Seni & Sukan 09 Apr, 2020

PKP ADA ATAU TIDAK, PENYELUDUPAN TETAP AKTIF

@zaain zin
Wartawan Utusan Malaysia selama 10 tahun. Pernah berkhidmat di Kuala Lumpur, Sarawak dan Kelantan. Kini beralih kepada bidang penyiaran, namun kekal aktif menulis tentang pelbagai perkara.

Share this

SINDIKET penyeludupan dikesan masih aktif menjalankan kegiatan jenayah rentas sempadan tersebut di Kelantan meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan di seluruh negara sejak 18 Mac 2020. : KitaReporters


Malah sepanjang tempoh itu setakat ini, pasukan keselamatan yang mengawal sempadan negara berjaya mematahkan empat cubaan menyeludup keluar petrol dan minyak masak dari negeri ini ke selatan Thailand.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri dalam sidang media di Kota Bharu, pada Rabu, 9 April 2020. 

Katanya, penguatkuasaan undang-undang terutama sekatan jalan raya diakui menyukarkan pergerakan penyeludup, namun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus melakukan kegiatan itu.

"Kita percaya, penurunan harga minyak di Malaysia baru-baru ini turut mempengaruhi faktor kenapa penyeludupan terus berlaku walaupun sempadan negara dikawal ketat pasukan keselamatan.

"Namun kerjasama erat antara agensi dan pasukan keselamatan seperti tentera, Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Kawalan Sempadan Negara (AKSEM) dan KPDNHEP sendiri berjaya mematahkan setiap cubaan mereka," katanya.

Menurut Azanizam Affendi, setakat ini sejumlah 510 kilogram minyak masak dan 1,190 liter petrol telah dirampas, manakala nilai rampasan keseluruhan termasuk tiga kenderaan dan sebuah perahu yang disita, mencecah RM21,592.

Kes pertama katanya, melibatkan rampasan minyak masak berjumlah 510 kilogram dari sebuah kereta jenis Proton Saga oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di Rantau Panjang pada 19 Mac 2020.

"Kes kedua pula melibatkan cubaan menyeludup 875 liter petrol menggunakan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang berjaya dipatahkan oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) pada 23 Mac 2020.

"Kes ketiga melibatkan rampasan 15 liter petrol oleh polis di Pengkalan Kubor pada 28 Mac manakala kes keempat melibatkan rampasan 300 liter petrol oleh PGA di Rantau Panjang pada 4 April 2020," katanya.

Azanizam Affendi dalam pada itu memberitahu, polis sedang giat mengesan suspek-suspek kes terbabit yang berjaya meloloskan diri ketika diserbu pihak berkuasa.

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1962 serta Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974. - KitaReporters

0
3
0
0
2
You will be interested