DI SEBALIK kemelut yang sedang melanda skuad bola sepak kebangsaan ekoran kontroversi berkait pemain warisan, ada tanda positif apabila Harimau Malaya membaham Laos 5-1 pada perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, 14 Oktober 2025.

KESEBELASAN utama Harimau Malaya ketika mengalahkan Laos 5-1. - Kredit foto: BERNAMA
Ia adalah kemenangan kedua ke atas Laos dalam tempoh seminggu selepas turut mengalahkan pasukan itu 3-0 di Stadium Nasional Laos, Vientiane pada Khamis, 9 Oktober, 2025 lalu.
Berbanding kemenangan 4-0 ke atas Vietnam pada 10 Jun, 2025 lalu yang ditunjangi oleh pemain warisan dan naturalisasi (hanya kelibat Syihan Hazmi Mohamed dan Arif Aiman Hanapi dalam kesebelasan utama), pertemuan dengan Laos membuka ruang kepada pemain tempatan memperaga kemampuan mereka.
Ia ekoran penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain warisan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atas dakwaan pemalsuan dokumen menyebabkan jurulatih, Peter Cklamovski tidak mempunyai pilihan kecuali mempertaruhkan sebahagian besar pemain tempatan sebagai watak utama.
Ternyata ia pertaruhan yang membawa laba apabila pemain tempatan yang diturunkan pada kedua-dua perlawanan menentang Laos membalas kepercayaan diberikan dengan persembahan lima bintang terutama ketika membelasah lawan itu 5-1 di Bukit Jalil.

Selain kelibat Syihan, Arif Aiman, Faisal Halim, Afiq Fazail dan Shahrul Saad yang sudah teruji kemampuan mereka bersama skuad kebangsaan, penampilan pemain muda seperti Harith Haiqal Adam Akbar dan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazli membuktikan Malaysia tidak pernah ketandusan pemain tempatan berwibawa namun kebolehan mereka dibayangi kehadiran ramai pemain warisan.
Ternyata ada hikmah di sebalik musibah yang menimpa Harimau Malaya ekoran penggantungan pemain warisan itu. Ia membuka ruang kepada kepada pemain tempatan menonjolkan bakat mereka. Kalau tidak, sudah pasti mereka sekadar menjadi nasi tambah dalam skuad kebangsaan kerana ketabsuban sesetengah pihak ke atas 'orang luar' demi mencapai misi revolusi.
Mungkin ada beranggapan, kemenangan besar ke atas Laos itu tidak perlu dicanangkan seluruh alam kerana pasukan itu bukan lawan sebenar Harimau Malaya, berbanding Vietnam, contohnya tapi ia menjadi sesuatu yang membanggakan kerana dicapai dengan kudrat anak tempatan.

SEPANDUK yang mempersoal peranan Persatuan Bola Sepak Malaysia dalam melahirkan pemain tempatan bertaraf dunia.
Penulis masih berkeyakinan Malaysia mampu melahirkan pemain-pemain sehebat Ghani Minhat, Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh, R Arumugam dan ramai lagi sebagaimana era kegemilangan kita pada 1960-an dan 1970-an jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai program akar umbi yang lebih komprehensif.
Sebaliknya, FAM lebih memilih untuk mencari kejayaan secara jalan pintas dengan mengrekrut pemain natarulisasi dan warisan untuk menyarung jersi keramat Harimau Malaya.
Pada ketika kita tidak menentang sepenuhnya idea ini, badan induk itu perlu menseimbangkan dengan penonjolan bakat tempatan.
Berilah peluang pemain tempatan bersaing di padang sama rata tanpa kita terlalu mendewa-dewakan pemain luar. Kemenangan 5-1 ke atas Laos mungkin boleh membuka mata bahawa barang tempatan juga tidak kurang nilainya.

FAISAL Halim memeluk Peter Cklamovski selepas menjaringkan gol ke atas Laos. Kredit foto FAM.
Pada perlawanan menentang Laos itu, Malaysia bangkit pada separuh masa kedua untuk memadam defisit 0-1 selepas Chanthavixay Khounthoumphone menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-22 menerusi rembatan jarak jauh.
Faisal menyamakan kedudukan pada minit ke-58 meneruskan satu sepakan percuma lencong dari luar petak penalti. Ia seolah-olah membuka empangan, menyaksikan Malaysia menambah empat gol lagi, dua menerusi pemain naturalisasi, Romel Romales (m-64, m-69) disusuli gol sendiri oleh pertahanan lawan, Khammanth Thapaseut pada minit ke-80 sebelum pemain gantian, Paulo Josue menutup pesta jaringan pada minit ke-84.
Kemenangan ke atas Laos itu mengekalkan rekod bersih Harimau Malaya pada kempen kelayakan ini dengan mengumpul 12 mata maksimum daripada empat perlawanan.
Berbaki dua perlawanan, menentang Nepal pada 18 November, 2025 dan Vietnam pada 31 Mac, 2026, peluang Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027 berada pada landasan yang tepat.

ROMEL Morales meraikan jaringannya ke atas Laos.
Namun, selain kesudahan di atas padang, keputusan FIFA terhadap rayuan FAM berhubung status pemain warisan akan turut mempengaruhi haluan Malaysia pada kejohanan ini.
Begitupun, sebagaimana tegas Cklamovski, beliau tidak mahu memikirkan perkara 'jika' sebaliknya terus memberi tumpuan mempersiap Harimau Malaya bagi menghadapi Nepal dan Vietnam pada dua perlawanan terakhir Kumpulan F.
Jurulatih asal Australia itu sudah melepasi ujian Laos tanpa bantuan pemain warisan, kini, beliau perlu bersedia untuk meneruskan misi tanpa kelibat Joao Figueirido, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Hogado dan Imanol Machuca sebaliknya terus memberi kepercayaan kepada pemain tempatan.
Ayuh pemain tempatan, teruslah mengaum, buktikan kamu juga bagus! - KitaReporters
