Seni & Sukan 19 Jan, 2022

Video| Irfan Haris, sudah ada yang Milik di hati ke? Nyanyi lagu kisah cinta pada usia 20 tahun!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


MENGINJAK ke usia 20 tahun, adik kepada penyanyi Amira Othman, Irfan Haris barangkali sudah membenihkan hati  ‘berbunga’ apabila setelah hampir setahun menyepi tanpa lagu baharu, beliau tampil membawa lagu yang terkeluar dari zon selesanya dengan ceritera cinta.

SIngle terbaharunya, ‘Milik’ berkisar tentang kisah percintaan dalam sebuah perhubungan yang asalnya merupakan hubungan antara dua rakan baik yang kemudiannya ‘hati’ rakan baiknya itu menjadi miliknya, dan hubungan itu menjadi sangat istimewa buat lelaki tersebut.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan lagu cinta



Mesti ramai yang akan bertanya adakah lelaki itu dirinya sendiri melalui apatah lagi lagu berentak pop moden ciptaannya  bersama barisan komposer terkemuka tanah air seperti Mike Chan, Ajay Amai, Nick Ariff, Glow Rush, Nappie Hassan dan Kaler-J merupakan genre yang tidak pernah dibawakan sebelum ini.

“Pada kali ini saya membawakan genre pop moden yang tak pernah saya nyanyikan sebelum ini kerana inginkan kelainan dan mencuba sesuatu yang baru.



"Selain mencabar diri untuk keluar dari zon selesa, lagu ini juga turut memaparkan sisi vokal yang lebih dewasa sesuai dengan usia saya sekarang,” kata pemenang tempat keempat rancangan TV realiti Astro, ‘Big Stage 2019’ itu.

Tidak memberikan sebarang jawapan betul atau tidak tentang perasaan hatinya, Irfan sekadar berharap agar pendengar dapat menerima lagunya itu kerana ia nyata berbeza daripada lagu-lagunya sebelum ini.

“Dalam usia 20 tahun, saya harus lakukan sesuatu yang segar dan baru untuk terus berkembang sebagai seorang penyanyi. 

"Semoga ramai terhibur dengan 'Milik' dan bersyukur kalau ada yang menyukainya, dan teruslah menyokong karya anak-anak tempatan,” tambah Irfan yang kini masih menuntut di tahun akhir jurusan diploma dalam bidang Seni Hiburan di KDU University College.



Memilih untuk memberi fokus kepada bidang pelajaran terlebih dahulu, Irfan bagaimana pun bersyukur hasratnya difahami pihak pengurusan Rocketfuel Entertainment.

“Pihak Rocketfuel memahami kehendak Irfan yang ingin memberi fokus terhadap bidang pelajaran dan ‘team’ Rocketfuel telah menyusun jadual seni sebaik mungkin agar tidak bercanggah dengan waktu kuliah Irfan.

“Sebagai penyanyi muda, Irfan ada potensi dan gaya vokal yang tersendiri, dan dengan kemunculan 'Milik' dapat mengubat hati peminatnya yang selama ini merindui karya terbaharu daripadanya,” ujar Feros Sayna, Ketua Rocketfuel Entertainment.

Mengulas lanjut mengenai single 'Milik', Irfan berkata, “Proses rakaman lagu ini mengambil masa selama 4 jam dan agak pendek berbanding dengan lagu-lagu yang pernah saya rakamkan sebelum ini, kerana saya dapat rasakan lagu ini serasi dengan jiwa saya.”



Tambahnya, banyak yang dipelajari ketika berada di studio rakaman, selain perkara baru, ramai juga orang baru yang dapat  beliau bekerjasama di antaranya komposer tersohor iaitu Mike Chan.

“Mike banyak memberi tunjuk ajar serta ‘input’ yang menarik dan kreatif dalam menjiwai lagu ini agar dapat dinyanyikan dengan baik semasa di dalam studio," ujarnya.


"Tambah Irfan, video muzik (MV) 'Milik' telah menjalani proses penggambaran sejurus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimansuhkan oleh kerajaan dan mengambil masa selama 1 hari untuk disiapkan.

“Saya juga sangat teruja dengan konsep video muzik ini yang memaparkan kisah cinta di kolej, di mana saya percaya ramai remaja pernah berdepan dengan situasi sebegini. 

"MV lagu ini sangat ringkas namun pasti memberi impak terhadap sesiapa yang menontonnya,” ujar Irfan mengajak peminatnya menghayati kisah percintaan ‘rakan baik’ dalam single terbaharunya itu.

Rakan baik ke atau diri sendiri Irfan? Apa pun tahniah! - KitaReporters


11
15
0
12
0
You will be interested