Seni & Sukan 05 May, 2021

Video| Salam Dari Jauh! Indahnya Syawal! DJ Hot FM, artis gabung sampaikan 2 lagu baharu raya

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


Lazimnya, mana-mana penyampai radio (DJ), tugas mereka menyiarkan lagu-lagu penyanyi terkenal selain menyampaikan berita. Tetapi kini, buat julung kalinya, mereka pula bergabung dengan barisan artis dalam penerbitan lagu yang khas diciptakan untuk memeriahkan suasana Hari Raya.

Stesen radio popular tanah air, Hot FM bersama syarikat rakaman 17 Eleven Music menghasilkan dua lagu raya iaitu ‘Salam Dari Jauh’ dan ‘Indahnya Syawal’ membabitkan 7 penyanyi dan 7 penyampai radio.

Barisan penyanyi terdiri  daripada Shila Amzah, Siti Nordiana, Ezwan Ariff, Adzrin, Achey, Zulin Aziz, dan Amylea Azizan, manakala penyampai radio pula adalah Mark Adam, Fizie, Riena Diana, Haziq, Deen, Fad dan Zetty.




“Ini adalah projek khas bersama syarikat 17 Eleven Music untuk kami memeriahkan lagi raya tahun ini walaupun dalam keadaan pandemik. Kami nak bersama pendengar meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan lagu raya istimewa, 'Salam Dari Jauh' dan 'Indahnya Syawal' walaupun mungkin tak dapat beraya bersama kaum keluarga di kampung,” ujar Ketua Audiens Melayu, Hot FM, Nik Nor Azura Nik Mahmood.

Menurut Nik Azura, projek lagu raya ciptaan sepenuhnya Rudy Nastia, Shamin Nazri, Hafiz Karim dan Mubin Ismail ini mengembalikan semula kenangan Hot FM yang pernah pada tahun 2012 menghasilkan lagu raya bersama beberapa artis terkenal.

“Ketika itu zaman penyampai Faizal Ismail, Fara Fauzana, AG dan ramai lagi. Kiranya, untuk tahun 2021 ini kami mengembalikan semula nostalgia itu dengan berkolaborasi pula dengan 17 Eleven Music,” tambah Nik Azura dengan harapan projek khas sedemikian dapat mengeratkan lagi silaturrahim kedua-dua pihak, sekali gus memeriahkan industri hiburan tempatan setahun sekali.




Sementara itu, Pengarah 17 Eleven Music, Roslan Adlie berharap kedua-dua lagu raya baharu itu menjadi ‘evergreen’ (malar segar) seperti kebanyakan lagu raya lain.

“Bekerjasama dengan Hot FM memberikan satu lagi pengalaman berharga buat kami. Dua lagu raya ini adalah hadiah buat semua peminat yang sentiasa menyokong lagu dan artis di bawah 17 Eleven Muusic selain menjadi pendengar setia Hot  FM,” ujar Roslan.

Sambungnya, idea untuk menghasilkan kolaborasi lagu raya berkenaan timbul apabila memikirkan raya tahun ini disambut dalam suasana sederhana apatah lagi apabila kerajaan melaksanakan larangan rentas negeri atau balik kampung.



“Tentu saja situasi ini akan menggamit memori beraya di kampung bersama keluarga dan sanak saudara. Jadi, kami menghasilkan dua lagu yang menggambarkan situasi semasa. Sekurang-kurangnya, lagu ini dapat menceriakan suasana.

“Paling penting, apa yang diharapkan juga adalah kedua lagu ini dapat diterima baik peminat dan pendengar sekali gus menjadi lagu malar segar sampai bila-bila,” katanya sambil mengakhiri penghargaannya kepada semua terlibat dengan pantun empat kerat berbunyi:

Bulan Ramadan bulan mulia,

Masa untuk kumpul pahala,

Syawal dinanti riang gembira,

Lagu raya Hot FM, 17 Eleven Music pelengkap suasana.

Jom kita saksikan video muzik lagu ‘Salam Dari Jauh’ dan ‘Indahnya Syawal’ di Instagram TV (IGTV), Facebook Hot FM dan saluran YouTube 17 Eleven dan boleh didengar di frekuensi Hot FM juga platform muzik yang lain. - KitaReporters



1
0
0
0
0
You will be interested