoh dan Michael Chew bergambar dengan replika kunci SUV Chery Tiggo 7 Pro sumbangan Chery Automobile Malaysia di Puchong, Selangor. - Kredit foto: CM


Cherry Tiggo 7 Pro berteknologi tinggi dengan lima tempat duduk ini dilengkapi enjin Suntikan Terus Petrol Berkuasa Turbo 1.6L dan dipadankan Transmisi Dwicekam Tujuh Kelajuan (DCT) serta Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) 2.5.

Hadir sama ialah Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub; dan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh.


DUA SUV Chery Tiggo 7 Pro yang menjadi milik Aaron Chia dan Soh Wooi Yik atas kejayaan mereka mengalungkan Malaysia pingat gangsa beregu badminton Sukan Olimpik Paris 2024. 


LEE Zii Jia turut dihadiahkan SUV Chery Tiggo 7 Pro. - Kredit foto: CM


Seorang lagi pemenang pingat gangsa Olimpik Ke-33 itu, Lee Zii Jia tidak dapat hadir menerima hadiah SUV itu kerana baru selesai menyertai Terbuka Jepun di Yokohama dan dijangka ke Terbuka Korea di Seoul.

Perseorangan badminton negara itu kata Hannah, turut akan beroleh RM100,000 menerusi Shakam di samping pembayaran balik perbelanjaan persediaannya sebanyak RM100,000 selain geran awal RM50,000.

Ketiga-tiga pemenang gangsa Olimpik Paris ini juga dijamin dengan Skim Imbuhan Tetap Olimpik (SITO) atau berupa imbuhan secara bulanan mulai September 2024 iaitu RM2,000 seorang seumur hidup.  


KENNY Goh (kiri), Michael Chew, Aaron Chia, Hannah Yeoh, Soh Wooi Yik dan Abdul Rashid Yaakub bergambar pada majlis penyerahan hadiah SUV Chery Tiggo 7 Pro tajaan Chery Automobile Malaysia di Puchong, Selangor. - Kredit foto: CM   


Mengulas perlawanan akhir Piala FA Ke-34 antara juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dan Selangor FC pada 24 Ogos 2024, kata Hannah, “saya berharap cuaca bagus, tidak hujan (supaya) perlawanan berjalan dengan lancar.

“Saya juga berharap semua penonton (di Stadium Nasional, Bukit Jalil) akan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi,” katanya yang tidak dapat menghadirinya kerana perlu berada pada majlis penutupan rasmi Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21 di Kuching, Sarawak. - KitaReporters

 

 


 

7
18
0
8
0
You will be interested