THAMARAJ Vasudevan menayangkan pingat emas selaku juara Kelas Bebas 2 Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-20 di Abu Dhabi. Kiri ialah pesilat Uzbekistan, Khudoyberdiev Diyorbek. - Kredit foto: MSN
SATU sejarah baharu sukan silat Malaysia terukir kukuh di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi (ADNEC), Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Thamaraj Vasudevan membuktikan tiada sempadan warna kulit atau
bangsa untuk dia turut mengalungi negara, pingat emas Kejuaraan Pencak Silat
Dunia Ke-20 yang berlangsung dari 18 hingga 22 Disember 2024 lalu.
Pesilat tunggal Malaysia bukan Melayu ini megah menjulang Jalur Gemilang sambil menaiki podium utama kelas Bebas 2 Putera setelah menewaskan Khudoyberdiev Diyorbek dari Uzbekistan dalam pertarungan akhir.
MEGAT Zulkarnain Omardin (kanan) bersalaman dan mengucapkan tahniah kepada Thamaraj Vasudevan di ADNEC. - Kredit foto: MZO
“Sejarah tercipta di Abu Dhabi. Buat kali pertama dalam sejarah Kejuaraan Pencak Silat Dunia, pesilat Malaysia berbangsa India, Thamaraj memenangi pingat emas seterusnya menjadi juara dunia bagi Kelas Bebas Putera Silat Tanding.
“Tahniah Thamaraj,” catat Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin dalam laman sosial Facebooknya pada 23 Disember 2024, merujuk kejayaan bekas atlet taek wan do itu.
Gelaran dunia pesilat berusia 28 tahun ini turut melengkapkan koleksi enam pingat emas skuad negara di ADNEC yang menyamai pencapaian dalam kejuaraan edisi ke-19 pada 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Para juara lain silat tanding ialah Mohd. Abdul Latif Maxzakir (H Putera), Nor Farah Mazlan (A Puteri) dan Siti Shazwana Ajak (D Puteri), sementara dua lagi menerusi silat seni - Danial Azray Noorazizan/Danial Azrol Noorazizan (Ganda Putera) dan Ahmad Fauzan Hadi (Solo Kreatif Putera).
Hanya Farah, 26, yang menumpaskan Luong Thi Van (Vietnam) dalam pusingan akhir di ADNEC, mengulangi pencapaian juara seperti 2002, namun ketika itu dalam kelas berat badan yang berbeza, F Puteri.
NOR Farah Mazlan mendepakan Jalur Gemilang di podium juara Kelas A Puteri Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-20 di Abu Dhabi. - Kredit foto: MSN
Sembilan lagi pesilat negara turut bergelar naib juara di ADNEC iaitu Khairi Adib Azhar (A Putera), Firdaus Latib (Bebas 1 Putera), Nor Ainun Mokhtar (E Puteri), Ummi Mashitah Hassan (C Puteri) dan Nurshafiqah Norwan (G Puteri).
Lain-lain termasuk menerusi pesilat seni, Nur Syafiqah Hamzah (Tunggal Puteri),
Nur Shahida Sharim/Nur Sarafana
Hikma Jailani (Ganda Puteri), Siti Nur
Khairunnisa Hail/Nurhaizatul Farisha Norashid/Asma’ Mohd. Nazri (Regu Puteri)
dan Nur Inatha Khairuniyah Wira (Solo
Kreatif Puteri).
Empat pingat gangsa juga dibawa pulang pesilat-pesilat seperti Mohd. Hazim Amzad (C Putera), Khairul Shaddad Ardi (Tunggal Putera), Syafiq Ibrahim/Juned Abdullah/Sazzlan Yuga (Regu Putera) dan Nur Nabilla Hartono (H Puteri).
Tidak ketinggalan ialah sumbangan lima pingat emas Kejuaraan Pencak Silat Remaja Dunia Kelima juga di ADNEC oleh Eafzayl Adriell Eaffendy (B Putera), Raqib Darwisy Syahrizan (E Putera), Syaqil Sukri (F Putera), Ukail Darwis Shariff (L Putera) selain empat pingat perak dan empat pingat gangsa. - KitaReporters
JUARA silat seni kategori Ganda Putera Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024 yang juga pasangan kembar,Danial Azray Noorazizan dan Danial Azrol Noorazizan meraikan kejayaan sambil membaluti tubuh mereka dengan Jalur Gemilang di ADNEC. - Kredit foto: MSN
SKUAD utama negara termasuk Mohd. Abdul Latif Maxzakir, Siti Shazwana Ajak (depan, tiga dari kiri) dan Ahmad Fauzan Hadi menayangkan enam jari tanda enam pingat emas milik mereka pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-20 di ADNEC, Abu Dhabi. - Kredit foto: Pesaka