Johor Darul Ta'zim (JDT) FC membuktikan statusnya sebagai jagoan Liga Malaysia (Liga M) apabila merangkul Piala Sultan Haji Ahmah Shah (Piala Sumbangsih) buat kali ke-10 dengan menewaskan Selangor FC 3-0. Kekuatan JDT dijana menerusi strategi ampuh, disiplin dan mentaliti untuk bergelar juara. - KitasReporters

Para pemain meraikan kejayaan JDT muncul juara Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Selangor FC 3-0 dalam Perlawanan Sumbangsih 2025 di SSI, Iskandar Puteri.
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) FC membuktikan statusnya sebagai jagoan Liga Malaysia (Liga M) apabila merangkul Piala Sultani Ahmah Shah (Piala Sumbangsih) 2025-2026 buat kali ke-10 di laman sendiri pada Jumaat 8 Ogos 2025.
Kejayaan skuad Harimau Selatan bimbingan Xisco Munoz tersebut diraih selepas menewaskan Selangor FC 3-0 dalam Perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Ia bukan sekadar gelaran, namun kekuatan JDT dijana menerusi strategi ampuh, disiplin dan mentaliti untuk bergelar juara.
Resipi kejayaan tersebut bukan digarap dalam satu malam, sebaliknya menerusi visi dan kepimpinan Pemangku Sultan Johor yang juga Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahi, sejak mengambil alih kelab pada 2013.
JDT dicorak semula daripada kelab biasa kepada jenama bola sepak profesional yang berorientasikan kejayaan jangka panjang.
Malah fokus baginda bukan hanya menang piala setahun dua, tetapi membina legasi -- sesuatu yang jarang kita lihat dalam bola sepak Malaysia.

Jairo Da Silva (kanan) berjaya melepasi kawalan pemain Selangor FC.
Mengimbas kejayaan meraih trofi pertama pada musim 2025-2026 ini, JDT memulakan aksi dengan intensiti tinggi dan tekanan agresif dari wisel pertama lagi.
Strategi tersebut ternyata berhasil apabila debut pertama Jairo Da Silva bersama skuad Harimau Selatan berjaya meledak gol sulung seawal minit pertama.
Jaringan itu bukan kebetulan tetapi dipraktis ketika latihan menerusi formasi 4-3-3 apabila Jonathan Silva yang beraksi sebagai pertahanan kiri naik tinggi ke atas memberikan sokongan kepada jentera serangan.
Malah kreativiti kapten, Samu Castillejo wajar dipuji apabila dapat melihat ruang di kanan Selangor FC kosong untuk melepaskan hantaran kepada Silva yang kemudian melintangkan bola ke depan gawang untuk disudahkan dengan baik oleh Jairo.
Jaringan awal tersebut bukan sahaja mengembirakan lebih 30,000 penyokong tuan rumah, tetapi turut membakar semangat pemain.
"Gol awal yang kami jaringkan mengubah segalanya apabila memberi lebih keyakinan dan anda sendiri lihat bagaimana pasukan lawan bermain apabila mereka mengamalkan corak bertahan," ujar Munoz, ketua jurulath baharu JDT FC.

Gaya tersendiri Arif Aiman ketika meraikan jaringan ketiga buat skuad Harimau Selatan.
Aksi Castillejo bagaimanapun tidak bertahan lama apabila terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-24 dan tempatnya diganti oleh Bergson da Silva.
Lilitan kapten kemudian disarung pada lengan pemain sayap sensasi JDT, Arif Aiman Hanapi, namun mereka tidak mengundurkan asakan sehingga tamat separuh masa pertama.
Set-Piece atau bola mati juga menjadi antara senjata ampuh skuad Harimau Selatan apabila gol kedua diterjemahkan hasil tandukan pemain pertahanan, Eddy Israfilov pada minit ke-63.
Ia bermula dengan sepakan sudut Arif Aiman yang bijak mencari rakan dalam kotak penalti apabila Israfilov menyelit di tengah-tengah kawalan pemain lawan untuk menanduk dengan kemas menewaskan Kalamullah Al-Hafiz di gawang.
Variasi serangan sayap juga menyukarkan Selangor FC apabila Arif Aiman di sebelah kanan dan Jairo di bahagian tengah bergerak secara dinamik.
Malah Munoz turut memberi kebebasan kepada Arif Aiman untuk ‘cut inside’, manakala Jairo bergerak keluar masuk zon penalti untuk memecahkan tumpuan bek tengah Selangor.
Strategi itu juga membuahkan hasil apabila Arif Aiman menerusi skil individu, teknik ampuh dan ruang yang dicipta rakan sepasukan menyumbat gol ketiga pada minit ke-72.

