Seni & Sukan 02 Jan, 2022

Chan Chong Ming letak jawatan! Satu smash kencang buat BAM? Bakal latih kelab badminton Jepun?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC).

Share this

Chan Chong Ming (kanan) yang membantu kemaraan Malaysia ke separuh akhir Piala Sudirman pada Oktober 2021, berundur daripada barisan jurulatih negara BAM. Tiga dari kanan ialah Wong Choong Hann. - Kredit foto: BAM 


CHAN Chong Ming seperti memberikan satu 'smash' kencang kepada penstrukturan semula barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 28 Disember 2021 lalu!

Chong Ming meletakkan jawatan sebagai jurulatih beregu wanita negara hanya sehari selepas Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) persatuan mengambil langkah drastik itu terutama berkaitan kedudukan Wong Choong Hann dan Rexy Mainaky.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan BAM


Pengumuman rasmi peletakan jawatan Chan Chong Ming oleh BAM. - Kredit foto: BAM


Kenyataan rasmi BAM dalam laman sosial Facebook rasmi pada 31 Disember 2021, menyebut: “Selepas pertimbangan teliti, BAM memutuskan untuk menerima surat peletakan jawatan jurulatih beregu wanita, Chan Chong Ming pada 29 Disember 2021.

“Chong Ming, 41, mengundur diri daripada jawatan yang disandangnya dengan BAM sejak Julai 2020 secara persefahaman bersama.

“BAM mahu mengucapkan penghargaan atas sumbangannya kepada pencapaian beregu wanita negara sehingga kini. Kami di BAM mengucapkan selamat maju jaya kepadanya pada masa hadapan," katanya.

C&T telah merombak bahagian kejurulatihan yang menyaksikan Choong Hann yang sebelum ini Pengarah Kejurulatihan BAM, menjadi Pengarah Kejurulatihan Perseorangan sahaja.


Carta struktur kejurulatihan negara BAM selepas dirombak oleh C&T pada 28 Disember 2021. - Kredit foto: BAM 


Rexy, bekas juara beregu Sukan Olimpik Atlanta 1996 dari Indonesia, yang baru menyandang jawatan Timbalan Pengarah Kejurulatihan BAM mulai 1 Disember 2021, dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan Beregu.

Penstrukturan semula itu dilakukan selepas analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman) menyeluruh terhadap keputusan para pemain negara sepanjang beberapa kejohanan antarabangsa, baru-baru ini.

Struktur baharu ini bertujuan untuk menangani kelemahan dalam pasukan kebangsaan, ketidakkonsistenan, terlalu banyak tahap struktur kejurulatihan, kurang fokus dalam sesi latihan dan kurangnya kemantapan mental,” lapor laman itu lagi.


Chan Chong Ming (tengah) mendapat ucapan tahniah BAM atas gelaran sulung pasangan Pearly Tan (kiri) & M. Thinaah pada Terbuka Switzerland, Mac 2021. - Kredit foto: BAM


Chong Ming dikatakan membawa impak membina kepada kebangkitan dua pasangan wanita seperti Pearly Tan/M. Thinaah dan Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean dalam Sukan Olimpik Tokyo dan Piala Sudirman serta Piala Uber 2021.

Malah sebagai pemain, dia pernah mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Seville 2001 dan Anaheim 2005, masing-masing ketika bergandingan dengan Chew Choon Eng dan Koo Kien Keat.

Pemain kidal kelahiran Kuala Selangor, Selangor ini turut membantu pasukan negara muncul naib juara Piala Thomas 2002 di Guangzhou dan memenangi pingat gangsa Sukan Asia Bangkok 1998 dan Busan 2002.

Chong Ming menggantung raket pada Disember 2011 selepas meninggalkan BAM pada 2007 untuk menjadi pemain bebas sebelum beralih karier jurulatih pemain remaja dengan menyertai Akademi Badminton Pioneer.


M. Thinaah (kiri) dan Pearly Tan turut memberangsangkan dalam pertandingan berpasukan BWF seperti Piala Sudirman dan Piala Uber 2021 di Vantaa, Finland dan Aarhus, Denmark. - Kredit foto: MSN


Pasangan Chow Mei Kuan (kanan) dan Lee Meng Yean.  Kini Meng Yean perlu mencari gandingan baharu selepas Mei Kuan menyerahkan suray peletakan jawatan pada 16 Ogos 2021. - Kredit foto: FB BAM


Ada ura-ura menyebut bapa kepada tiga anak itu kini cuba menimbangkan semula tawaran untuk melatih sebuah kelab badminton di Jepun.  

Beliau hampir ke negara Matahari Terbit itu seperti mana Jeremy Gan, Tan Kim Her dan Lee Wan Wah namun terpaksa membatalkan hasrat itu pada April 2020 gara-gara penularan pandemik Covid-19.

Jeremy, Kim Her dan Wan Wah yang turut pernah bernaung di bawah BAM, kini melatih beregu campuran, beregu lelaki dan beregu remaja pasukan kebangsaan Jepun. - KitaReporters


Rexy Mainaky (kiri) dan Wong Choong Hann pada hari pertama bekas pakar beregu Indonesia itu melapor diri di BAM, Bukit Kiara. - Kredit foto: BAM 

11
16
0
21
0
You will be interested