Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, bakal mencipta satu lagi detik bersejarah menerusi konsert berskala mega 'Legacy 30 Siti Nurhaliza', yang bukan sekadar meraikan tiga dekad perjalanan seni beliau, malah menjadi tanda aras keupayaan artis tempatan menganjurkan persembahan bertaraf dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut Siti, konsert yang bakal dilangsungkan pada 10 Januari 2026 iaitu sehari sebelum ulang tahun kelahirannyya yang ke-47 itu menampilkan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik, diiringi hampir 45 pemuzik orkestra, sekali gus menjadikannya antara persembahan paling besar pernah dianjurkan oleh artis tempatan.
“Ia sememangnya sebuah produksi berskala besar, lengkap dengan pelbagai elemen kejutan,” kata Siti ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza' di Menara Kuala Lumpur pada 24 Disember 2025.
Walaupun konsert berkenaan telah diumumkan sejak dua bulan lalu, Siti menjelaskan pertemuan khas yang diadakan bertujuan menghargai semua penaja, rakan kerjasama, pasukan produksi dan individu yang sentiasa berdiri bersamanya sepanjang 30 tahun kerjaya seni.

Siti bersama Umairah dan pengarah muziknya, Aubrey Suwito malah ketika tampil bersama Umairah, kedengaran tetamu yang hadir berkata, 'samalah' mengenai nyanyian dan penampilan Umairah dan Siti. - Kredit foto: FAS.
Menurut Siti, penganjuran konsert ini bukan bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana artis antarabangsa, sebaliknya sebagai pembuktian bahawa artis tempatan juga mampu menjayakan konsert di Stadium Nasional dengan sasaran kehadiran seramai 63,000 penonton.
“Saya meletakkan ini sebagai tanda aras kepada kejayaan sendiri. Ia bukan soal bertanding, tetapi untuk menunjukkan bahawa artis tempatan juga mampu melakukan persembahan sebesar Stadium Nasional.
"Fokus saya adalah mencipta semula kenangan indah bersama peminat dan meraikan 30 tahun saya dalam industri muzik,” tambahnya
Siti turut meluahkan rasa bangga terhadap pemuzik tempatan yang menurutnya setanding dengan standard antarabangsa, malah sering menjadi pilihan artis luar ketika membuat persembahan di Asia.
“Saya telah bekerja hampir di seluruh dunia dan saya boleh katakan pemuzik tempatan kita berada pada tahap yang sama dengan standard antarabangsa.
"Malah, seringkali artis antarabangsa yang datang ke Asia juga membawa masuk pemuzik dari Malaysia. Sebab itu saya bangga menggunakan ensemble tempatan dan orkestra bertaraf dunia,” ujar Siti atau mesra disapa Tok Ti.

Siti turut menghiburan para tetamunya dengan lagu, 'Menamakanmu Cinta'.
Dari segi persiapan, Siti memaklumkan beliau telah menjalani latihan lebih sebulan melibatkan aspek tarian, kecergasan fizikal dan vokal, manakala latihan bersama orkestra turut dijalankan secara intensif.
“Paling penting bagi saya adalah menjaga kesihatan dan vokal. Setiap persembahan perlu berada pada tahap terbaik kerana jika tidak mencapai standard, saya sendiri yang akan menanggung akibatnya,” jelasnya.
Konsert berkenaan bakal menampilkan lagu-lagu yang menjadi saksi perjalanan hidupnya sepanjang tiga dekad, disusun semula dengan pendekatan segar, berjiwa dan penuh emosi, disokong pasukan kreatif serta artis undangan bagi menjadikannya sebuah persembahan berskala besar dan bermakna.
Mengulas pemilihan empat penyanyi undangannya iaitu Cakra Khan, Hafiz Suip, Noh Salleh serta anak saudaranya, Umairah, Siti menjelaskan keputusan itu bukan dibuat secara rawak, sebaliknya berdasarkan hubungan muzik dan perjalanan kerjaya yang signifikan dalam kehidupan seninya.
Setiap daripada mereka pernah jelasnya, terlibat secara langsung dalam fasa penting perjalanan muziknya, sekali gus menjadikan kolaborasi ini lebih bermakna.

