Seni & Sukan 20 Aug, 2025

Aspirasi Tangkis 2030! Sasar julang Piala Thomas, emas Olimpik, pemain #1! Zafrul lantik Chong Wei!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan pelan strategik Tangkis 2030 yang sarat dengan aspirasi besar. Visi yang diketengahkan cukup jelas – menjulang Piala Thomas 2026, pingat emas pertama pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan melahirkan pemain nombor satu dunia dalam sekurang-kurangnya tiga kategori menjelang 2030. - KitaReporters

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (tiga kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Bukit Kiara. - Kredit foto Bernama. 


ARENA badminton negara memasuki fasa baharu apabila Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan pelan strategik Tangkis 2030 yang sarat dengan aspirasi besar.
Visi yang diketengahkan cukup jelas – mengembalikan kegemilangan dengan menjulang Piala Thomas 2026, memecah kebuntuan pingat emas pertama pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028) dan melahirkan pemain nombor satu dunia dalam sekurang-kurangnya tiga kategori menjelang 2030.
Bagi memastikan pelan ini bukan sekadar retorik, Tengku Zafrul membuat langkah drastik dengan melantik empat Ahli Majlis baharu yang diyakini mampu menyumbang kepakaran masing-masing.

Lee Chong Wei


Nama paling mencuri perhatian pastinya legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei yang kembali secara rasmi ke BAM selepas bersara.
Chong Wei diberikan mandat khas membantu pembangunan pemain – bidang yang cukup dekat dengan pengalaman beliau sebagai bekas pemain nombor satu dunia.
Tengku Zafrul memberitahu bahawa suara Chong Wei akan memberi nilai tambah besar kerana datang daripada pengalaman sebenar, bukan teori di atas kertas.
"Kita mempunyai kuota untuk melantik lima ahli majlis daripada kalangan bukan wakil negeri. Jadi saya memberikan empat nama. Pertama, yang tidak perlu diperkenal lagi, Datuk Seri Lee Chong Wei," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Sabtu 16 Ogos 2025.

Gooi Hoe Soon


Turut menyertai barisan baharu ini ialah Tan Sri Gooi Hoe Soon, tokoh kewangan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Hoe Soon dijangka membantu BAM dari segi kestabilan kewangan, memastikan penajaan dan dana pembangunan lebih mampan untuk jangka panjang.
Dari segi penjenamaan dan media, BAM menerima suntikan baharu dengan kehadiran Datuk Seri Shazalli Ramly, bekas CEO NTV7 yang berpengalaman luas dalam dunia penyiaran.
Shazalli diyakini mampu memodenkan strategi komunikasi dan menjadikan badminton Malaysia lebih dekat dengan peminat era digital.
Aspek perundangan pula diperkukuh dengan penyertaan Datuk Sunil Abraham, seorang peguam berpengalaman yang boleh memastikan BAM lebih telus dan profesional dalam pentadbiran.
Gabungan ini dilihat unik – seorang legenda gelanggang, seorang pakar kewangan, seorang maestro media, dan seorang peguam tersohor, semuanya bergabung untuk satu tujuan: mengangkat martabat badminton negara.

Shazalli Ramly


Bagaimanapun misi yang digariskan bukan mudah. Sasaran pertama ialah Piala Thomas 2026 – walaupun realistik, menuntut kerja keras berlapis.

Malaysia pernah mengecap manisnya menjulang trofi tersebut pada tahun 1992, tetapi sejak itu saingan daripada China, Jepun, Denmark dan kini India makin sengit.
Negara memiliki beregu lelaki elit seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tetapi untuk menang, kita perlukan barisan perseorangan yang konsisten dan mampu menghadapi tekanan peringkat akhir.
Langkah relevan yang boleh diambil ialah mewujudkan sistem 'shadow team – satu skuad kedua yang sentiasa bersedia menggantikan pemain utama jika berlaku kecederaan atau prestasi menurun.
Bagi menggapai pingat emas Olimpik 2028 pula, cabarannya lebih getir kerana Malaysia sering bergantung kepada satu atau dua jaguh.
Justeru bagi mengurangkan risiko, BAM boleh memperkenal program 'double insurance' – melatih sekurang-kurangnya dua pasangan atau pemain utama dalam setiap kategori, agar peluang tidak terhenti pada seorang sahaja.
Selain itu, persediaan ke Olimpik mesti bermula dari sekarang dengan perancangan empat tahun: pendedahan di kejohanan Siri Dunia, latihan di luar negara serta kem khas menjelang temasya.
Sasaran untuk memiliki pemain nombor satu dunia dalam tiga kategori pula amat mencabar. Ketika ini hanya beregu lelaki dan wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang berstatus kedua dunia hampir ke tahap itu, manakala kategori lain jauh ketinggalan.
Langkah realistik ialah mengenal pasti lima pemain remaja berbakat dalam setiap kategori dan menyediakan laluan jelas dari peringkat junior ke senior tanpa terputus.

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (tiga kiri) menerima replika kunci kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz sebagai simbolik penyerahan kepada BAM yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Jualan Perodua, Datuk J H Rozman Jaafar (tiga dari kanan) pada Mesyuarat Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Bukit Kiara pada Sabtu 16 Ogos. - Kredit foto Bernama. 

Akademi Badminton Malaysia (ABM) juga perlu diperkuatkan dengan sistem merit yang jelas, supaya hanya pemain konsisten diberi laluan ke pentas antarabangsa.

Dari sudut kejurulatihan, Malaysia mesti lebih berani membawa masuk jurulatih antarabangsa bertaraf dunia secara kontrak jangka sederhana untuk menutup jurang ilmu.
'Sparring camp' berkala dengan kuasa besar seperti China, Jepun, Denmark atau Korea Selatan boleh menjadi medan praktikal meningkatkan tahap kompetitif pemain.
Sains sukan juga wajar dijadikan tunjang – dari pemakanan, pemulihan kecederaan, analitik data hingga psikologi prestasi. Pemain kita mesti bersedia fizikal dan mental setara negara gergasi.
Di sinilah peranan Chong Wei boleh diperluas – beliau boleh memimpin program mentor-mentee bagi melatih aspek mental juara, kerana beliau sendiri pernah melalui detik getir final Olimpik tiga kali.
Darisudut kewangan, BAM mesti mewujudkan satu Dana Badminton Nasional dengan sokongan korporat dan penaja, agar tidak bergantung 100 peratus kepada geran kerajaan.
Langkah lain yang relevan ialah menghidupkan semula kempen badminton nasional – jelajah ke universiti, sekolah, daerah dan negeri, agar badminton terus menjadi sukan nombor satu pilihan bakat muda.
Jika semua cadangan ini diterjemahkan dengan konsisten, gabungan pengalaman Chong Wei, kepakaran Hoe Soon, kreativiti Shazalli dan ketelitian Sunil, ditambah kesungguhan BAM, maka pelan Tangkis 2030 bukan mustahil menjadi kenyataan – menggapai Piala Thomas, emas Olimpik, dan status kuasa besar badminton dunia semula. - KitaReporters
9
9
0
12
0
You will be interested