Seni & Sukan 24 Oct, 2024

Video| Aura Ernie Zakri menyerlah! Tiket konsert solo habis dijual 7 jam! Hargai sokongan peminat!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this


Jika tiket 'Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza' habis disapu licin dalam tempoh dua jam selepas ia dibuka untuk pembelian secara dalam talian, penyanyi berbakat besar, Ernie Zakri  turut membuktikan popularitinya apabila tiket bagi konsert solonya yang dinanti-nantikan, 'Aura: Ernie Zakri Live in Concert' habis terjual dalam masa tujuh jam sahaja.

Kejayaan luar biasa ini membuktikan pemenang dua kali vokal terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 32 dan 35 serta sekali dalam persembahan vokal terbaik untuk lagu (Wanita) pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-27 ini antara artis yang paling diminati dan berbakat dalam industri muzik tanah air.

Lebih istimewa penganjuran konsert solonya itu diumumkan selepas selesai berpadu suara sebagai arti jemputan dengan vokalis popular kumpulan pop rock Amerika Syarikat, Lany iaitu Peter Klein pada Konsert Lany A Beautiful Blur: The World Tour pada bulan September 2024 lalu.

Persembahannya mendapat pujian apabila Peter Klein berkata, ‘Anda memang hebat’ sebaik mereka selesai beraksi mendendangkan lagu ‘Out of My League’ di hadapan 8,000 penonton di Axiata Arena Bukit Jalil ketika itu.



Kini, konsertnya yang bakal berlangsung pada 25 Januari 2025 di Dewan Plenary Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dijangka menjadi malam yang penuh dengan keajaiban muzik, di mana Ernie akan menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu-lagu hit dan persembahan vokal luar biasa. 

Hampir 15 tahun mengukuhkan nama dalam dunia muzik tanah air, tidak syak lagi konsert solo pertamanya di pentas berprestij bagi pemegang Ijazah Muzik dari UiTM dan Universiti Malaya ini  pasti merupakan detik ditunggu-tunggunya selama ini.

Tiket konsert yang mula dijual pada 27 September 2024 lalu mendapat sambutan yang luar biasa apabila peminat berlumba-lumba untuk mendapatkan tempat bagi menyaksikan persembahan penyanyi yang dikenali dengan kehebatan teknik vokal.



Mengulas mengenai kejayaan penjualan tiket itu, Ernie, 32, meluahkan rasa syukur dan terharu dengan sokongan padu yang diberikan oleh peminat. 

“Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih atas sokongan yang luar biasa daripada semua. Ia adalah impian saya untuk berkongsi muzik dan perjalanan karier saya melalui konsert ini. 

"Saya tak sabar untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat-peminat yang sentiasa ada di sisi saya sepanjang perjalanan ini,” kata Ernie pada majlis sidang media ‘Aura: Ernie Zakri Live in Concert’ pada 23 Oktober 2024 lalu di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Turut hadir Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim; Hermond Cheng, Pengarah Kanan, A&R dan Pengurusan Artis Universal Music dan Ketua Kanannya, Feros Sayna serta Sufi Rashid.

Ernie Zakri bergambar bersama Kim Lim (empat dari kanan), Sufi Rashid (empat dari kiri), Hermond Cheng (tiga dari kiri) dan Feros Sayna (kiri) pada majlis sidang medianya.


Menurut Ernie, bagi beliau setiap tiket yang terjual bukan sekadar nombor, tetapi perlambangan kasih sayang dan kepercayaan peminat terhadap usaha dan dedikasiya selama ini.

“Saya tak sabar untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat yang sentiasa ada di sisi saya sepanjang perjalanan ini. Setiap detik yang dilalui bersama mereka adalah kenangan yang tidak ternilai. 

"Konsert ini bukan hanya mengenai muzik, tetapi juga pengalaman, kegembiraan dan sambutan penuh emosi yang kita dapat nikmati bersama,” tambah Ernie.

Merupakan penganjuran berskala besar yang pertama jua dibawakan oleh syarikat milik penyanyi Sufi Rashid, SAH Entertainment di negara ini, 'Aura: Ernie Zakri Live in Concert' dijangka akan menyajikan satu malam eksklusif penuh magis, menampilkan pelbagai lagu hit Ernie seperti Ku Bersuara, Gundah dan Boneka serta lagu daripada album Aura.



Dengan latar belakang muzik yang penuh perasaan dan sokongan pemuzik profesional, konsert ini bakal menjadi satu pengalaman muzik yang tidak akan dilupakan.

Malah dengan tiket habis terjual dalam masa yang begitu singkat, ini bukan sahaja mencerminkan aura besar Ernie, tetapi juga membuktikan betapa peminat menghargai bakat luar biasa beliau. 

Penuh dengan ‘charm’ dan magnetisme, Ernie juga membuktikan dirinya bukan hanya sekadar penyanyi, tetapi juga seorang penghibur sepenuh masa yang mampu menarik perhatian orang ramai. 

Dalam pandangan peminat, beliau adalah satu-satunya artis yang mampu mencipta pengalaman muzik yang luar biasa, membuatkan mereka merasa lebih dekat dan terhubung dengan setiap litur nota dan melodi yang dinyanyikan. 

Dengan sokongan yang luar biasa ini, tidak hairanlah jika isteri kepada penyanyi Syamel ini terus mencipta kegemilangan dalam kerjayanya. - KitaReporters

16
7
0
15
0
You will be interested