Ketiga-tiga artis undangan yang tidak dapat hadir - Hafiz Suip, Noh Salleh dan Cakra Khan - memberikan ucapan ringkas mereka melalui rakaman video yang ditayangkan.
"Chakra dan Hafiz pernah berduet dengan saya sebelum ini, Umairah pula terlibat dalam album terbaharu saya 'Gema Bumantara' dan kehadirannya melambangkan kesinambungan generasi baharu dalam perjalanan muzik saya.
"Manakala Noh saya pilih kerana energinya yang luar biasa setiap kali kami beraksi bersama. Kali ini, Noh akan mengikut susunan muzik saya, jadi tetap ada elemen kejutan.”
Secara keseluruhan, keempat-empat artis ini dipilih bagi meraikan kolaborasi yang telah terjalin, di samping memberi nafas segar kepada muzik yang dibawakan oleh Siti sepanjang 30 tahun dalam industri.
“Menariknya, mereka akan menyampaikan lagu-lagu popular saya, sama ada secara duet atau persembahan solo, termasuk lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan sebelum ini,” tambah Siti.
Beliau turut menyifatkan keseluruhan konsert ini sebagai satu penghormatan tidak langsung kepada tokoh-tokoh penting yang membentuk perjalanan muziknya.
“Setiap lagu yang saya nyanyikan adalah tribute secara tidak langsung kepada arwah Datuk Adnan Abu Hassan dan Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain).
"Karya-karya mereka adalah masterpiece yang menjadikan lagu-lagu saya seperti hari ini. Kali ini, tribute itu disatukan dalam pemilihan lagu, bukan satu segmen khas,” jelas Tok Ti.

Selain meraikan legasi sendiri, Siti berharap konsert ini dapat membuka mata pihak industri, swasta dan kerajaan untuk terus menyokong artis tempatan, khususnya bakat muda yang masih belum diberi peluang sepenuhnya.
“Saya bertuah kerana mempunyai sokongan penaja sejak tahun 2000. Harapan saya, lebih banyak dana dan kepercayaan diberikan kepada artis tempatan kerana mereka ada kualiti luar biasa.
"Jika kita mahu menghasilkan konsert hebat dengan teknologi laser dan elemen visual bertaraf dunia, ia sebenarnya mampu dilakukan asalkan ada sokongan dana,” tambah Siti.
Mengakhiri bicara, Siti menegaskan bahawa Legacy 30 adalah hadiah istimewa buat peminat yang setia mengiringi perjalanan seninya selama tiga dekad.
“Saya amat teruja dan tidak sabar menantikan Legacy 30 Siti Nurhaliza kerana konsert ini dirancang dengan standard yang sangat tinggi.
"Matlamat kami adalah untuk mempersembah sebuah konsert yang setaraf antarabangsa, dari segi kualiti bunyi, visual, susunan muzik, hingga pengalaman keseluruhan penonton.
“Saya mahu semua orang datang, menikmati persembahan dengan selesa, dapat melihat dan merasai muzik saya.
"Kita raikan 30 tahun ini bersama. Lepas ini, insya-Allah, akan ada lagi,” ujarnya sambil menyifatkan apa yang dilakukannya adalah untuk industri muzik Malaysia bagi membuktikan bahawa ‘kita juga mampu menghasilkan penganjuran yang berkualiti.


Siti tidak ketinggalan menyampaikan sijil penghargaan kepada kesemua penaja yang menyokong Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza.
Tiket konsert telah mula dijual sejak 1 Oktober 2025 dan penganjur menjangkakan kehadiran lebih kurang 60,000 penonton bagi menyaksikan persembahan yang disifatkan sebagai antara konsert terbesar dan paling berimpak dalam sejarah hiburan tanah air. - KitaReporters