Seni & Sukan 20 Apr, 2021

Nak ke mane kome? Moh ke bazar Ramadan! Ada badut Mama Pinky! Ada Muslim clown minta jaga SOP!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

Badut Mama Pinky (kiri) bersama rakan sedang berkempen mengenai kesedaran penularan wabak Covid-19 di bazar Ramadan di Taman Jati, Meru, Ipoh, Perak. - Kredit foto: Suara Perak.


SIAPA yang tidak terhibur dan mengukir senyuman apabila melihat badut dengan pelbagai aksi dan jenaka dengan hidung bulat merah serta berpakaian berwarna-warni sedang menghiburkan orang ramai dengan pelbagai persembahan mereka.

Dahulu jika ingin melihat persembahan badut boleh berkunjung ke pertunjukan sarkas tetapi kini boleh ditemui di majlis-majlis keramaian, karnival, pusat beli-belah, hospital dan sebagainya.

Golongan kanak-kanak terutama pasti tertarik  dengan penampilan si badut dengan kemahiran atau skil mereka seperti mempamerkan permainan silap mata, kreativiti mengubah belon, lawak jenaka dan sebagainya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan badut

Salah seorang badut mempamerkan kad manila tertera perkataan “COVID-19 Watching Us #JagaSOP” ketika berkempen penularan wabak Covid-19  dengan  mengingatkan pengunjung-pengunjung  bazar Ramadan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. - Kredit foto Suara Perak.


Kali ini bazar Ramadan Taman Jati, Meru, Ipoh, Perak agak ceria dan meriah dengan kehadiran sekumpulan badut yang terdiri daripada empat orang daripada komuniti yang dikenali sebagai Muslim Clown Malaysia Negeri Perak.

Lebih teruja dan mengemparkan khalayak dengan kemunculan badut wanita iaitu Mama Pinky atau nama sebenar Nazirah Abd Rahman yang terkenal dengan aktiviti-aktiviti kesukarelawan seperti memberi makan, merawat serta menjaga kebajikan kucing-kucing jalanan yang ditemuinya termasuk mencari dana untuk haiwan tersebut.


“COVID-19 Watching Us #JagaSOP”  antara mesej yang ingin disampaikan oleh komuniti badut ‘Muslim Clown Malaysia Negeri Perak’  kepada pengunjung-pengunjung bazar Ramadan di negeri Perak. Kredit foto Suara Perak.


Di bazar Ramadan tersebut, kumpulan badut ini berperanan menyampaikan mesej dan mengingatkan pengunjung-pengunjung supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mereka memegang dua kad manila yang tertera perkataan “Stay Safe #Penjarakanfizikal” dan “COVID-19 Watching Us #JagaSOP” selain mengedarkan pelitup muka secara percuma kepada pengunjung di laluan masuk ke bazar Ramadan tersebut.

Wakil mereka, Mama Pinky berkata tujuan mereka ke lokasi (bazar) adalah untuk membantu kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19 dengan berkempen mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP setiap kali berada di bazar Ramadan.


Setiap pengunjung bazar Ramadan akan diberikan pelitup muka secara percuma sebagai langkah kempen pencegahan penularan Covid-19 dalam menjayakan misi memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.  Kredit foto: Suara Perak.


“Kami mengharapkan setiap pengunjung akan patuh kepada SOP supaya tidak berlaku kluster bazar Ramadan nanti. Lebih-lebih lagi apabila menjelang Hari Raya Aidilfitri, kita bimbang kes Covid-19 akan terus meningkat.

“Kami berharap dengan adanya kami di sini, pengunjung akan sentiasa ingat untuk menjaga SOP di bazar Ramadan.

“Sebagaimana kita tahu ada di setengah-setengah tempat di mana bazar Ramadan terpaksa ditutup kerana melanggar SOP. Kita tidak mahu begitu,” katanya ketika ditemui di bazar Ramadan Taman Jati.

Tambahnya lagi, inisiatif yang julung kali dilakukan oleh kumpulannya berikutan terdapat laporan berita sejak akhir-akhir ini yang memaparkan beberapa bazar Ramadan di negara ini menunjukkan sikap ketidakpatuhan pengunjung terhadap SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mama Pinky sebelum mengakhiri temu bual dengan pihak media (Suara Perak) berkata terdapat kemungkinan komunitinya akan diminta untuk melakukan kempen kesedaran (Covid-19) di bazar-bazar Ramadan yang lain di sekitar negeri Perak. - KitaReporters


Sumber:

https://www.suaraperak.my/badut-ingatkan-pengunjung-bazar-ramadan-patuh-sop/

1
0
0
0
0
You will be interested