
Hukuman itu dikaitkan dengan dakwaan pelanggaran syarat naturalisasi dan kelayakan pemain -- sesuatu yang dipandang serius oleh badan induk bola sepak dunia.
Namun, kerajaan Malaysia tampil mempertahan proses pemberian taraf kewarganegaraan kepada tujuh pemain terbabit dengan menegaskan semuanya dibuat mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setiap proses kelulusan telah mematuhi peruntukan dalam Perkara 19 dan Seksyen 20(1)(e) Jadual Kedua Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, Seksyen 10(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 turut diguna pakai dalam pemprosesan sijil kelahiran pemain berkenaan.
Tambahnya, semua pemain berkenaan memenuhi tiga rukun utama kewarganegaraan iaitu tempoh bermastautin, berkelakuan baik, serta mempunyai pengetahuan mencukupi dalam bahasa Melayu.
Malah beliau mengakui menggunakan kuasa budi bicara menteri yang termaktub dalam Perlembagaan, iaitu untuk menganggap pemohon memenuhi tempoh bermastautin meskipun baru sehari berada di Malaysia.

Kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa isu kelayakan di mata kerajaan adalah jelas dan sah, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada FIFA mempunyai ruang untuk mencabar tafsiran undang-undang negara berdaulat.
FIFA bagaimanapun melihat isu berkenaan dari perspektif berbeza -- iaitu kelayakan pemain mewakili negara, bukan semata-mata status kewarganegaraan.
Badan induk dunia itu mensyaratkan pemain naturalisasi perlu memenuhi tempoh bermastautin minimum lima tahun selepas usia 18 tahun, melainkan ada faktor keturunan jelas yang menghubungkan mereka dengan negara berkenaan.
Di sinilah konflik timbul. Walaupun sah di sisi undang-undang Malaysia, FIFA mempunyai tafsiran tersendiri berkaitan syarat 'eligibility' (kelayakan) yang lebih ketat.
Dari sudut undang-undang antarabangsa, FIFA tidak boleh mengubah keputusan kewarganegaraan sebuah negara, tetapi mereka berhak menentukan syarat kelayakan pemain untuk beraksi dalam kejohanan rasmi.
Maka, peluang FAM untuk menang dalam rayuan sebenarnya bergantung pada sejauh mana mereka boleh membuktikan proses naturalisasi ini selari dengan Artikel 7 Statut FIFA dan peraturan kelayakan pemain antarabangsa.

Setakat ini, FAM menegaskan mereka mempunyai asas kukuh untuk mempertahan diri, sambil menolak dakwaan FIFA bahawa dokumen dan proses pemain berkenaan meragukan.
Bagi kerajaan, peranan mereka tamat setakat pemberian taraf kewarganegaraan. Soal kelayakan sukan antarabangsa bukan di bawah bidang kuasa kerajaan, sebaliknya tanggungjawab FAM.
Situasi ini menunjukkan wujudnya dua jalur undang-undang yang berbeza -- undang-undang negara (citizenship atau kewarganegaraan) dan peraturan FIFA (eligibility atau kelayakan).
Sekiranya FAM berjaya berhujah bahawa pengecualian menteri sah dari segi undang-undang negara harus diterima pakai, peluang mereka untuk menang mungkin cerah.
Namun, realitinya FIFA jarang berundur apabila melibatkan isu 'eligibility' kerana ia boleh membuka pintu kepada manipulasi sistem naturalisasi di seluruh dunia.
Dari sudut imej, kontroversi itu memberi kesan besar kepada reputasi FAM dan Harimau Malaya, apatah lagi ketika Malaysia berusaha memperkukuh kedudukan dalam ranking FIFA.
Jika rayuan gagal, FAM bukan sahaja perlu menanggung denda jutaan ringgit, malah tujuh pemain tersebut mungkin hilang kelayakan untuk mewakili negara.

Keadaan berkenaan akan merencatkan persiapan pasukan menjelang kempen antarabangsa, termasuk pusingan kelayakan Piala Asia 2027 dan mungkin juga kelayakan Piala Dunia 2026.
Pada masa sama, isu ini turut menimbulkan perbahasan hangat dalam kalangan peminat -- ada yang melihat kerajaan perlu lebih berhati-hati sebelum memberi kelulusan, manakala ada yang menyalahkan FIFA kerana terlalu rigid.
Penganalisis undang-undang sukan berpandangan, jalan terbaik adalah FAM mengemukakan rayuan lengkap dengan bukti dokumen, testimoni undang-undang, serta sokongan kerajaan sebagai sandaran moral.
Malaysia perlu mengelak daripada dilihat sebagai cuba memintas sistem, sebaliknya menunjukkan proses yang dijalankan adalah telus, sah dan sejajar dengan semangat peraturan FIFA.
Jadi peluang Malaysia menang tidak mustahil, tetapi bergantung kepada kebijaksanaan FAM berhujah di hadapan FIFA. Sama ada isu ini akan menjadi titik hitam atau lonjakan reformasi bola sepak negara -- hanya masa dan keputusan rayuan yang bakal menentukan.

Dalam pada itu, Astro Arena menerusi Zulhelmi Zainal Azam menyebut bahawa penggerak revolusi Harimau Malaya, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mengambil tanggungjawab di atas keputusan FIFA tersebut.
Malah baginda yang juga pemangku Sultan Johor dan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) turut dilaporkan akan mengambil alih jawatan presiden FAM untuk melawan hukuman FIFA dan mengukuhkan segala bukti kukuh.
Pucuk pimpinan di Kelana Jaya ketika ini dipangku oleh Datuk Mohd Yusoff Mahadi selepas Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub melepaskan jawatan pada Ogos 2025. - KitaReporters