Seni & Sukan 02 Nov, 2021

Tolong kami! Bantu Daqmie wujudkan Akademi Huffaz Az Zikr! Tanah diwakafkan wanita warga emas!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this

Orang kuat Akademi Huffaz Az Zikr melawat tapak untuk didirikan sebuah bangunan tiga tingkat sebagai pusat tahfiz.



TATKALA ditanya kepada Muhammad Syamsul Ridhuan Masri, bagaimana beliau dan penyanyi Daqmie boleh terlibat dalam pengurusan Akademi Huffaz Az Zikr, Kampung Batu Belah, Klang, Selangor

Muhammad Syamsul atau mesra dengan panggilan Syam berkata, semuanya berlaku tanpa dirancang.

Sebenarnya, berita mengenai kewujudan Akademi Huffaz Az Zikr yang sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu dan memerlukan dana itu diberitahu oleh Daqmie sewaktu beliau melancarkan Box Kasih & Rindu Aura Rezeki bersama dengan pengasas Aura Rezeki, Julinda Miswan, baru-baru ini.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan kerja-kerja dakwah


Daqmie (atas) dan Syam tak sangka niat mereka untuk membuka tahfiz dipermudahkan Allah.



Kata Syam, semua itu aturan Allah kerana pada awalnya, beliau hanya bercakap kosong dengan Daqmie, Ustaz Faisol Munjir dan kemudian mereka bercadang untuk membuka tahfiz.

“Tahfiz ini dah wujud tiga tahun lepas di Klang, Selangor. Semuanya tak dirancang, tiba-tiba saja Allah bagi jalan untuk buka tahfiz. Kita namakan Maahad Tahfiz Az Zikr. Saya dan Ustaz Faisol Mujir cuba cari pelajar dan kita cari ustaz dan kita gajikan.

“Allah permudahkan usaha kami yang tak ada pengalaman dalam menguruskan tahfiz. Tiga tahun lepas kita bermula dengan 30 orang pelajar, untuk kemasukan pertama pada awal 2018.  Kita tumpang dan menyewa kat bangunan di Masjid Sirajuddin Al Anuar, Kampung Batu Belah, Klang.


Akademi Huffaz Az Zikr sudah mendaftar sebagai ahli PITAS.


“Alhamdulillah, kebanyakan pelajar tahfiz kami adalah anak-anak asnaf dan anak yatim. Bukan setakat pelajar, tenaga pengajar pun tinggal di situ yang umpama asrama. Kebanyakan pelajar berusia dari 11 tahun hingga 16 tahun,” jelasnya.

Kata Syam, untuk kumpulan pertama, ada pelajar yang berpeluang melanjutkan pelajaran di Mesir dan tidak kurang juga yang menunggu giliran pergi ke Turki, Afrika Selatan dan di pusat pengajian tinggi tempatan.

Tambahnya, walaupun Akademi Huffaz Az Zikr menjurus kepada tahfiz iaitu belajar hafal al-Quran, kitab-kitab dan di waktu yang sama tetap diajar subjek yang sama dipelajari di sekolah biasa seperti mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan mata pelajaran teras yang lain.


Sebelum ada bangunan sendiri, para pelajar dan tenaga pengajar Akademi Huffaz Az Zikr menyewa di bangunan Masjid Sirajudi Al Anuar, Kampung Batu Belah, Klang. - Kredit foto: FB Akademi Huffaz Az Zikr


“Jangan risau, Akademi kita berdaftar dengan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS). 

"Di Malaysia tak ramai yang dapat lesen penuh, kita daftar denga njabatan perancangan dan tempat itu mungkin boleh dapat lesen. Cikgu yang mengajar subjek biasa, kita ambil dari luar dan bayar bulan. Sementara, al-Quran diajar oleh ustaz yang tinggal di situ. Kita nak lahirkan huffaz yang ada berkebolehan.

“Untuk sementara ini, kita ambil pelajar lelaki saja dulu. Kalau kita ada dana lebih, mungkin akan buka untuk perempuan. Kemasukan setiap awal tahun. Perlu melalui proses temu duga dan kalau layak kita ambil. Sejak kami buat tahfiz ni, semua orang kampung suka tak ada kes,” ceritanya gembira.