Senarai gelaran trofi yang diraih oleh JDT FC sejak lebih sedekad lalu.
Selepas memiliki kelebihan dengan tiga jaringan Munoz mengarahkan pasukan menukar tempo permainan dengan lebih banyak kawalan bola dan serangan berstruktur untuk mengelak serangan balas.
Ia bukan sahaja mengekalkan jaringan tanpa bolos, malah menunjukkan disiplin taktikal yang ketara sehingga ke minit akhir.
Kemenangan tersebut bagaimanapun tidak membuatkan Munoz berasa selesa dan mahu mendabik dada, sebaliknya mengakui prestasi pasukan perlu ditingkatkan lagi.
"Setiap hari kami harus perbaiki apa jua kelemahan dan memberikan persembahan terbaik apabila beraksi di padang selain taktikal ampuh," ujar jurulatih berusia 45 tahun dari Sepanyol itu.
Bagi Selangor FC masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan bagi menandingi JDT FC dan kekal sebagai pesaing hebat dalam saingan liga domestik.
Malah jurulatih skuad Gergasi Merah, Katsuhito Kinoshi mengakui gol awal pasukan tuan rumah memusnahkan perancangan taktikalnya dan antara punca ialah pemain hilang fokus.
"Perkara seperti ini sepatutnya boleh dielakkan jika pemain tidak hilang tumpuan sejurus sepak mula. Lebih-lebih lagi berdepan pasukan hebat seperti JDT kerana mereka pantas ambil kesempatan menghukum kesalahan yang kami lakukan.
"Ini perkara asas dalam bola sepak, kita tidak boleh leka di atas padang walaupun sesaat dalam aksi kompetitif. Jika kita biarkan ia terus berlaku, kita tidak mungkin bergelar juara," katanya.

Seluruh keanggotaan skuad Harimau Selatan merakam gambar kenangan bersama Piala Sumbangsih.
Menerusi gelaran ke-10 Piala Sultan Ahmad Shah menambahkan koleksi kejayaan JDT kepada 31 gelaran termasuk satu trofi di pentas Asia iaitu Piala AFC pada 2015.
Bagi saingan domestik skuad Harimau Selatan sudah meraih gelaran Liga Super sebanyak 11 kali, Piala Malaysia (lima kali) dan Piala FA (empat).
Malah kejayaan tersebut juga menjadi isyarat bahawa JDT akan terus mendominasi kesemua empat trofi yang ditawarkan dalam saingan domestik.
Skuad Harimau Selatan juga memasang impian untuk pergi jauh dalam saingan di pentas Asia iaitu Liga Juara-Juara Elit setelah tersekat pada peringkat 16 terbaik pada musim lalu (2024-2025). - KitaReporters
Tags:
#Liga Malaysia (Liga M)
#Iskandar Puteri
#Johor Darul Ta'zim (JDT) FC
#Selangor FC
#ketua jurulatih
#Stadium Sultan Ibrahim (SSI)
#Arif Aiman Hanapi
#Liga Malaysia 2025-2026
#Xisco Munoz
#Jairo Da Silva
#Piala Sultan Ahmad Shah (Piala Sumbangsih)
#Piala Sultan Ahmad Shah 2025
#Katsuhito Kinoshi
#Eddy Israfilov