Pemain sayap lincah Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Arif Aiman Hanafi mencatat sejarah apabila tersenarai tiga calon utama anugerah berprestij AFC Player of The Year (Pemain Terbaik Tahun Ini AFC) yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi pada 16 Oktober 2025 depan.


Arif Aiman Hanafi (no.12) cuba melepasi kepungan tiga pemain Cape Verde ketika perlawanan persahabatan antar Harimau Malaya dengan Cape Verde. - Kredit foto: TVS.
Pencalonan anak muda berusia 23 tahun tersebut bukan sekadar kejayaan peribadi malah turut menjadi lambang kebanggaan buat seluruh keluarga bola sepak Malaysia yang sekian lama dahagakan pengiktirafan di pentas tertinggi Asia.
Arif bakal bersaing dengan dua nama besar Asia yang sudah masak dengan sorotan antarabangsaia iaitu Akram Afif, pemenang Kasut Emas Piala Asia 2023 yang menjadi tonggak Al-Sadd dan Qatar, serta Salem Al-Dawsari, bintang Arab Saudi yang sinonim dengan kelab gergasi Al-Hilal.
Fakta bahawa Arif muncul sebagai pemain Malaysia pertama menerima pencalonan ini daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sudah cukup untuk mengangkat martabat bola sepak negara sekali gus membuktikan bahawa Malaysia tidak lagi sekadar pemerhati di gelanggang Asia.

Penyerang berbisa Qatar dan Al-Sadd, Akram Afif, menjadi pencabar Arif Aiman yang turut berpeluang mengondol anugerah AFF Player of The Year 2025. - Kredit foto: Qatar News Agensi.

Bintang Arab Saudi dan Al-Hilal, Salem Al-Dawsari antara pencabar Arif Aiman dalam perebutan anugerah AFC Player of The Year 2025. -Kredit foto : Saudi League.com.
Musim 2024-2025 menyaksikan Arif menjadi watak penting dalam kejayaan JDT di mana dia bukan sahaja meledak lima jaringan dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite, malah turut membantu Harimau Selatan merangkul empat kejuaraan domestik.
Rekod keseluruhan sepanjang musim lalu itu cukup mengagumkan.
Dalam 42 penampilan, Arif mencatat 18 gol dan 14 bantuan jaringan, angka yang menjadikannya antara pemain paling produktif di rantau ini.
Musim 2025-2026 ini pula belum pun separuh perjalanan, tetapi Arif sudah mengukuhkan reputasi dengan lima gol serta 10 bantuan jaringan dalam hanya sembilan perlawanan. Statistik ini memberi bayangan jelas mengapa namanya kini sebaris bintang Asia lain.

Kepantasan serta kemampuan Arif mengawal bola dengan baik sering mendatangkan masalah kepada pemain lawan. -Kredit foto : Utusan Burneo.
Sejarah bola sepak Malaysia jarang menyaksikan pengiktirafan setinggi ini.
Pada era 80-an, Zainal Abidin Hassan pernah disenaraikan dalam Asian All Star pada 1982 dan 1985, tetapi selepas itu nama Malaysia agak tenggelam di pentas Asia.
Dalam tempoh lebih tiga dekad, hanya Mohd. Faiz Subri yang berjaya menggegarkan dunia apabila memenangi Anugerah Puskás FIFA 2017 di Zurich menerusi jaringan luar biasa yang dikenang sehingga kini.
Kini giliran Arif pula untuk membawa bendera Malaysia ke persada antarabangsa.
Jika berjaya meraih gelaran AFC Player of The Year, ia bakal menjadi detik bersejarah yang mengubah persepsi dunia terhadap kualiti pemain tempatan.

Arif Aiman mencabar pemain Indonesia ketika mewakili negara di kejohanan AFF Suzuki Cup 2020. Kredit foto : -Facebook AFF Suzuki Cup.
Penganalisis bola sepak tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli menganggap pencalonan ini sebagai pintu baharu buat pencari bakat melihat Malaysia sebagai detinasi baharu.
“Jika Arif menang, impaknya tentu lebih besar kepada imej JDT yang akan lebih mashyur. Secara tidak langsung, nama Malaysia juga akan mendapat perhatian Asia dan dunia,” katanya.
Arif bukan bintang segera sebaliknya bakatnya digilap sejak remaja di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), sebelum berpindah ke Akademi JDT pada penghujung 2018.
Dua tahun kemudian, dia membuat debut bersama pasukan utama JDT pada 14 Mac 2020 menentang Felda United dalam saingan Liga Super. Sejak itu, langkah kecemerlangannya tidak pernah terhenti.

Kepantasan Arif Aiman sukar dicabar pemain pertahanan Penang ketika pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super yang menyaksikan JDT menang 6-0. - Kredit foto: The Sun.
Kehebatannya turut diiktiraf di pentas domestik apabila beliau memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) empat kali berturut-turut, sesuatu yang belum pernah dicapai pemain lain pada usianya.
Arif juga meninggalkan jejak di peringkat antarabangsa. Debut bersama skuad kebangsaan tiba ketika Malaysia menentang Kuwait dalam perlawanan peesahabatan pada 23 Mei 2021, ketika usianya baru 19 tahun 19 hari.
Pengalaman demi pengalaman membentuknya menjadi pemain matang yang kini mampu menggalas harapan seluruh negara. Dari skuad muda hingga pentas Asia, perjalanan Arif adalah kisah inspirasi buat generasi akan datang.
Bagi ribuan penyokong, pencalonan ini sudah cukup membuatkan dada mereka tegak. Namun harapan tetap besar agar Arif benar-benar mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama yang meraih AFC Player of The Year.
Pada 16 Oktober 2025 nanti, tumpuan bola sepak Asia akan terarah ke Riyadh. Dan di tengah-tengah pentas gemilang itu, seorang anak muda dari Pahang berpeluang menulis lembaran baharu dalam sejarah bola sepak Malaysia. - KitaReporters

Aksi lincah Arif Aiman ketika beraksi mewakili Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super tahun lepas. - Kredit foto: Majoriti.

Kelincahan Arif Aiman menyukarkan pemain KL City ketika pertembungan kedua-dua paasukan dalam saingan Liga Super. - Kredit foto: Utusan Burneo.