BAGAIKAN hilang kata-kata menyaksikan skuad muda negara menjadi mangsa belasahan Jepun dalam aksi kelayakan Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20) Wanita 2026 pada 8 Ogos 2025. Pasukan negara diganyang 16-0 tanpa belas ihsan oleh skuad dari negara Matahari Terbit itu dalam aksi kedua Kumpulan F di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - KitaReporters

Skuad B-20 wanita negara perlu mengambil pengajaran berguna di atas kekalahan memalukan kepada Jepun.
BAGAIKAN hilang kata-kata menyaksikan skuad muda negara menjadi mangsa belasahan Jepun dalam aksi kelayakan Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20) Wanita 2026 pada Jumaat, 8 Ogos 2025.
Pasukan negara diganyang 16-0 tanpa belas ihsan oleh skuad dari negara Matahari Terbit itu dalam aksi kedua Kumpulan F di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kekalahan itu bukan sekadar angka di papan skor, tetapi gambaran jurang pembangunan bola sepak wanita yang masih terlalu besar di Asia, khususnya antara Malaysia dan negara kuasa besar seperti Jepun.
Jurulatih skuad B-20 negara, Cameron Ng mengakui kualiti Jepun yang 'jauh lebih tinggi' menjadi faktor utama.
“Kalau tengok perlawanan, anda sendiri boleh agak apa yang berlaku. Hari ini (Jumaat) ibarat gadis lawan wanita,” ujar beliau merumuskan betapa perbezaan fizikal, teknikal dan pengalaman memberi impak besar sepanjang 90 minit permainan.
Jepun hadir sebagai pasukan profesional yang dibentuk melalui sistem pembangunan terancang sejak pada peringkat sekolah rendah, manakala Malaysia masih bertatih dengan struktur pembangunan formal yang baru bermula secara serius selepas 2018.
Sejak 1980-an, Jepun sudah membina ekosistem kompetitif melalui liga sekolah, universiti, Liga Nadeshiko dan kini Liga WE (Women Empowerment) profesional sepenuhnya.
Malaysia pula hanya memiliki Liga Wanita Nasional (LWN) dan Liga Puteri yang kitarannya pendek dan liputannya pula terhad.
Perbezaan paling ketara ialah kesinambungan laluan bakat apabila Jepun memastikan setiap pemain muda melalui fasa latihan, pertandingan dan bimbingan jurulatih bertauliah AFC Pro sebelum sampai ke skuad kebangsaan.
Malaysia pula masih bergelut dengan program yang kerap terhenti akibat kekangan bajet dan peralihan pengurusan.

Situasi tersebut dapat dilihat apabila skuad negara ketinggalan 0-7 pada babak pertama menerusi jaringan Anon Tsuda (minit ke-5, 23, 29), Mao Itamura (14, 17, 33) dan Asako Furuta (45+2).
Memasuki separuh masa kedua, Jepun terus mendominasi permainan dengan menambah sembilan lagi gol melalui Furuta (45, 90+3), So Kojima (52, 58, 89), Tsuda (60), Sawa Tsuge (63) dan Yuka Kurimoto (68, 77).
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan impian Malaysia untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Asia B-20 Wanita 2026 berkecai.
"Mereka jauh lebih baik daripada kami. Jepun memang pasukan yang jauh lebih kuat daripada kami. Saya harap pemain akan mengambil ikhtibar daripada apa yang berlaku," ujar Cameron.
Dalam perlawanan itu, Malaysia cuba berpegang kepada perancangan taktikal, namun Cameron mengakui ia tidak berjaya dilaksanakan dengan baik.
Pemain gagal mengekalkan struktur bertahan dan tidak cukup berani memegang bola ketika menyerang.
Secara psikologi, Cameron juga menyebut bahawa mungkin pada awalnya pemain terlalu menghormati pasukan lawan.
Faktor tersebut membolehkan Jepun menguasai tempo dari awal, menekan pertahanan Malaysia sehingga hilang keyakinan dan kompak bertahan.
Ketahanan fizikal juga menjadi isu jelas -- pemain Malaysia mula hilang stamina selepas setengah jam, sedangkan Jepun mengekalkan intensiti dan larian agresif sehingga wisel penamat.

Chrisarellysa (kanan) berjaya melepasi kawalan pemain Jepun.
Jurang tersebut berpunca daripada perbezaan sains sukan, rejim latihan dan kemudahan yang dimiliki.
Jepun memanfaatkan teknologi analisis data, 'GPS tracking' dan statistik prestasi sejak peringkat remaja. Malaysia masih bergantung pada penilaian manual jurulatih tanpa sokongan sistematik data objektif.
Dari sudut teknikal pula, Jepun memiliki penguasaan bola yang kemas, mobiliti tinggi di kawasan serangan dan variasi formasi yang memaksa Malaysia bertahan terlalu dalam.
Malaysia pula sering kehilangan bola dalam situasi tekanan.
Cameron menyifatkan kekalahan itu sebagai 'wake-up call' buat pasukan -- isyarat bahawa jika mahu mencabar, tahap pemain dan kualiti permainan perlu dipertingkat jauh melepasi standard semasa.
"Jika betul-betul nak mencabar, kami kena jadi jauh lebih baik dan tahap pemain perlu dipertingkatkan," katanya.
Justeru daripada perspektif pembangunan, Malaysia memerlukan liga sekolah dan universiti yang kompetitif untuk wanita agar pemain muda mendapat perlawanan intensif setiap minggu, bukan sekadar kejohanan singkat.
Jurulatih tempatan wanita perlu dibangunkan secara sistematik. Jepun menghasilkan ramai jurulatih berlesen AFC Pro daripada bekas pemain kebangsaan, sedangkan Malaysia masih terhad kepada segelintir nama.
Liputan media dan sokongan penaja juga perlu diperluas untuk liga wanita tempatan kerana tanpa publisiti, sukar untuk menarik minat bakat muda dan sokongan awam.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara perlu memastikan laluan pembangunan tidak terputus dengan kelompok pemain B-12, B-15 dan B-18 harus dilatih secara konsisten sepanjang tahun, bukan bermusim.
Pendedahan antarabangsa juga menjadi langkah jangka pendek dengan menjemput kelab atau akademi Jepun, Korea Selatan atau Australia untuk kem latihan bersama dan perlawanan persahabatan berintensiti tinggi.

Hallyviana (kiri) cuba mengawal bola dalam aksi kedua Kumpulan F yang menyaksikan Malaysia tumpas 0-16 kepada Jepun.
Aspek taktikal juga tidak boleh terlepas pandang, Malaysia harus belajar bermain dengan penguasaan bola lebih baik dan berani menyerang walaupun lawan lebih kuat, supaya tidak terus-menerus berada di bawah tekanan.
Sains sukan termasuk pemakanan, latihan kekuatan dan pemulihan fizikal perlu menjadi asas latihan harian, bukan hanya fokus pada kemahiran teknikal.
Pemain juga harus diberikan bimbingan mentaliti profesional -- melatih keberanian, daya tahan dan fokus kerana faktor ini yang membezakan 'gadis lawan wanita' seperti yang disebut Cameron.
Kekalahan ini memang memalukan, tetapi ia juga peluang untuk Malaysia memulakan reformasi bola sepak wanita.
Jepun telah membuktikan bahawa kejayaan adalah hasil perancangan puluhan tahun dan Malaysia harus memulakannya sekarang jika tidak mahu jurang 0-16 ini berulang. - KitaReporters