Kata Syam, dengan izin Allah juga mereka mendapat sebidang tanah seluas hampir seekar di Pantai Remis, Jeram. Tanah yang bakal didirikan bangunan untuk pembelajaran dan penginapan pelajar itu bukan dibeli sebaliknya telah diwakaf oleh seorang wanita warga emas.


Pelajar di Akademi Huffaz Az Zikr bukan saja belajar dan hafal al-Quran, mereka juga belajar mata pelajaran seperti di sekolah kebangsaan. 


“Selama tiga tahun, saya, Ustaz Faisol Munjir dan Daqmie bantu anak yatim tanpa bantuan. Semuanya hasil dari menyanyi Daqmie, dan perniagaan saya, juga daripada sumbangan sahabat-sahabat. Dari situ kami guna untuk uruskan pelajar-pelajar tahfiz.

“Nak jadikan cerita, satu hari saya tulis dalam Facebook kata kami mencari tempat untuk pembinaan sekolah tahfiz. Ada seorang hamba Allah, seorang mak cik datang dari Sungai Buloh. Dia kata, anak, nak tanah kan, jom ikut? Kita pun ikut mak cik tu sampai ke Pantai Remis, Kuala Selangor.

“Dari tempat saya ke Pantai Remis, ambil masa setengah jam. Sampai kat situ nampak tempat orang jual ikan sebab itu kawasan pasar pagi, memang tempat orang jual ikan. Mak cik tu kata, ini tanah mak cik. Esok, datang ke Pejabat Tanah, kita jumpa. Mak cik nak serah tanah ini,” ceritanya tentang pertemuan tak diduga dengan seorang hamba Allah yang tak pernah dikenali sebelum ini.


Setakat ini Akademi Huffaz Al Zikr hanya dibuka untuk pelajar lelaki saja.


Tambahnya, bukan setakat mendapat tanah wakaf untuk didirikan bangunan, malah mak cik yang baik hati itu juga telah menderma untuk mereka.

Banyak benda pelik. Kita buat iklan untuk dapat duit lebih kurang RM70,000-RM80,000. Dapatlah pihak tahfiz menambak tanah dan tolak pokok kelapa sawit hingga bersih. Bila pandemik, kita tak dapat buat collection (kutipan) untuk bangunkan. Tuan tanah (mak cik) call, tanya, Syam bila nak naikkan bangunan? 

“Saya cakap tak dapat nak teruskan sementara waktu sebab tak dapat cari dana. Dia cakap, esok jumpa mak cik. Bila jumpa mak cik, dia cakap nak bagi separuh dana untuk bangunkan surau dulu. Alhamdulillah,” katanya yang tak terduga dengan rahmat yang Allah berikan kepada tahfiz kelolaannya bersama Daqmie itu.


Akademi Huffaz Al Zikr mahu melahirkan pelajar yang berjaya dalam bidang agama dan ada skil.


Melihat kepada ketulusan mak cik tersebut untuk membantu mereka, Syam dan Daqmie akan berusaha lebih kuat lagi untuk mengumpul dana sebanyak RM4 juta bagi meneruskan pembinaan Kompleks Akademi Huffaz Az Zikr.

“Kos keseluruhan untuk bina akademi itu adalah RM4 juta. Alhamdulillah, untuk surau itu mak cik nak bagi RM200,000. Tapi itupun tak cukup lagi sebab kos keseluruhan pembinaan bagi Fasa 1 adalah RM600,000. Insya-Allah, saya dan Daqmie akan bekerja kuat untuk mencari dana,” katanya.


Pada yang mahu menghulurkan sumbangan dialu-alukan.


Untuk Fasa pertama, adalah sebuah madrasah dua tingkat yang mempunyai kemudahan seperti tempat solat dan tempat penginapan sementara. Fasa kedua, sebuah bangunan tiga tingkat (kelas, pejabat dan tempat penginapan) rumah guru enam pintu, sebuah rumah inap, dapur dan prasarana.

Bagi yang ingin menghulur sumbangan infak atau wakaf untuk Tabung Projek Pembinaan Akademi Huffaz Az Zikri bolehlah 562115519264 (Akademi Huffaz Az Zikir – MayBank). Boleh layari Facebook Akademi Huffaz Az Zikri untuk mengetahui perkembangan terkini. KitaReporters

17
10
0
12
0
You will be interested