
SKUAD negara dengan Piala Raja Thailand yang dipegang Raziman Hassan (berdiri, empat dari kanan) manakala Wan Najib Wan Mamat (berdiri, tiga dari kiri) dan Haris Abdul Rahman serta penolong jurulatih, Yunus Ibrahim (depan, kiri dan kanan). - Kredit foto: infotakraw.com
DEMI maruah Malaysia dan sukan pusaka bangsa Melayu, 12 pemuda menghadam segala ranjau yang ditampilkan oleh Thailand ‘A’ mahupun ribuan penyokongnya sejak saingan Kumpulan A hingga perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thailand 1988.
Diperisakan juga taktik mengejek-ngejek dan menyakat oleh pemain tuan rumah setiap kali meraih mata sebagai senjata perang saraf mereka, ternyata bukan calang-calang pasukan negara yang dapat menyerapnya.
Apatah lagi bukan main berlagaknya Thailand setelah menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Sedunia MAS-Utusan Malaysia-RTM Pertama dengan menumpaskan Malaysia B (Azman Ismail, Sha’ari Hashim dan Abd. Malik Samsudin) 15-3, 15-12 dalam final di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 7 Disember 1988.
Dibarakan dendam kesumat itu, skuad kendalian Haris Abdul Rahman mentransformasikannya kepada sumber semangat juang yang kental untuk menumbangkan Si Gajah Putih 2-0 di halamannya pula, Stadium Huamark, Bangkok tanggal 12 Disember 1988.
Habuannya cukup berprestij - Piala Raja Thailand atau popular digelar King’s Cup dalam edisi kelima pertandingan berpasukannya iaitu milik Malaysia kali kedua selepas tim bimbingan Hassan Sulaiman mencipta sejarah merampasnya pada 11 Mei 1985, juga di ibu kota Thailand itu.

PINGAT juara King's Cup 1988 yang menjadi milik 12 pemain Malaysia. - Kredit foto: infotakraw.com
Barisan wira negara pimpinan Noor Rani Adnan ini turut dibarisi Azman, Nordin Sabarudin, Mohd. Noor Abdullah (tekong), Engku Halim Ku Musa, Raziman Hassan, Sha’ari, Rehan Mohamad Din, Yusof Chik, Baharum Jahar (perejam), Malik dan Rosli Rahman (pengumpan).
Haris nekad menyusun regu ranking 2-1-3 dengan Rani, Ku Halim dan Raziman membuat kejutan apabila menjinakkan regu utama Thailand - Pakdee Dangwattanapaibul, Chow Sompong dan Wisut Boomsuya 15-11, 11-15, 15-9.
Azman, Rehan dan Malik kemudian memastikan kejuaraan buat Malaysia dengan membenam gandingan juara regu Kejohanan Sedunia MAS-Utusan Malaysia-RTM - Surat Na Chiangmai, Virach Phomuang dan Suthon Kamkadwong 15-9, 15-4.
Hanya Azman, Rani dan Raziman yang dikekalkan daripada skuad juara 1985.
Menjelang kehadiran Kejohanan Sepak Takraw Dunia Istaf Piala Raja Thailand Ke-38 di Hatyai, Songkhla pada 22 hingga 27 Julai 2025 ini, KitaReporters mempelawa seorang apit kanannya, Sha’ari menyorot semula nostalgia manis pencapaian yang belum dapat ditandingi generasi pemain selepasnya.

WAJAH terkini Sha'ari Hashim dengan tanjak persis pahlawan silam Melayu.

SKUAD negara juara King's Cup 1988, berdiri (dari kiri), Baharum Jahar, Rehan Mohamad Din, Sha'ari Hashim, Azman Ismail, Haris Abdul Rahman, Noor Rani Adnan, Raziman Hassan dan Engku Halim Ku Musa. Depan (dari kiri), Nordin Sabarudin, Mohd. Noor Abdullah, Abd. Malik Samsudin, Yusof Chik dan Rosli Rahman. - Kredit foto: infotakraw.com
“Sejak 1987 lagi, kami merangka pendekatan baharu yang memantapkan pasukan. Masing-masing bersaing hebat demi kejayaan dan keseimbangan ketiga-tiga regu dan pada 1988, komitmen, tumpuan dan kejituannya terhasil.
“Joker atau pemain gantian turut kena diperkuat sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya pemain utama tidak menjadi. Malah yang baru masuk ini, betul-betul dipersiap untuk hanya meraih mata.
“Tiada siapa boleh mendabik dada dialah wira atau primadona. Semangat sepasukan sentiasa jadi keutamaan dan pegangan. Maka sekuat mana pun perang saraf lawan dan penyokongnya, tetap mampu kami tangani,” kata pembawa Jalur Gemilang pada Sukan SEA Manila 1991 ini yang juga pemenang pingat emas acara berpasukan sepak takrawnya.
Seyogia diingatkan bahawa sepak takraw era ini masih menggunakan sistem kiraan 15 mata servis berpindah tuan dengan mata hanya berganjak sekiranya pasukan berkenaan turut memiliki servis yang tidak seperti sekarang, hanya melalui kesilapan lawan pun, mata sudah boleh bertambah.
“Ketika itu, kami kena bekerja keras untuk mengutip mata sambil memegang atau merampas servis terlebih dulu. Zaman sekarang pemain hanya tidur pun tunggu lawan silap (walau tanpa servis), sudah terus bermata,” kata Sha’ari, 63.

KERATAN akhbar Utusan Malaysia 15 Disember 1988 yang meliputi kepulangan skuad negara di Subang sebagai juara Piala Raja Thailand 1988 dengan kenyataan Kamalul Ariffin Abd. Rahim mengenai ganjaran kejayaan mereka pada perenggan kedua.
Ditanya adakah ganjaran khususnya daripada Majlis Sukan Negara (MSN) mahupun Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) atas kejayaan hebat dan bersejarah di Bangkok itu, ringkas jawab pemenang pingat emas Sukan Asia Beijing 1990 dan Sukan SEA Singapura 1993 ini: “Tiada.”
Sedangkan laporan akhbar Utusan Malaysia siaran 15 Disember 1988 memetik kata Ketua Pengarah MSN ketika itu, Kamalul Ariffin Abd. Rahim (Datuk) yang baru sahaja dilantik pada 16 Jun 1988: “Mereka berhak menerima apa sahaja dari negara.”
Beliau turut hadir menyambut kepulangan skuad juara King’s Cup 1988 bersama-sama pengurus pasukan, Wan Najib Wan Mamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Selangor (kini Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah - LTSAAS). -KitaReporters

AKSI Sha'ari Hashim (kanan) yang cuba menampan rejaman gulung Virach Phomuang. Malaysia B memenangi perlawanan Kumpulan A Kejohanan Sepak Takraw Sedunia MAS-Utusan Malaysia-RTM pada 5 Disember 1988 ini, 16-17, 15-7, 18-17 di Stadium Negara. - Kredit foto: UM